Segalanya berlaku dalam sekelip mata apabila seorang murid perempuan dipercayai baru keluar dari pagar sekolah sebelum dilanggar sebuah van yang tidak menyedari kehadirannya di hadapan lokasi tersebut.
Tragedi menyayat hati itu melibatkan Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, yang maut selepas dilanggar van di hadapan Sekolah Kebangsaan Seri Maimon, Parit Sulong ketika pulang dari sesi persekolahan.
MURID PEREMPUAN TAHUN 2 MAUT DILANGGAR VAN DEPAN SEKOLAH

Gambar Alias Abd Rani: Jenazah Nur Aini Umairah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Parit Mustaffa, dekat Parit Sulong malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari semalam, mangsa yang merupakan murid Tahun Dua dipercayai baru sahaja tamat sesi persekolahan sebelum bergerak keluar dari pintu pagar sekolah.
Difahamkan, sebuah van yang berada di kawasan sama ketika itu turut bergerak keluar selepas menghantar barang tanpa menyedari kehadiran mangsa sebelum melanggarnya.
Lebih menyayat hati, kejadian tersebut turut disaksikan beberapa ibu bapa yang ketika itu sedang menunggu anak masing-masing di hadapan sekolah.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan insiden tersebut.

Gambar Alias Abd Rani: Asmilah (tengah) ketika ditenangkan ahli keluarga di Jabatan Forensik HSNI.
“Saya hanya terlewat beberapa minit…” – luahan ibu
Lebih menyentuh emosi apabila ibu mangsa, Asmilah Tukiran, 37, berkongsi detik pilu yang tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya.
“Saya terlewat hanya beberapa minit sebelum melihat anak terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.
Menurutnya, pada hari kejadian dia sedang menguruskan anak bongsunya, Ahmad Sufi Mohd Fareez, 5, sebelum keluar untuk mengambil mangsa kira-kira 10 minit kemudian.
“Apabila saya tiba di hadapan pintu pagar sekolahnya, saya ternampak orang ramai berkerumun. Hati saya pada ketika itu tertanya-tanya siapa yang mereka kerumun.
“Saya terdengar ada murid lain bercakap dan menyebut nama ‘Aini’. Saya terus berjumpa guru untuk bertanyakan siapa yang sedang terbaring kaku.
“Bila cikgu memberitahu murid itu adalah anak saya, badan saya terus lemah. Saya tidak sanggup melihat jenazahnya kerana keadaan sangat parah,” katanya ketika ditemui wartawan di Jabatan Forensik HSNI.
Tambahnya lagi, sebelum ini dia sering mengingatkan anaknya supaya menunggu di dalam kawasan sekolah setiap kali pulang.
“Biasanya bila saya tiba, barulah Nur Aini Umairah keluar dari pagar sekolah. Tapi pada hari kejadian, saya tidak tahu kenapa Nur Aini Umairah berada di luar pagar dan ada kemungkinan dia mahu membeli sesuatu,” katanya.

Gambar BERNAMA: Datuk kepada Allahyarham Nur Aini Umairah Mohd Fareez, Tugiran Loso, 67, merenung kubur cucunya.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Mustaffa malam tadi apabila jenazah Allahyarham Nur Aini Umairah dikebumikan.
Ratusan ahli keluarga dan penduduk kampung hadir memberi penghormatan terakhir kepada mangsa yang dikebumikan bersebelahan pusara neneknya.
Lebih memilukan, ibunya dilaporkan beberapa kali hampir pengsan ketika berada di Jabatan Forensik HSNI untuk menuntut jenazah anak sulung daripada dua beradik itu.
Jenazah sebelum itu dibawa ke Masjid Jamek Kampung Parit Mustaffa untuk disolatkan sebelum dikebumikan.
Dalam pada itu, Asmilah turut berkongsi bahawa dia masih belum pulih sepenuhnya daripada kehilangan dua insan tersayang Januari tahun lalu.
“Kesedihan lalu belum terubat. Ibu saya Allahyarham Saonah Kasmi, 58, meninggal dunia dua jam selepas nenek, Bayah Sadiran, 84.
“Ibu waktu itu datang menziarahi nenek meninggal dunia pada jam 6.45 petang, sebelum dia sendiri menyusul kira-kira dua jam kemudian.
“Hari ini, saya sekali lagi diuji. Inilah dugaan saya sedang lalui, jadi saya perlu menguatkan diri supaya anak-anak dapat meneruskan kehidupan pada masa akan datang,” katanya.
Sumber: Harian Metro (1), (2), (3)
FT Image: Alias Abd Rani
