Pengasuh anak bukan sekadar menjaga makan pakai si kecil, malah ada yang sanggup meluangkan masa memasak pelbagai menu istimewa demi memastikan anak asuhan makan dengan berselera.
Itulah yang dilakukan oleh seorang pengasuh di Threads, di mana dia berkongsi rutin hariannya menyediakan pelbagai menu istimewa buat anak-anak jagaan.
BUKAN SEKADAR PENGASUH ANAK BIASA, SETIAP HARI MENU SEDAP

Menerusi perkongsian akaun Threads milik @babysittersukamasak, wanita itu sering memuat naik menu masakan harian yang disediakan khas untuk anak-anak asuhannya. Menariknya, hidangan yang dimasak bukan sahaja nampak menyelerakan, malah lengkap dan seimbang seperti air tangan seorang ibu di rumah.
Antara menu yang dikongsikan termasuk kari daging, sardin, telur mata, ayam goreng, sawi tumis, buah limau dan roti untuk hidangan tengah hari anak-anak.
Menurutnya, pada hari tersebut dia turut menerima dua anak transit selama lima jam dan suasana rumah menjadi lebih meriah.
“Menu hari ini kari daging, sardin, telur mata, ayam goreng, sawi goreng tumis, buah limau dan roti. Hari ni ada anak asuhan transit untuk 5 jam, meriah rumah Ummi hari ini.Dua beradik tu bijak betul tak nangis langsung pastu makan menambah nasi dan buah.Best tengok,” jelasnya.
Bukan itu sahaja, pengasuh berkenaan juga sanggup membeli bahan masakan pada waktu malam hanya kerana mahu memenuhi permintaan seorang anak asuhan yang teringin bihun goreng kegemarannya.
Dia kemudian menyediakan bihun goreng Sarawak bersama cucur jagung rangup dan dumpling cicah chili oil untuk hidangan petang anak-anak.
“Menu petang anak-anak asuhan hari ini bihun goreng sarawak, cucur jagung garing, dumpling cicah chili oil. Semalam anak asuhan cakap dah lama Ummi tak buat bihun goreng kegemaran dia. Bila dia cakap macam itu, terus Ummi beli bahan la malam tadi hihi,” tambahnya.

Selain itu, dia turut berkongsi menu lain seperti ayam masak halia, cendawan tumis air, buah anggur dan bun cheese.
Perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi positif daripada warganet yang tersentuh melihat layanan dan kasih sayang yang diberikan kepada anak-anak jagaan.
“Macam ni awak jaga budak-budak, sampai bila-bila diorang akan ingat awak. Tak rugi buat baik pada budak-budak. Seronok tu tak boleh nak cakap.
“Semoga murah rezeki awak, baik kesihatan dan kekayaan. Aamiin,” tulis seorang pengguna media sosial.
Ramai juga memuji sikap prihatin pengasuh tersebut yang bukan sekadar menjaga anak-anak, tetapi turut memastikan mereka menikmati makanan yang sedap dan berkhasiat seperti di rumah sendiri.
Baca juga: “Macam Jumpa Diri Sendiri Balik” – Trend Gemini AI Tukar Gambar Dulu VS Sekarang Buat Netizen Sebak
Sumber: Threads Babysittersukamasak
