“Saya berdoa untuk seorang anak sahaja, dan Allah memberikan saya lima.” Itulah luahan seorang wanita yang kini menjadi perhatian ramai selepas selamat melahirkan bayi kembar lima sekali gus, selepas 12 tahun menunggu untuk bergelar ibu.
Wanita berusia 35 tahun itu dikatakan sebelum ini berdepan tekanan emosi yang cukup berat kerana sering dipersoalkan tentang zuriat sepanjang tempoh perkahwinannya.
Baca juga: Mata Merah Teruk Macam ‘Sasuke’ Selepas Bersalin, Ibu Ini Cerita Kesilapannya Semasa Meneran!
WANITA TIMANG 5 BAYI KEMBAR SELEPAS 12 TAHUN PENANTIAN

Gambar Hospital Hiwot Fana Specialised: Ibu kepada bayi kembar 5, Bedriya Adem.
Menurut laporan berita antarabangsa, wanita tersebut dikenali sebagai Bedriya Adem dan dia bersama suaminya kini bersyukur selepas dikurniakan empat bayi lelaki serta seorang bayi perempuan.
Bedriya mengakui dia sukar menggambarkan perasaannya dengan kata-kata selepas penantian panjang akhirnya berakhir.
“Saya tidak dapat menggambarkan kegembiraan saya dengan kata-kata,” katanya yang dari Ethiopia.
Bertahun-tahun menanggung tekanan emosi
Bedriya berkata sepanjang 12 tahun itu, dia hidup dalam kesedihan dan sering menyendiri kerana terlalu tertekan dengan pertanyaan masyarakat mengenai kegagalannya mendapatkan anak.
Katanya, walaupun suaminya sering cuba menenangkan dirinya, dia tetap memendam rasa sedih setiap kali dipersoalkan penduduk kampung.
Menurut Bedriya, suaminya juga sudah mempunyai seorang anak daripada perkahwinan terdahulu yang tinggal bersama mereka.
“Dia selalu beritahu saya bahawa anak itu sudah mencukupi dan saya tidak perlu terlalu risau, tetapi jauh di sudut hati saya tetap menderita secara emosi dan mental,” katanya.
Wanita itu berkata dia sentiasa berdoa agar dikurniakan seorang cahaya mata sahaja, namun tidak menyangka menerima rezeki yang jauh lebih besar.
Baca juga: Jangan Ambil Jalan Singkat, JPN Kongsi Prosedur Sah Jika Hamil Luar Nikah & Kalau Tak Mampu Nak Jaga

Gambar Hospital Hiwot Fana Specialised: Bayi kembar 5 itu diberi nama Naif, Ammar, Munzir, Nazira dan Ansar.
Bayi lahir secara normal tanpa IVF
Pihak Hospital Hiwot Fana Specialised memaklumkan kesemua bayi tersebut dilahirkan secara pembedahan Caesarean dan kini berada dalam keadaan sihat.
Menurut pengarah perubatan hospital, Dr Mohammed Nur Abdulahi, bayi-bayi itu mempunyai berat antara 1.3 hingga 1.4 kilogram.
Dr Mohammed turut menjelaskan bahawa peluang untuk seseorang wanita hamil bayi kembar lima secara semula jadi sangat jarang berlaku, iaitu sekitar satu dalam 55 juta.
Apa yang lebih mengejutkan, Bedriya dikatakan hamil secara semula jadi tanpa bantuan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF). Doktor turut memaklumkan Bedriya menerima rawatan dan pemantauan berkala sepanjang kehamilannya.
Pada awalnya, wanita tersebut dimaklumkan bahawa dia hamil empat bayi, namun ketika proses kelahiran berlangsung, terdapat seorang lagi bayi dilahirkan.
Anggap lima cahaya mata sebagai rezeki besar
Walaupun mengakui bimbang memikirkan kos membesarkan lima bayi sekali gus, Bedriya tetap bersyukur dengan rezeki yang diterimanya.
Wanita yang bekerja sebagai petani itu berkata dia percaya Allah akan membantunya melalui sokongan masyarakat dan pihak kerajaan.
“Saya menghabiskan 12 tahun dalam kesakitan, menyendiri dan sentiasa berdoa untuk anak. Akhirnya Allah mendengar doa saya,” katanya.
Lima bayi tersebut diberikan nama Naif, Ammar, Munzir, Nazira dan Ansar.
Kisah pasangan ini turut mendapat perhatian ramai yang menyifatkannya sebagai rezeki luar biasa selepas bertahun-tahun menunggu kehadiran cahaya mata.
Sumber: BBC
FT Image: Hospital Hiwot Fana Specialised
