Dua anak muda Malaysia bakal mengibarkan Jalur Gemilang di pentas akademi latihan ketenteraan dunia apabila terpilih menyertai dua akademi pertahanan paling berprestij di Amerika Syarikat.
Dengan semangat patriotik dan tekad luar biasa, Rakis Ruhaim Abdul Rahman dan Luthfil Haikal Haswadi akan melangkah ke Akademi Tentera Laut di Annapolis dan Akademi Tentera Darat di West Point, New York. Ini menandakan permulaan baharu dalam perjalanan sebagai pemimpin masa depan angkatan tentera.
2 ANAK MALAYSIA TERPILIH KE AKADEMI LATIHAN KETENTERAAN AMERIKA SYARIKAT

Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!
Mereka merupakan dua daripada 15 calon antarabangsa yang terpilih menyertai program elit ini, yang hanya dibuka kepada individu terpilih dari seluruh dunia.
Sijil pelantikan mereka telah diserahkan sendiri oleh Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan, dalam sebuah majlis rasmi yang berlangsung di kediaman rasminya, hari ini.
Bagi Rakis, perjalanan ini lebih daripada sekadar pencapaian akademik. Ia adalah perjuangan memenuhi tanggungjawab sebagai anak lelaki tunggal dalam keluarga selepas kehilangan bapa tercinta pada tahun 2017.
“Sejak pemergian ayah, saya merasakan satu tanggungjawab besar untuk memimpin dan mendisiplinkan diri. Itulah yang mendorong saya menyertai tentera,” katanya.
Bermula dari Kolej Tentera Diraja (RMC), Rakis melangkah jauh apabila dipilih menyertai program latihan dua tahun di Jerman sebagai kadet Tentera Laut semasa Tingkatan Lima. Sekembalinya ke tanah air, beliau meneruskan latihan di ALK selama lapan bulan sebagai persediaan ke Amerika.
“Latihan di ALK sangat mencabar dan telah membentuk ketahanan fizikal serta mental saya. Ia akan menjadi asas kukuh untuk saya hadapi cabaran di AS nanti,” katanya yakin.
Sementara itu, bagi Luthfil Haikal, kejayaan ini adalah manifestasi kepada impian yang telah lama dipupuk. Meski tiada latar belakang ketenteraan, semangat dan cita-citanya tidak pernah luntur.
“West Point adalah impian saya sejak kecil. Walaupun saya datang daripada MRSM Pendang yang lebih akademik, minat saya tetap dalam dunia ketenteraan,” ujarnya. Luthfil turut ditawarkan tempat di Akademi Pertahanan Jepun, namun hatinya tetap memilih AS.
“Ramai anggap tentera bukan untuk pelajar cemerlang, tapi saya percaya sebaliknya. Untuk menjadi pemimpin tentera yang berkualiti, kita perlukan gabungan disiplin dan kecemerlangan akademik,” tegasnya.

Foto: Berita Harian : Rakis Ruhaim (kanan) memasuki Akademi Ketenteraan Laut AS dan Luthfil Haikal ke Akademi Ketenteraan AS West Point
Baca juga: 10 CEO Malaysia Dengan Gaji Bulanan Paling MAHAL, Ada Yang Cecah Sampai 12 Juta!
Sumber: Berita Harian
