Empat tahun menunggu cahaya mata bukanlah satu perjalanan yang singkat. Doa yang tidak pernah putus akhirnya dimakbulkan Allah dengan cara yang begitu istimewa apabila dikurniakan sepasang anak kembar yang membawa kebahagiaan berganda buat pasangan ini.
Lebih mengujakan, kembar tersebut lahir dengan rupa berbeza di mana seorang albino berambut putih, manakala seorang lagi berkulit sawo matang. Unik!
Baca penuh: Wanita Bersalin Kembar Tiga Terkejut, Mak Mentua Minta Serah Anak Seorang Dekat Kakak Ipar
PENANTIAN 4 TAHUN DIKURNIAKAN ANAK KEMBAR ‘UNIK’, ALBINO & SAWO MATANG

Foto: Ketika kembar baru dilahirkan.
Menurut anak kembar ‘rare’ ini, Nor Azlinee, pada awal kehamilan doktor hanya mengesan satu janin. Namun, ketika pemeriksaan semula pada usia kandungan tiga bulan, doktor menemui kantung kedua, meskipun degupan jantungnya belum jelas kelihatan. Saat itu, hati ibu dan ayah berdebar-debar menanti kepastian, mampukah bayi tersebut membesar dengan sihat?
Syukur, beberapa pemeriksaan berikutnya mengesahkan kedua-dua bayi berkembang dengan sempurna!
Pada usia kandungan 37 minggu empat hari, Azlinee mula menunjukkan tanda ingin bersalin. Walaupun sudah dijadualkan melahirkan melalui pembedahan caesarean, ibu ini terlebih dahulu dibawa ke bilik bersalin untuk mencuba kelahiran normal.
Bayi pertama lahir dengan berat 2.1 kilogram, masih berada dalam kantung ketika keluar, dengan rambut dan kening berwarna putih, satu pemandangan yang amat jarang dilihat.
Namun, Azlinee masih perlu melahirkan seorang lagi. Tenaga yang semakin lemah membuatkan doktor memilih pembedahan caesarean demi keselamatan bayi kedua. Alhamdulillah, bayi seberat 3.1 kilogram itu selamat dilahirkan.
Doktor kemudian menjelaskan bahawa bayi pertama merupakan albino, tetapi sihat sepenuhnya tanpa memerlukan rawatan khas, hanya pemeriksaan berkala.
Membesar dengan Keunikan Tersendiri

Enam tahun berlalu, kedua-duanya kini membesar dengan sihat dan aktif. Mereka diberi nama Sollehin (berambut putih) dan Asyraf (berkulit sawo matang).
Menariknya, ke mana sahaja mereka pergi, orang pasti sukar percaya bahawa Sollehin dan Asyraf adalah pasangan kembar kerana perbezaan penampilan yang sangat ketara. Malah, bukan sahaja rupa tetapi minat dan selera mereka juga berbeza sama sekali:
- Makanan: Sollehin lebih gemar ulam, sayuran dan buah tempatan, manakala Asyraf memilih makanan ala Barat serta buah import seperti epal, pir dan oren.
- Kartun: Sollehin menggemari kartun tempatan seperti Upin Ipin dan Omar Hana, sementara Asyraf pula lebih suka Ultraman dan Spiderman.
Perbezaan itu sering mencuit hati keluarga, terutama ketika menonton televisyen kerana mereka pasti berebut rancangan kegemaran masing-masing. Namun, di sebalik segala perbezaan, hubungan mereka sangat akrab. Jika salah seorang tiada, yang seorang lagi akan cepat bertanya kerana mereka tidak betah berpisah lama.
“Sebagai ibu, saya amat bersyukur melihat mereka membesar dengan sihat walaupun berbeza tingkah laku. Alhamdulillah, mereka jarang jatuh sakit, itu sudah cukup besar nikmatnya,” kata Azlinee penuh syukur.
Sesungguhnya, kehadiran Sollehin dan Asyraf bukan sekadar membawa keceriaan kepada keluarga, tetapi juga menjadi bukti bahawa setiap anak lahir dengan keistimewaan tersendiri.
Baca juga: 5 Jenis Rawatan Kesuburan Di Malaysia Ikut Bajet Paling Tinggi Hingga Harga Berpatutan
Sumber: Azlinee A Kadir
