Euforia Bola 2026
Famili

16 Bekas Anggota ATM Mula Bertugas Sebagai Warden Di 8 MRSM Mulai 1 Julai 2026

anggota atm

Majlis Amanah Rakyat (MARA) kini mengambil langkah memperkukuhkan sistem pengawasan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Bermula 1 Julai 2026, seramai 16 bekas anggota ATM akan memulakan tugas sebagai warden sepenuh masa di lapan MRSM terpilih di seluruh negara.

Baca juga: Mayat Wanita Ditemui Dalam Bagasi, Pemilik Rumah Sewa Terhidu Bau Busuk

16 BEKAS ANGGOTA ATM MULA BERTUGAS DI 8 MRSM MULAI 1 JULAI

anggota atm

Foto: Air Times News Network

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan pelantikan itu merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan tahap disiplin pelajar di samping memastikan kes buli dapat dibendung dengan lebih berkesan.

Menurut beliau, penempatan ini adalah fasa kedua program pelantikan warden dalam kalangan bekas anggota tentera selepas projek perintis berjaya dilaksanakan di MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang pada 18 Oktober tahun lalu.

Bagi fasa ini, keseluruhan lapan MRSM akan mempunyai 32 orang warden, terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita bagi setiap institusi.

Namun, pelantikan pada 1 Julai hanya melibatkan 16 warden lelaki, manakala warden wanita akan menyusul selepas proses pemilihan selesai.

Calon Warden Wanita Masih Jalani Proses Tapisan

anggota atm

Foto: Berita RTM

Seramai 162 calon wanita telah memohon jawatan tersebut dan telah menduduki ujian dalam talian pada 25 Jun lalu.

Sesi temu duga fizikal pula dijadualkan berlangsung pada 2 Julai, sebelum calon yang berjaya melalui proses tapisan akhir dan dilantik sebagai warden.

Proses Pemilihan Sangat Ketat Libatkan Pelbagai Agensi

Beliau menjelaskan proses pemilihan dikendalikan oleh anak syarikat MARA, Glakal Link Sdn Bhd (GLSB) dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), TalentCorp serta Seksyen Psikologi dan Kaunseling ATM.

Sebelum dipanggil menghadiri temu duga, semua calon perlu melepasi tapisan awal oleh JHEV dan TalentCorp.

Hanya veteran ATM yang menamatkan perkhidmatan secara terhormat serta tidak mempunyai rekod salah laku serius atau pelanggaran undang-undang akan dipertimbangkan.

Temu duga fizikal yang berlangsung pada 15 dan 16 Jun di Institut Kemahiran Tinggi MARA (IKM) Kepong melibatkan 147 calon, termasuk 139 calon lelaki yang telah berjaya melepasi tapisan awal.

Bekas Anggota ATM Turut Jalani Ujian Psikologi, Rekod Jenayah Dan Saringan Kesihatan

Selain temu duga, calon juga perlu melalui pelbagai penilaian termasuk:

  • Ujian psikometrik MyNext OCEAN dan RIASEC
  • Ujian psikologi ketenteraan
  • Saringan kesihatan mental
  • Pemeriksaan Indeks Jisim Badan (BMI)
  • Bleep test
  • Temu duga panel pelbagai agensi

GLSB turut menjalankan semakan rekod jenayah dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), semakan status veteran ATM serta saringan pesalah jenayah seksual kanak-kanak sebelum sebarang surat tawaran dikeluarkan.

Malah, calon yang disenarai pendek juga akan menjalani penilaian akhir bersama pegawai psikologi atau kaunselor ATM bagi menilai aspek perlindungan kanak-kanak, kawalan emosi, batas interaksi dengan pelajar serta kesesuaian mereka untuk bertugas di asrama MRSM.

Program Akan Diperluas Ke Semua 58 MRSM

Beliau menegaskan tiada pelantikan akan dibuat selagi semua proses tapisan belum disempurnakan.

Menurutnya lagi, hanya calon yang benar-benar layak, berintegriti dan mempunyai latar belakang bersih akan diberikan tanggungjawab menjaga kebajikan pelajar.

Beliau turut memaklumkan program ini akan diperluaskan secara berperingkat ke kesemua 58 MRSM, dengan fasa ketiga dijadualkan bermula pada 1 Januari 2027.

Tambahnya, pendekatan tersebut diambil bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan disiplin pelajar sentiasa menjadi keutamaan, sekali gus memenuhi harapan ibu bapa serta masyarakat terhadap peranan warden di MRSM.

Baca juga: Selalu ‘Skip’ Sarapan Sebab Sibuk? Ini Kesan Yang Ramai Tak Sedar Berlaku Pada Badan

Sumber: BERNAMA

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×