Seorang murid perempuan Tahun 2 di sebuah sekolah rendah di sini, telah mencetuskan kebimbangan ramai apabila dikatakan mempengaruhi rakan-rakannya untuk menyertai “misi” berbahaya yang diinspirasikan daripada permainan dalam talian Roblox.
Perkara itu dikongsikan oleh Khairul Ahmad Fitri Suhaimi di Facebook, yang menceritakan kejadian menimpa anak saudara perempuannya itu.
MURID PEREMPUAN TAHUN 2 ARAH RAKAN TERJUN BANGUNAN

Hantan Khairul Ahmad Fitri Suhaimi.
Menurutnya, kanak-kanak itu telah menerima ugut dan arahan pelik daripada seorang rakan sekelas yang digelarkan “kapla”, yang kerap memberi tugasan kepada kawan-kawannya seolah-olah dalam satu permainan maya.
Kisah ini menjadi tular selepas Khairul mendedahkan bagaimana “kapla” memberikan misi pertama kepada anak saudaranya iaitu mencium seorang pelajar lelaki.
Namun, apabila kanak-kanak itu menolak, dia diberikan misi kedua yang lebih berbahaya iaitu diarahkan supaya terjun dari tingkat satu bangunan sekolah.
Anak saudaranya menolak lagi dan membalas, “Kenapa pula aku kena terjun, hang la terjun.”
Tindakan itu menyebabkan “kapla” berang lalu mengarahkan seorang lagi rakan, si polan 1 (nama samaran) supaya mendukung dan membaling anak saudaranya keluar dari tingkap.
Mujur si polan 1 juga menolak arahan tersebut kerana berkawan baik dengan anak saudaranya.
Namun, kata-kata seterusnya benar-benar menggemparkan, “Aku bukan sayang hang pun. Kalau hang m*ti pun biar ja la,” ujar ‘Kapla” kepada anak saudaranya.

Hantan Khairul Ahmad Fitri Suhaimi.
Selepas insiden itu, abang ipar Khairul segera menghubungi guru kelas bagi melaporkan kejadian, manakala kakaknya berhubung dengan ibu bapa si polan 1 untuk mengesahkan cerita tersebut.
Hasil perbincangan mendapati bahawa ini bukan kali pertama “kapla” memberi misi pelik kepada rakan sekelas.
Antara misi lain termasuk, memilih antara pen atau gunting kemudian mengetuk tangan dengan barang dipilih dan mencucuk buku dengan gunting hingga koyak.
“Hasil perbualan kak aku dengan parent si polan 1, depa mengesahkan misi-misi yang dilakukan itu persis dengan misi yang ada dalam game Roblox,” kongsi Khairul lagi.
Kerana bimbang keselamatan anak, kakak Khairul memutuskan untuk menangguhkan kehadiran ke sekolah buat sementara waktu.
Khairul menulis bahawa kakaknya kini mengalami anxiety dan vertigo akibat trauma mendengar sendiri pengakuan anaknya, manakala kanak-kanak itu sudah tiga hari tidak ke sekolah kerana takut.
Mereka juga berjumpa guru besar untuk membincangkan perkara itu. Pihak sekolah memaklumkan bahawa mereka telah menasihati pelajar terbabit dan memberitahu ibu bapanya mengenai tindakan tersebut.
Beliau menegaskan, tujuan perkongsian itu bukan untuk menjatuhkan mana-mana pihak, sebaliknya untuk mendapatkan pandangan dan nasihat daripada orang ramai tentang tindakan yang wajar diambil.
“Sebagai ibu bapa, saya cuba letakkan diri saya dalam situasi kakak saya. Serius, memang serabut dan menakutkan. Hari ini anak orang lain, esok mungkin anak kita pula,” tulisnya.
Hantaran tersebut kemudiannya telah mendapat perhatian wakil Jabatan Pendidikan Negeri untuk mengambil tindakan seterusnya.
“Saya dimaklumkan oleh kakak saya yang mereka telah dihubungi wakil JPN setelah terbaca post ini. Wakil daripada JPN akan take over kes ini dan turun Selasa nanti. Semoga ada sinar,” ujar Khairul.
Sumber: Khairul Ahmad Fitri Suhaimi
FT Image: Radar Lamongan
