Menjadi seorang kakak sulung bukan sekadar gelaran bagi Fatin Nur Shahira Mahat, kerana dia mengusung tanggungjawab yang besar. Bagi wanita berusia 32 tahun ini, tanggungjawab itu muncul setelah kehilangan ibu bapa dan kemalangan yang menimpa adiknya.
Sejak itu, hidup Fatin berubah, dari mengurus keluarga sendiri kepada menjaga adik yang terlantar sakit sepenuh masa, sambil memastikan keluarga tetap utuh dan harmoni.
Baca juga: Baru Usia 17 Tahun, Iskandar Warid Berjaya Lanjut Pengajian Perubatan Di Universiti Terkemuka Rusia!
KISAH INSPIRASI KAKAK SULUNG BERNAMA FATIN NUR SHAHIRA

Gambar: Muhammad Nur Aliff, 28, sebelum ditimpa kemalangan (kiri).
Pengorbanan seorang kakak sulung
Fatin berkongsi bahawa kehidupannya berubah sepenuhnya selepas kemalangan yang menimpa adik tercinta, Muhammad Nur Aliff, 28, pada November 2016, yang dalam perjalanan pergi kerja dari Felda Air Tawar 5 Kota Tinggi ke Bandar Penawar.
Kemudiannya sekali lagi, kehidupan keluarga kecil ini diuji apabila dua beradik ini kehilangan ayah mereka pada 2023 kerana komplikasi stroke. Sementara, ibu mereka telah dijemput Ilahi pada 2006 akibat kanser payudara.
Menurut Fatin, antara cabaran terbesar yang dihadapinya adalah ketika membuat keputusan untuk mengambil alih penjagaan Aliff sepenuhnya pada tahun 2023 dengan menghantar notis berhenti kerja 24 jam.
“Agak berat tapi saya tiada pilihan. Aliff cuma ada saya sebagai satu-satunya keluarga kandung dan dia adalah amanah arwah ibu dan ayah saya,” jelasnya.
Kini, tanggungjawab menjaga adik yang terlantar sepenuhnya di rumah menjadi rutin harian yang tidak pernah rehat.
“Setiap pagi saya uruskan Aliff, biasanya mengambil masa dua jam selepas Subuh. Selepas itu, tukar pampers dan bagi susu setiap empat jam. Tahun ini genap 10 tahun dia hanya bergantung pada susu sepanjang hayatnya,” kata Fatin.
Suami Fatin menjadi penyokong utama, membantu membahagikan masa antara keluarga sendiri dan penjagaan Aliff.
“Saya dan suami memang kena jadi the best teamwork untuk bahagi masa antara kehidupan peribadi dan tanggungjawab,” tambahnya.
Cabaran menjaga adik terlantar
Akibat kemalangan tersebut, Aliff disahkan lumpuh seluruh badan dan tiada harapan untuk pulih seperti sediakala. Sejak itu, keadaan tulang kaki dan tangan Aliff makin membengkok akibat terlalu lama tidak bergerak.
Peralatan perubatan seperti tiub PEG untuk makan dan tracheostomy, serta sesi fisioterapi, adalah keperluan utama bagi penjagaan adik.
Fatin berkongsi cabaran paling sukar ialah untuk mengetahui bila Aliff sakit atau tidak, “Kalau Aliff sakit, muka dia akan berkerut tapi saya tak tahu apa dan bahagian mana. Agak kasihan pada dia.”
Namun, kehadiran anak sulungnya, Aleesa, 6, memberi sinar ceria kepada rumah mereka. Puteri cilik ini rajin berbual dengan Aliff, selain membantu menjaga pakciknya, membersihkan muka, bagi air guna picagari dan sikat rambut.
Malah, Fatin turut mengingatkan anaknya bahawa itu adalah latihan kasih sayang dan tanggungjawab yang akan dia pegang bila besar nanti.

Gambar: Aliff bersama arwah ayahnya (kiri); Aliff kelihatan ceria di samping 2 anak buahnya (kanan).
Sambutan Syawal dua beradik bersama kenangan ibu ayah
Berkongsi Fatin lagi, kehilangan kedua-dua orang tuanya tidak memudarkan semangat Aidilfitri. Syawal tetap disambut bersama cahaya kebahagiaan dan amanah yang dibawa.
Masakan tradisi Syawal keluarganya seperti seperti lodeh, ayam masak merah dan rendang tetap dilakukan Fatin, selain menziarahi saudara-mara di kampung bersama keluarga kecilnya.
“Jika pergi ke mana-mana, saya akan upah orang untuk jaga Aliff. Tahun ini tahun ke-3 saya menjaga Aliff sepenuhnya selepas ketiadaan ayah. Alhamdulillah, dia semuanya baik sahaja dan melaluinya seperti biasa,” kata Fatin.
“Harapan saya sempena Ramadan dan Syawal ini, Allah SWT sentiasa melindungi keluarga kecil saya dalam rahmat dan redhanya, direzekikan dengan segala perkara baik. Sihat sekeluarga Insha Allah,” tambahnya dengan penuh harapan.
Bahkan, Fatin juga menitipkan kata-kata semangat kepada mereka yang melalui dugaan besar agar sentiasa yakin dan berharap kepada Allah SWT.
“Mungkin kita rasa ini titik terendah dalam hidup kita tapi tetap lah yakin pada pencipta. Dia yang memberi rasa sakit perit dan pasti dia juga yang menyembuhkan. Sentiasa yakin dan berharap hanya pada Allah SWT, bukan manusia.
Fatin berkata, pengalaman menjaga adiknya bukan sahaja menekankan betapa pentingnya sokongan emosi dalam proses penjagaan, malah menunjukkan bahawa kasih sayang dan ikatan kekeluargaan sendiri mampu menjadi ‘ubat’ paling berharga.
“Keluarga kami mungkin tidak memerlukan bantuan, namun sekiranya ada pihak yang ingin menyumbang kepada Aliff, akaun banknya seperti berikut: BSN 0116241100056504 – MUHAMMAD NUR ALIFF BIN MAHAT,” ujarnya di akhir temu bual bersama penulis Siraplimau.
Nota penulis:
Ketahuilah sebagaimana dalam Surah Al-Baqarah ayat 286 menegaskan bahawa, Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.
AMARAN!
Artikel ini merupakan temu ramah eksklusif Siraplimau untuk artikel khas Salam Syawal Siraplimau 2026 edisi syahdu dengan pihak terbabit. Jadi, anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di laman portal yang lain tanpa pemberian kredit yang tepat.
Sumber: TikTok @fnsm89
