Nama Jahidah Nordin kembali menjadi sebutan di media sosial selepas beberapa hantaran Facebook oleh adik-beradiknya, Fauziah Nordin dan Fazariah Nordin, tular dan mencetuskan pelbagai reaksi warga maya.
Perkongsian tersebut dibuat susulan satu kes baharu keganasan rumah tangga yang didakwa melibatkan individu sama dalam kes terdahulu, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan mangsa lain.
ADIK-ADIK JAHIDAH NORDIN BERSUARA, TAK MAHU LAGI ADA MANGSA KEGANASAN RUMAH TANGGA

Gambar arkib NSTP: Fauziah Nordin, 44, bersama Eshan Nufail anak kepada kakaknya Jahidah Nordin, 47.
“Mula-mula kakak aku…” – luahan Fauziah Nordin
Dalam hantaran yang dikongsikan, Fauziah Nordin meluahkan rasa marah terhadap bekas abang iparnya yang didakwa mengulangi perbuatan sama terhadap wanita lain.
“Mula-mula kakak aku. Lepas itu kau lari. Kakak aku sampai koma ke hari ini masih terlantar. Kau sedap duduk luar kahwin lagi, belasah lagi,” tulisnya.
Fauziah turut mendakwa individu tersebut kini terlibat dalam kes baharu yang lebih serius sehingga menyebabkan mangsa lain mengalami kecederaan dan keguguran.
“Kes kau dengan Kak Jahidah pun ramai marah, kau tambah kes lagi pukul perempuan lain tengah mengandung juga sampai masuk hospital. Betul-betul syaitan respect kau,” katanya lagi dalam hantaran lain.
Malah, Fauziah mendakwa lelaki tersebut mempunyai corak perbuatan berulang seperti mengahwini wanita bekerja kerajaan, kemudian wanita tersebut menjadi mangsa keganasan.
“Modus operandi kau ni kahwin perempuan kerja kerajaan, habiskan duit perempuan. Belasah sampai koma atau separuh mati. Rompak dan lari,” luahnya.
Dalam nada kecewa, dia turut memberi amaran kepada orang ramai, “Syaitan pun surrender… Ingat orang perempuan hendak kahwin atau berkawan dengan nama R******* A**** R***, sila jauhkan diri.”
Fazariah Nordin dakwa kes bukan kes pertama
Sementara itu, Fazariah Nordin turut berkongsi hantaran panjang yang menyentuh semula kes lama melibatkan Janidah Nordin, selain mengulas kes baharu yang sedang tular.
“Ramai yang tag aku pasal kes ini… korang boleh tengok di story aku, ada aku simpan sedikit tentang kes ini dari awal kejadian,” katanya.
Fazariah turut mendakwa ada kes sebelum ini yang tidak menjadi tular serta dipercayai ditarik semula akibat tekanan.
“Kak Jahidah ini bukan kes pertama ya. Sebelum ini pun banyak, cuma tidak viral sahaja dan ada laporan yang ditarik semula, mungkin sebab diugut,” jelasnya.
Dalam hantaran sama, Fazariah turut menyatakan kebimbangan bahawa mangsa mungkin berdepan tekanan yang menyebabkan mereka menarik laporan.
“Aku rasa kalau Kak Jahidah masih boleh bercakap, kemungkinan besar dia pun akan tarik laporan semula sebab aku yakin mangsa-mangsa ini semua telah diugut dengan sesuatu yang sangat kejam,” katanya.
Fazariah turut meluahkan harapan agar kebenaran dapat dibongkar.
“Tapi ada sebab kenapa Allah jadikan Kak Jahidah koma, supaya segala apa yang dia pernah buat akan terbongkar,” tulisnya.

Gambar di hantaran Fazariah Nordin.
Luahan emosi & gesaan hentikan lebih ramai mangsa
Dalam hantaran sama, Fazariah turut meluahkan rasa kecewa terhadap individu yang didakwa terlibat dalam kes tersebut, selain memberi gambaran bahawa individu terbabit sangat licik dan ‘tidak kosong’.
“Dia ini pandai bercakap dan bukan orang biasa-biasa, tetapi selama ini dia hanya bergantung kepada orang tertentu. Kita tunggu dan lihat sejauh mana lagi dia akan terus menganiaya orang lain.
“Dia juga bercakap macam-macam tentang Kak Jahidah dan memfitnahnya, sedangkan Kak Jahidah tidak mampu mempertahankan diri.
“Kalau kau mahu bertuhankan ‘setan’, silakan. Tetapi aku sudah muak dan rasa jijik, sebab kau memang tidak akan berubah,” katanya.
Dia turut mendakwa mangsa sebelum ini mengalami kesan yang sangat serius akibat kejadian tersebut.
“Anak-anak dia berselerakan sana sini, ada yang sampai menyimpan dendam terhadap dia. Jangan sampai adik-beradik, saudara-mara atau kawan-kawan kamu sendiri tertipu dengan dia,“ luahnya.
Fazariah turut berharap agar tiada lagi mangsa baharu selepas ini.
“Aku tidak mahu ada lagi mangsa selepas ini, sebab tidak berbaloi sampai jadi cacat kerana dia. Kalau tidak mati, mungkin cacat kekal.
“Anak Kak Jahidah sekarang OKU, disebabkan oleh dia juga. Nufail itu pun kasihan, dari dalam kandungan lagi sudah berjuang habis-habisan. Harap tidak ada lagi mangsa selepas ini.
“Dan aku harap kau baca posting aku ini, sebab aku memang sudah muak. Kau memang nak terkenal sangat,” katanya.
Kes Janidah Nordin menggemparkan masyarakat
Dalam kes melibatkan Jahidah sebelum ini, tragedi yang berlaku pada 4 Mei 2021 menyaksikan mangsa yang ketika itu hamil 13 minggu mengalami kecederaan serius di bahagian kepala sehingga sebahagian tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan.
Selain itu, rahang, tulang belakang dan tulang rusuknya turut dilaporkan retak.
Sehingga kini, mangsa masih terlantar dan bergantung kepada susu yang disalurkan melalui tiub. Lebih menyentuh hati, anaknya iaitu Eshan Nufail yang kini berusia tiga tahun turut disahkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).
Kes berasingan terbaharu cetus perhatian ramai
Dalam perkembangan kes berasingan yang dilaporkan baru-baru ini pula, seorang wanita yang bekerja sebagai penjawat awam dipercayai menjadi mangsa keganasan rumah tangga sehingga mengalami kecederaan fizikal dan keguguran kandungan berusia 12 minggu.
Menurut laporan media tempatan, mangsa didakwa dipukul menggunakan beberapa objek seperti penyangkut baju, getah paip, batang besi langsir dan batang penyapu sehingga menyebabkan tangan dan jari kirinya patah serta lebam di muka dan badan.
Difahamkan kejadian berlaku selepas pertengkaran antara mangsa dan suaminya. Ahli keluarga mangsa turut mendakwa suspek mengugut keluarga mereka selain melarikan barang kemas serta wang simpanan hampir RM50,000.
Laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, dan pihak polis mengesahkan kes tersebut sedang disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan keganasan rumah tangga.
Sumber: Facebook Fauziah Nordin (1), (2), (3) / Fazariah Nordin / Berita Harian
FT Image: Sinar Harian / Arkib NSTP
