Perkembangan kes bekas suami Jahidah Nordin@Sylvester, Rosmaini Abdul Raof kembali menjadi perhatian ramai apabila Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun terhadap tertuduh, sekali gus mengundang pelbagai reaksi emosi daripada keluarga mangsa.
Keputusan tersebut bukan sahaja menutup episod panjang perbicaraan, malah memberi sedikit kelegaan kepada ahli keluarga yang selama ini setia menjaga Jahidah dalam keadaan uzur.
BEKAS SUAMI JAHIDAH DIPENJARAKAN 14 TAHUN

Gambar Ahmad Hasbi: Fauziah menjaga kakaknya yang cedera parah akibat dipukul bekas suami.
Adik kongsi reaksi: “Kak Jahidah nampak lega, air mata menitis”
Menurut adiknya, Fauziah Nordin, perasaan yang dirasai ketika mengetahui keputusan mahkamah bercampur baur antara sedih, syukur dan sebak.
Katanya, pada awalnya dia menyangka hukuman hanya kekal 10 tahun seperti sebelum ini. Namun sebaik mengetahui hukuman ditambah kepada 14 tahun, dia terus pulang ke rumah untuk memaklumkan kepada kakaknya.
“Saya gembira, sedih, semuanya bercampur baur dalam hati ini apabila tahu keputusan hukuman ke atas lelaki itu. Waktu baca berita itu, saya menangis, sebak.
“Mula-mula saya ingatkan hukumannya hanya penjara 10 tahun sahaja. Tetapi apabila baca tajuk, dia dipenjara 14 tahun, saya bersyukur walaupun ia tidak setimpal dengan apa yang dilalui Kak Jahidah,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro di rumahnya, semalam.
Walaupun Jahidah tidak mampu memberikan respons secara lisan, Fauziah mendakwa dia dapat melihat perubahan emosi pada wajah kakaknya.
“Saya nampak perubahan pada mukanya, kakak nampak lega, tenang dan secara tiba-tiba air matanya menitik. Saya juga tidak dapat menahan perasaan,” katanya.
Momen itu cukup menyentuh hati, apatah lagi melihat keadaan mangsa yang masih tidak mampu bercakap atau bergerak seperti biasa.
Dalam masa sama, Fauziah turut menyifatkan hukuman tambahan serta bayaran ganti rugi yang dikenakan terhadap Rosmaini sebagai mungkin asbab doa kakaknya sendiri, memandangkan Jahidah adalah pihak yang paling teraniaya dalam kejadian itu.
Dia juga berkata sebelum ini mereka sekeluarga tidak putus berdoa agar lelaki terbabit menerima hukuman yang lebih berat, selain percaya doa Jahidah turut sama diperkenankan, serta menzahirkan penghargaan kepada masyarakat yang tidak henti memberi sokongan.
Mengulas mengenai ganti rugi RM25,000 yang diperintahkan mahkamah, Fauziah berkata jumlah itu sekiranya dibayar boleh dimanfaatkan untuk membesarkan anak Jahidah, Eshan Nufail yang kini berusia lima tahun.
Namun jika gagal dilunaskan, hukuman penjara tambahan enam bulan akan dikenakan kepada tertuduh.
Ditanya mengenai mangsa lain yang pernah dikaitkan dengan lelaki sama, Fauziah berkata wanita tersebut dianggap bernasib baik kerana masih mampu bercakap dan menceritakan apa yang berlaku kepada pihak berkuasa.
Berbanding Jahidah, dia menjelaskan kakaknya tidak lagi mampu bercakap atau menyampaikan keadaan sebenar yang dialaminya.
Dalam nada tegas, Fauziah turut mengingatkan orang ramai khususnya wanita agar lebih berhati-hati kerana individu seperti itu tidak menunjukkan sebarang rasa serik.
“Mungkin ini doa orang-orang teraniaya” – Fazariah
Seorang lagi adik, Fazariah Nordin, turut meluahkan rasa menerusi media sosial dengan menyifatkan keputusan tersebut sebagai hasil doa orang-orang yang teraniaya.
“Mungkin ini adalah doa-doa orang yang teraniaya disebabkan ‘jantan’ durjana. Berapa ramai wanita telah menjadi mangsa sehingga trauma seumur hidup, dan berapa ramai anak yang turut menjadi mangsa.
“Anak-anak hanya berbinkan namanya sahaja, tetapi hakikatnya seperti tidak mempunyai bapa kerana tidak mendapat kasih sayang dan didikan yang sewajarnya.
“Apa yang dia tahu hanyalah ‘lepaskan benih’ dan menyebabkan para isteri menjadi koma atau cacat,” luahnya di Facebook.
Menurutnya, keadaan Jahidah kini sangat lemah sehingga disifatkan seperti tidak bernyawa, selain tidak mampu melakukan sebarang pergerakan.
Dia juga berharap orang ramai yang mungkin menyimpan rasa tidak puas hati terhadap kakaknya agar dapat memaafkan Jahidah memandangkan keadaannya sekarang yang sangat uzur dan tidak berdaya.

Gambar fail NSTP: Rosmaini ketika hadir di mahkamah di Johor Bahru, pada 4 November lalu atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Jahidah.
Hukuman maksimum beri sedikit kelegaan buat keluarga
Untuk rekod, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman maksimum iaitu penjara 14 tahun terhadap Rosmaini selepas menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman terdahulu iaitu penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Selain itu, panel yang dipengerusikan oleh Datuk Azman Abdullah dan dianggotai Datuk Noorin Badaruddin serta Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid turut memerintahkan tertuduh membayar ganti rugi sebanyak RM25,000 kepada mangsa, dengan tambahan enam bulan penjara sekiranya gagal melunaskannya.
Mahkamah memerintahkan hukuman berkenaan berkuat kuasa semalam.
Kes ini berpunca daripada kejadian pada tahun 2021 apabila mangsa yang ketika itu hamil dipukul, ditendang serta mengalami kecederaan parah.
Walaupun hukuman tersebut tidak mampu mengembalikan kehidupan normal Jahidah, keluarga tetap menganggap ia sebagai satu bentuk keadilan yang dinanti-nantikan selama ini.
Sumber: Harian Metro (1), (2) / Facebook Fazariah Nordin
FT Image: Harian Metro
