Euforia Bola 2026
Famili

“Hayl Haarith Pergi Terlalu Awal” – Kehilangan Tragis, Ibu Saudara Kongsi Kesedihan Bakal Sambut Aidilfitri Tanpa Si Kecil Ini..

IBU SAUDARA

Segmen Salam Syawal kali ini, penulis ingin menyingkap kisah pilu seorang ibu saudara yang kehilangan anak saudara berusia empat bulan.

Dalam suasana bakal menyambut Aidilfitri yang sepatutnya dipenuhi kegembiraan, pemergian bayi ini meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh keluarga, apatah lagi arwah baru sahaja menjadi penyeri dalam hidup mereka.

Baca juga: “Jangan Percaya Janji Manis” – Sultan Pahang Titah Wanita Lebih Waspada, Elak Tergesa-Gesa Kahwin Warga Asing

LUAHAN IBU SAUDARA HAYL HAARITH, “DIA SEPATUTNYA BERAYA BERSAMA KAMI”

IBU SAUDARA

Luahan ini dikongsikan oleh ibu saudara arwah, Nurulakma Hayati Mat Liki, 41 tahun, yang menceritakan detik-detik sukar terpaksa dilalui keluarga selepas tragedi tersebut.

Menurut Nurulakma, arwah Hayl Haarith merupakan seorang bayi yang sangat ceria, tidak banyak ragam dan mudah dijaga. Walaupun masih kecil, kehadirannya membawa kegembiraan kepada seluruh keluarga.

Hubungan antara Hayl dan bapanya juga sangat rapat walaupun mereka tinggal berjauhan. Setiap perkembangan Hayl sering dikongsikan oleh bapanya dalam kumpulan keluarga di WhatsApp, membuatkan semua ahli keluarga dapat mengikuti setiap momen membesarkan bayi tersebut.

Namun, kegembiraan itu berubah menjadi detik yang mengejutkan apabila keluarga menerima berita tentang keadaan Hayl pada awal pagi kejadian tersebut berlaku.

“Kami dapat berita pagi sebelum subuh, papa Hayl ada bagitahu dalam group Whatsapp bahawa Hayl dalam keadaan kritikal dan berada di kecemasan hospital. Memang kami sekeluarga terkejut bila menerima berita itu. Memang saya sedih bila terima maklumat yang mengatakan Hayl sudah tidak bernyawa,” luahnya sayu.

Kehilangan anak saudara berusia empat bulan itu pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh ahli keluarga. apatah lagi arwah baru sahaja menjadi penyeri dalam hidup mereka.

Aidilfitri tahun ini sepatutnya menjadi detik istimewa buat keluarga kerana Hayl dijangka beraya bersama mereka semua. Namun, selepas tragedi tersebut, suasana Syawal yang dinantikan bertukar menjadi suram. Menurut Nurulakma, ketiadaan Hayl pastinya akan dirasai oleh seluruh keluarga.

Lebih menyentuh hati, ibu kepada Hayl juga dijadualkan bertugas pada hari raya nanti, menjadikan sambutan Aidilfitri tahun ini terasa lebih berat buat mereka.

IBU SAUDARA

Kenangan yang tinggal hanya dalam gambar

Sepanjang empat bulan bersama keluarga, kenangan paling manis tentang Hayl banyak dikongsi melalui gambar dan perkembangan yang dimuat naik oleh bapanya dalam kumpulan keluarga.

Walaupun mereka tinggal berasingan, perkongsian tersebut menjadi cara untuk keluarga melihat tumbesaran Hayl dari semasa ke semasa. Kini, gambar-gambar tersebut menjadi kenangan yang amat berharga buat keluarga.

“Selalu papa Hayl berkongsi gambar-gambar Hayl dalam group family kami. Tentang perkembangan Hayl memandangkan Hayl dan ibu dia tinggal berasingan dengan kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nurulakma turut memaklumkan bahawa keluarga mereka sangat kecewa selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa menunjukkan sesuatu mencurigakan berkaitan kejadian tersebut.

Menurutnya, keluarga akan menuntut keadilan sepenuhnya agar individu terlibat menerima hukuman yang setimpal dengan kehilangan yang mereka alami. Mereka juga berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dengan telus supaya kebenaran dapat ditegakkan.

Sebagai ahli keluarga, Nurulakma berharap agar tiada pihak yang cuba mencampuri atau menghalang proses keadilan dalam kes ini.

Bagi mereka, kehilangan Hayl merupakan satu kehilangan yang tidak mungkin dapat diganti, dan satu-satunya harapan keluarga adalah agar keadilan dapat ditegakkan sepenuhnya.

IBU SAUDARA

Doa dan harapan buat ahli keluarga

Nurulakma turut menitipkan pesanan kepada pengusaha pusat jagaan kanak-kanak agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga amanah yang diberikan oleh ibu bapa.

Dalam masa yang sama, dia juga memahami bahawa ramai ibu bapa terpaksa menghantar anak ke pusat asuhan kerana tuntutan kerja.

Dia menasihatkan agar ibu bapa tidak menyalahkan diri sendiri kerana usaha bekerja demi mencari rezeki untuk keluarga juga merupakan satu bentuk pengorbanan dan kasih sayang kepada anak-anak.

Dalam suasana Syawal yang penuh emosi ini, Nurulakma berdoa agar ibu dan bapa Hayl diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi ujian besar ini.

“Saya berdoa semoga ibu & Papa Hayl tabah serta kuat menerima berita kehilangan anak meraka ini. Bukan mudah untuk terima tapi semua ini ujian dari Allah,” jelasnya.

Baca juga: “Pelukan & Salam Raya 2024 Itu Sangat Berharga..” – Kini Susuk Tubuh Ibu Tidak Lagi Terlihat Di Pagi Raya

AMARAN!

Artikel ini merupakan temu ramah eksklusif Sirap Limau dengan pihak terbabit. Jadi, anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di laman portal yang lain tanpa pemberian kredit yang tepat.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×