Euforia Bola 2026
Asuh

“Tak Banyak, Tapi Saya Ikhlas” – Murid Darjah 2 Tinggal Nota & RM1 Atas Meja Guru, Buat Ramai Berair Mata

nota kecil

Keikhlasan seorang murid tahun dua yang meninggalkan sekeping nota kecil bersama wang kertas RM1 di atas meja gurunya nyata menyentuh hati ramai pengguna media sosial.

Baca juga: Badan Dah Penat Seharian Bekerja Tapi Mata Masih Tak Nak Pejam? Ini Punca Ramai Susah Tidur

MURID TINGGAL NOTA KECIL DAN RM1 ATAS MEJA GURU

nota kecil

Foto: Threads @nrshf94

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik oleh seorang guru di Threads, murid berkenaan dikatakan mahu membalas jasa gurunya yang sering membelanjakannya sebelum ini.

Walaupun nilainya kecil, niat yang ditunjukkan oleh kanak-kanak itu cukup besar maknanya.

Nota itu ditulis dengan ayat yang sangat ringkas, namun penuh keikhlasan:

Assalamualaikum cikgu. Terima kasih sebab selalu belanja saya, hari ini biar saya belanja cikgu pula. Tak banyak tapi saya ikhlas.

Lebih menyentuh hati, nota itu turut disertakan bersama wang kertas RM1 yang diberikan sendiri oleh murid tersebut sebagai tanda penghargaan kepada gurunya.

“Ini yang paling mahal sebenarnya”

Guru berkenaan mengakui dia benar-benar tersentuh dengan perbuatan muridnya itu. Baginya, pemberian kecil tersebut sangat bernilai kerana datang daripada hati yang ikhlas.

Menurut guru itu, niat muridnya untuk membalas semula jasa guru adalah sesuatu yang sangat comel dan menyentuh hati.

Malah, dia turut memaklumkan bahawa murid berkenaan, Adam, merupakan seorang kanak-kanak yang sangat baik, sopan serta mempunyai empati yang tinggi walaupun baru berusia lapan tahun.

Mahu bingkaikan nota kecil dan wang RM1 sebagai kenangan

Foto: Threads @nrshf94

Foto: Threads @nrshf94

Tidak menyangka menerima penghargaan seikhlas itu daripada anak murid sendiri, guru berkenaan berkata dia bercadang untuk membingkaikan wang RM1 tersebut sebagai kenangan seumur hidup.

Baginya, pemberian itu bukan soal nilai wang, sebaliknya menjadi simbol kasih sayang, penghargaan dan hubungan istimewa antara seorang murid dengan gurunya.

Perkongsian tersebut turut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya berasa terharu melihat sikap matang dan tahu menghargai yang ditunjukkan oleh murid kecil itu.

Netizen puji didikan ibu bapa dan sikap Adam

Meninjau ke ruangan komen, ramai yang memuji didikan ibu bapa murid tersebut kerana berjaya membesarkan anak yang tahu menghargai orang lain sejak kecil.

Ada juga yang menyifatkan hadiah seperti itulah sebenarnya paling mahal buat seorang guru kerana ia datang daripada hati yang tulus.

Antara komen yang ditinggalkan netizen ialah:

“Masya-Allah anak bertuah lagi bijak, pandai menghargai cikgunya. Kata-kata itu sangat mahal.”

“Parents budak ni berjaya ajar anak mereka jadi anak yang tahu menghargai. Semoga Adam membesar jadi anak soleh dan berjaya dunia akhirat.”

“Aww, baca ini pun boleh nangis. Kecil-kecil dah pandai hargai orang.”

Nilai murni yang wajar dicontohi

Perkongsian ini secara tidak langsung mengingatkan kita bahawa didikan tentang adab, empati dan penghargaan sebenarnya boleh dipupuk sejak kecil lagi.

Walaupun hanya dengan RM1 dan sekeping nota ringkas, perbuatan murid ini membuktikan bahawa keikhlasan tidak pernah diukur pada nilai wang, sebaliknya pada niat dan hati yang memberi.

Momen seperti inilah yang membuatkan ramai percaya bahawa kasih sayang antara guru dan murid sememangnya mampu meninggalkan kenangan yang cukup bermakna.

Baca juga: Badan Panas Lepas Makan Durian? Ini 4 Cara Ramai Orang Buat Untuk Kurangkan Rasa Tidak Selesa

Sumber: Threads @nrshf94

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×