Kisah penuh keprihatinan ini mula mencuri perhatian apabila seorang anak, Ainun Aniyah, berkongsi di platform Threads mengenai nota kecil yang dilabel pada setiap barang bagi memudahkan perjalanan ibunya menunaikan ibadah haji.
Inisiatif tersebut tercetus daripada kebimbangan mereka terhadap ibu yang tidak pernah berjauhan dengan anak-anak serta kurang mahir menggunakan teknologi.
Baca juga: Impian Arwah Anak Akhirnya Tertunai, Dua Beranak Ini Bakal Jejak Kaki Ke Tanah Suci Tahun Ini
ANAK LABEL NOTA KECIL PADA BARANG IBU UNTUK PERGI HAJI

Threads @ainunaniyah
Menurut perkongsian tersebut, setiap barangan kelengkapan haji telah dilabel dengan nota ringkas dan mudah difahami.
Tujuannya adalah untuk memastikan ibu mereka dapat menguruskan diri dengan lebih lancar sepanjang berada di Tanah Suci tanpa terlalu bergantung kepada bantuan teknologi atau telefon pintar.
Antara usaha yang dilakukan termasuklah meletakkan label pada beg pakaian, bungkusan makanan serta keperluan harian dengan penerangan yang jelas.
Contohnya, terdapat nota seperti
“Mak, ini coklat untuk lapik perut ya” serta “Mak, dalam beg ini ada ubat-ubatan. Semoga mak sentiasa sihat.”
Walaupun ringkas, setiap label tersebut memainkan peranan penting sebagai panduan harian buat ibu mereka.
Ainun turut menjelaskan bahawa sebelum ini, ibunya tidak pernah menguruskan perjalanan seorang diri kerana setiap urusan sentiasa dilakukan bersama anak-anak.
Oleh itu, perjalanan haji kali ini menjadi satu pengalaman baharu yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan keluarga.
NETIZEN TITIP DOA DAN LUAH RASA SEBAK

Threads @ainunaniyah
Perkongsian Ainun di Threads itu turut menerima pelbagai reaksi warganet yang rata-ratanya tersentuh dengan usaha adik-beradik tersebut dalam memastikan keselesaan dan keselamatan ibu mereka sepanjang menunaikan ibadah haji.
Antara komen yang ditinggalkan termasuk:
“Comelnya nota2 tuu. Moga dipermudahkan urusan mak, diberi kesihatan yang baik, dikurniakan haji yang mabrur!, InsyaAllah Allah jaga dan lindungi mak dan ditemukan dengan org yang baik2. Tahniah makk. Selamat menjadi tetamuNya yang paling istimewa”
“Mak saya pegi haji tahun 2019, pegi sorang2. Saya risau sgt sbb mak tak kenal/reti membaca. Phone pun tak tahu nak cari wifi ke apa, mmg sedih rasanya but dkt sana rupanya Allah permudahkan urusan mak saya. Kwn sebilik ramai yg baik2 smpai skg berkawan alhamdulilah. Jgn risau ok. Allah jaga inshaaAllah”
“Sebak nyaaaa saya baca nota-nota yang awak tulis utk mak tu… Mesti dia rasa dekat dengan anak-anak bila kat sana sewaktu baca semua nota tu… Saya doakan Allah SWT melindungi perjalanan pergi & balik mak awak dari menunaikan ibadah haji. Amin…”
“Ya Allah bertuahnya mak dapat anak mcm awak. Saya doakan acik diberikan kesihatan yang baik dan dapat mengerjakan haji dgn sempurna. Haji mabrur acik..”
Rata-rata komen memperlihatkan rasa sebak, doa serta sokongan moral daripada masyarakat yang turut tersentuh dengan keprihatinan keluarga tersebut.
Kasih keluarga yang ditunjukkan ini memperlihatkan bahawa perhatian kecil mampu memberi kesan besar dalam kehidupan seseorang.
Semoga Mak Ainun Aniyah dikurniakan haji yang mabrur serta dipermudahkan segala urusan di Tanah Suci.
View on Threads
Baca juga: “Rezeki Luar Biasa” Dua Pelajar Cemerlang SPM Dipilih Jadi Tetamu Allah Pada Usia 18 Tahun
Sumber: Threads @ainunaniyah
FT Images: Threads @ainunaniyah
