Keinginan seorang isteri mengidam ayam gepuk bertukar menjadi detik hitam apabila dia didakwa dibelasah suaminya dalam kejadian di sebuah flat di Jalan Ikan Ayu, Cheras, Kuala Lumpur, minggu lalu.
Insiden yang berlaku pada waktu petang itu bukan sahaja mencetuskan kemarahan lelaki berkenaan, malah menyebabkan wanita terbabit mengalami kecederaan sebelum mendapatkan rawatan di hospital.
ISTERI MENGIDAM AYAM GEPUK, DIBELASAH SUAMI

Gambar hiasan: Gemini AI
Kejadian tersebut difahamkan berlaku kira-kira jam 3.30 petang Rabu ketika mangsa yang merupakan suri rumah berada di rumah sebelum meminta suaminya membelikan ayam gepuk kerana mengidam.
Permintaan ayam gepuk buat suami berang
Menurut laporan polis, permintaan itu dipercayai mencetuskan kemarahan suspek sehingga berlaku pertengkaran antara pasangan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Mohd Rosdi Daud berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada malam hari yang sama.
“Namun permintaan itu dipercayai menimbulkan kemarahan suspek yang memaki hamun mangsa dengan menyebut dia membela tiga ekor ‘anjing’ dalam rumah ini dan menyuruh wanita itu masak sendiri.
“Suspek kemudian bertindak agresif dengan mencekik leher mangsa sebelum mencapai sebilah pisau sayur dan meletakkannya di leher wanita berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau lagi, suspek turut bertindak lebih agresif apabila menampar muka serta menumbuk kepala mangsa ketika pertengkaran tersebut berlaku.
Baca juga: Hukum Jimak Suami Isteri Di 10 Malam Terakhir Ramadan & Ini Adabnya Kalau Masih Nak ‘Buat’

Gambar hiasan: Gemini AI
Mangsa cedera dan dapatkan rawatan di hospital
Akibat kejadian itu, wanita berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian leher sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kanan leher sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras.
“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.
Difahamkan selepas menerima rawatan, keadaan mangsa kini stabil.
Polis buka kertas siasatan
Susulan laporan yang dibuat, pihak polis telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat kejadian tersebut.
Menurut Mohd Rosdi, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta tindakan lanjut yang boleh diambil terhadap suspek.
Baca juga: Baru Jumpa Sekali Dah Rasa ‘Inilah Dia’… Betul Ke Jatuh Cinta Pandang Pertama Atau Mainan Hormon?
ISTERI HAMIL MENGIDAM ITU BIOLOGI!
Di sebalik kisah isteri mengidam yang berakhir dengan keganasan rumah tangga ini, perkongsian daripada Public Health Malaysia (PHM) turut menjelaskan bahawa situasi mengidam ketika hamil sebenarnya mempunyai penjelasan dari sudut sains dan biologi.
Menurut PHM, keinginan luar biasa terhadap makanan tertentu bukanlah sekadar sikap “mengada-ngada”, sebaliknya berlaku akibat perubahan besar dalam tubuh wanita yang sedang hamil.
Antara sebab wanita hamil mengalami fasa mengidam ialah:
1. Hormon sedang ‘reset’ otak
- Paras hormon estrogen dan progesteron meningkat dengan ketara ketika kehamilan.
- Perubahan ini boleh mengubah cara otak memproses deria rasa dan bau.
- Sebab itu ada makanan yang biasanya biasa sahaja tiba-tiba menjadi meloyakan, manakala makanan tertentu pula terasa sangat “memanggil”.
2. Hormon lapar dan kenyang berubah
- Sistem kawalan selera makan dalam badan seperti hormon leptin dan ghrelin turut mengalami perubahan.
- Ia berlaku kerana tubuh sedang menyesuaikan diri untuk menampung keperluan tenaga ibu serta menyokong perkembangan janin dalam kandungan.
3. Sistem perlindungan semula jadi badan
- Dari sudut sains, rasa loya dan mengidam juga dilihat sebagai mekanisme semula jadi badan untuk melindungi janin daripada bahan tertentu yang mungkin memudaratkan.
Dalam masa sama, mereka turut mengingatkan bahawa kebanyakan situasi mengidam makanan adalah perkara normal bagi wanita hamil.
Namun begitu, jika seseorang wanita tiba-tiba mengidam benda bukan makanan seperti ais batu secara luar biasa, tanah, kertas atau kapur, keadaan itu boleh menjadi petanda masalah kesihatan.
- Ia berkemungkinan menandakan tubuh mengalami kekurangan zat besi atau anemia.
- Situasi ini memerlukan pemeriksaan dan nasihat daripada doktor.
Sehubungan itu, para suami disarankan agar lebih memahami keadaan emosi dan fizikal pasangan yang sedang hamil. Jika tidak mampu memenuhi keinginan tersebut, sebaiknya berbincang dengan baik dan memberi sokongan emosi, bukannya bertindak agresif sehingga mencetuskan keganasan dalam rumah tangga.
Sumber: Sinar Harian / AWANI / Public Health Malaysia
FT Image: Gemini AI
