Kehilangan adik manja secara tiba-tiba dalam kalangan adik-beradik, merupakan sesuatu yang sukar diungkapkan.
“Rindu seumur hidup, kasih sepanjang masa”, itulah ungkapan yang sesuai diberikan kepada Nurul Athirah Ahmad, 23 tahun, yang sedang melalui fasa tersebut.
PILU! MUHAMMAD AIDIL, ADIK MANJA KINI PERGI BUAT SELAMANYA

Gambar Muhammad Aidil yang kini tinggal kenangan.
Kenangan manis yang tetap hidup
Bagi Nurul Athirah, Ramadan dan Syawal tahun ini terasa agak sunyi selepas adik lelakinya, Muhammad Aidil, meninggal dunia pada 5 Disember tahun lalu, ketika tidur.
Aidil ketika kejadian yang berusia 20 tahun dan seorang operator kilang, bukan sahaja penyeri rumah tetapi juga adik manja yang rapat dengan semua ahli keluarga.
Rumah mereka di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam, selalu riuh dengan gelak tawa dan gurauannya.
“Dia selalu datang kepada saya, cerita apa sahaja yang berlaku. Tidak kira hal besar atau kecil, arwah akan berkongsi segalanya dan selalu meminta tolong, walaupun hanya untuk urusan kecil seperti membeli barang dalam talian,” kata Nurul Athirah.
Hari-hari terakhir Aidil juga meninggalkan kesan mendalam. Sehari sebelum pemergiannya, Aidil meminta puding karamel, yang sudah lama dia teringin.
“Dia dah lama teringin, tapi saya lambat buatkan. Arwah sampai merajuk sebab saya lambat buat.
“Tapi sebelum kejadian, saya sempat buatkan dan selepas maghrib arwah ada makan puding karamel dan makanan lain juga. Dia sangat selera masa itu, jadi kami ingat dia dah okay.” kata Nurul Athirah.
Namun, keesokan harinya, Aidil yang masih demam pergi dalam tidur di rumah mereka, meninggalkan kesedihan yang amat mendalam dan kenangan yang terpahat dalam ingatan gadis ini.
Syawal kini terasa sunyi
Selepas pemergian Aidil, suasana Ramadan tahun ini dan Syawal yang bakal tiba berubah sepenuhnya. Aidil yang dahulu paling teruja untuk pasang lampu raya, langsir baru dan bertanyakan tema baju raya, kini tiada lagi.
“Arwah orang yang paling teruja kalau nak raya, lebih-lebih lagi untuk pasang lampu raya, langsir baru, isi kuih raya dan duit raya. Tahun tahun lepas, sebelum puasa lagi dia dah teruja tanya tentang tema baju raya.
“Tahun ini keluarga kami ada yang tidak beli baju raya, ada yang sudah beli tapi tak ikut tema maacm dulu dah.
“Kuih raya pun beli sedikit je, lagipun kami semua tiada mood untuk beraya sangat,” tambahnya sayu dengan menyatakan hitam adalah warna kesukaan Aidil.
Makanan kegemaran arwah iaitu ayam percik untuk berbuka dan ayam masak merah serta rendang daging ketika raya, menjadi kenangan yang menghantui rasa rindu.
Walaupun begitu, mereka tetap berkumpul untuk berbuka dan sahur bersama mak serta keluarga besar dengan menghargai setiap detik yang masih ada.

Gambar: Arwah Aidil semasa puasa tahun lepas, yang tidak boleh berpisah dengan ayam percik menu Ramadan kesukaannya (kiri), puding karamel air tangan Nurul Athirah yang sempat dirasa oleh arwah sebelum meninggal dunia keesokannya (kanan).
Doa dan rindu yang tak bertepi
Bagi Nurul, kehilangan Aidil meninggalkan rindu yang sukar digambarkan.
“Saya cuma nak cakap yang saya sayangkan dia dan rindukan dia sangat sangat. Rumah ni sangat sunyi sepi bila dia tak ada, sejujurnya saya sangat perlukan dia sebab dia seorang saja kawan yang saya ada dan saya percaya,“ kata Nurul Athirah.
Namun, dia tetap mendoakan agar Aidil tenang di sana, sementara keluarga yang masih ada terus sihat kerana gadis muda ini sudah tidak kuat untuk kehilangan sesiapa lagi dalam hidupnya, yang mana ayah dan abang keduanya juga telah pergi buat selamanya.
Seiring dengan itu, Nurul Athirah turut berkongsi nasihat dan kata-kata semangat untuk mereka yang sedang berada dalam fasa kehilangan.
“Nasihat saya kepada mereka yang sedang melalui fasa ini adalah untuk memberikan ruang dan waktu yang secukupnya kepada diri sendiri.
“Kehilangan bukanlah sesuatu yang perlu diubati dengan segera, proses ni memang lambat untuk sembuh. tapi percayalah lama lama kita akan okay dan redha,” ujarnya diakhir perbualan bersama penulis.
Nota penulis:
Ketahuilah sebagaimana dalam Surah Al-Baqarah ayat 286 menegaskan bahawa, Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.
AMARAN!
Artikel ini merupakan temu ramah eksklusif Siraplimau untuk artikel khas Salam Syawal Siraplimau 2026 edisi syahdu dengan pihak terbabit. Jadi, anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di laman portal yang lain tanpa pemberian kredit yang tepat.
Sumber: TikTok @athyyyyy0
