Kes melibatkan seorang murid perempuan sekolah rendah di Johor menjadi perhatian ramai selepas dakwaan salah laku seksual membabitkan seorang guru lelaki tular di media sosial.
Isu itu mula mendapat perhatian selepas satu hantaran dibuat oleh akaun Facebook Mohd Fadli Salleh yang mendakwa guru terbabit masih kembali mengajar walaupun beberapa laporan telah dibuat sebelum ini.
Baca juga: “Kesakitan Itu Benar…” Pakar Sahkan Zara Qairina Alami Kesan Psikologi Jangka Panjang
KES GURU LELAKI GANGGUAN SEKSUAL TERHADAP MURID PEREMPUAN

Gambar hiasan.
Dakwaan tular bermula daripada perkongsian Mohd Fadli Salleh
Menerusi hantaran di Facebook, Mohd Fadli Salleh mendakwa seorang murid perempuan Tahun Enam dipercayai menunjukkan tingkah laku luar biasa sebelum perkara itu dibawa kepada pihak sekolah untuk siasatan lanjut.
Menurut dakwaan tersebut, murid terbabit kemudiannya mengaku kepada pihak sekolah bahawa dia mendakwa mempunyai hubungan seksual dengan seorang guru lelaki berusia 28 tahun di sekolah berkenaan.
Mohd Fadli Salleh turut mendakwa pihak sekolah telah mengambil langkah membuat laporan polis, selain memaklumkan perkara tersebut kepada ibu bapa murid terbabit.
Dalam hantaran sama, beliau mempersoalkan tindakan pihak tertentu selepas mendakwa guru tersebut kembali bertugas di sekolah pada sesi 2026 walaupun kes masih diperkatakan.
Susulan isu yang semakin tular, Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek tampil memberikan respons ringkas menerusi Facebook malam tadi.
“Siasatan diserahkan kepada PDRM. Guru direhatkan serta-merta. Siasatan dalaman diteruskan. KPM tiada kompromi kes gangguan seksual,” ujarnya.
JPN Johor sahkan kes disiasat, guru ditempatkan di PPD
Dalam satu kenyataan media pagi tadi, Jabatan Pendidikan Negeri Johor memaklumkan pihaknya mengambil perhatian serius terhadap dakwaan salah laku seksual di sebuah sekolah di negeri itu.
Menurut JPN Johor, beberapa laporan polis telah dibuat termasuk oleh pihak sekolah sehingga membawa kepada tahanan reman terhadap guru terbabit bagi membantu siasatan.
Sepanjang proses siasatan berjalan, guru tersebut akan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Pada masa sama, JPN Johor memaklumkan mereka sedang bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan murid yang didakwa menjadi mangsa dilindungi serta kebajikannya terjaga.
JPN Johor turut menegaskan bahawa mereka tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku seksual di institusi pendidikan bawah kelolaan mereka.
Baca juga: Guru Wanita Didakwa Amang Seksual Pelajar 14 Tahun Di Bawah Pokok & Hantar Gambar Alat Sul*t

Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat
Guru lelaki ditahan, direman enam hari bantu siasatan
Perkembangan terbaru menyaksikan polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun selepas mengesan hantaran tular berkaitan dakwaan gangguan seksual melibatkan murid perempuan di Seri Alam.
Menurut Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat, polis menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 37 tahun sekitar jam 9 malam semalam sebelum suspek ditahan kira-kira jam 10.30 malam pada hari sama.
Siasatan awal mendapati ujian saringan air kencing suspek negatif dadah dan lelaki itu juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, berkata suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pagi ini bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
“Suspek dibenarkan direman bermula hari ini sehingga 27 Mei,” katanya, di sini hari ini.
Permohonan reman itu membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut kes berkenaan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak.
Sumber: Mohd Fadli Salleh / Fadhlina Sidek / Jabatan Pendidikan Negeri Johor / New Straits Times / Buletin TV3
FT Image: Gemini AI / Buletin TV3
