Pemergian adik Darwisy yang disahkan meninggal dunia pada Jumaat lalu ketika baca yasin benar-benar menyentuh hati ramai.
Lebih memilukan, Darwisy merupakan satu-satunya anak kepada pasangan suami isteri yang sekian lama menanti zuriat selepas bertahun-tahun berusaha dan berdoa.
Kisah keluarga kecil ini mula mendapat perhatian ramai selepas perkongsian di media sosial mengenai perjalanan hidup mereka yang penuh kasih sayang, pengorbanan dan ujian berat.
Baca juga: Budak 2 Tahun Terkena Renjatan Elektrik, Melecur Di Jari Lepas Pegang Pengering Rambut Rosak!
PENGSAN KETIKA BACA YASIN, ADIK DARWISY MENINGGAL DUNIA

Foto: Mohd Fadli Salleh
Menurut perkongsian yang tular di Facebook, pasangan tersebut dikatakan sudah lama mendirikan rumah tangga namun diuji dengan kesukaran untuk memperoleh cahaya mata.
Selepas bertahun-tahun mencuba, akhirnya Allah SWT mengurniakan mereka seorang anak lelaki yang diberi nama Darwisy.
Sebagai anak tunggal, Darwisy dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan menjadi pengikat cinta paling berharga buat kedua ibu bapanya.
Ibu Gigih Cari Rezeki Demi Keluarga
Ibunya pula difahamkan seorang wanita yang sangat cekal dan rajin mencari rezeki demi membantu keluarga kecil mereka.
Malah, media sosial arwah dipenuhi dengan pelbagai perkongsian mengenai anak dan suami selain aktiviti bisnes yang pernah dijalankan seperti menjadi ejen produk serta mengambil tempahan makanan.
Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, keadaan kesihatannya semakin merosot.
Rakan-rakan rapat memaklumkan arwah sering keluar masuk mendapatkan rawatan dan berubat di pelbagai tempat, namun tidak diketahui secara jelas penyakit yang dihidapi.
Keadaan itu akhirnya menyebabkan arwah hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda.
Sejak tahun lalu juga, aktiviti perniagaannya semakin berkurangan dan kebanyakan perkongsian di media sosial lebih tertumpu kepada momen bersama anak serta suami.
Si Ayah Besarkan Anak Selepas Kehilangan Isteri

Foto: Mohd Fadli Salleh
Tidak lama kemudian, ibunya dijemput Ilahi dan meninggalkan Darwisy bersama si ayah yang merupakan seorang anggota polis.
Selepas kehilangan isteri tercinta, si ayah dilihat banyak berkongsi gambar serta video anak tunggalnya di media sosial.
Malah ada ketika, beliau terpaksa membawa Darwisy ke tempat kerja kerana tiada individu lain yang dapat menjaga anaknya di rumah.
Kasih sayang seorang ayah terhadap anak tunggalnya itu jelas terpancar dan ramai yang tersentuh melihat hubungan rapat mereka berdua selepas pemergian si ibu.
Pengsan Ketika Baca Yasin Di Sekolah
Namun siapa sangka, ujian berat sekali lagi menimpa keluarga kecil tersebut. Menurut perkongsian tular, pada Jumaat lalu Darwisy dikatakan tiba-tiba pengsan ketika membaca Yasin di sekolah.
Difahamkan, kejadian itu dipercayai berlaku selepas dia tersedak air sebelum terus rebah. Darwisy kemudian segera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
Bagaimanapun semalam, doktor mengesahkan Darwisy telah meninggal dunia. Berita itu membuatkan ramai sebak kerana si ayah kini kehilangan kedua-dua insan tersayang dalam hidupnya iaitu isteri dan anak tunggal.
Ramai Titip Doa Buat Si Ayah
Perkongsian mengenai kisah keluarga ini mengundang rasa hiba dalam kalangan netizen.
Ramai yang menitipkan doa agar si ayah diberikan kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan kehidupan selepas diuji dengan kehilangan yang sangat besar.
Tidak kurang juga yang menyifatkan hubungan Darwisy dan arwah ibunya sangat rapat sehingga ada yang mengaitkan pemergiannya dengan rasa rindu terhadap insan tersayang.
Walau apa pun, segala yang berlaku merupakan ketentuan Allah SWT dan setiap yang hidup pasti akan kembali kepada-Nya.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas arwah ibu dan adik Darwisy serta menempatkan mereka dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.
Baca juga: Budak 6 Tahun Ditemui Terapung Lemas, Terjatuh Ke Dalam Terusan Air Ketika Bermain
Sumber: Facebook Mohd Fadli Salleh
FT Images: Facebook Mohd Fadli Salleh
