Ramadan sering menjadi titik mula untuk ramai memperbaiki amalan, termasuk melunaskan qada solat fardu yang tertangguh bertahun-tahun. Dalam keghairahan mengejar pahala Tarawih berjemaah, timbul persoalan lain iaitu bolehkah seseorang berniat qada solat ketika imam sedang mendirikan solat sunat Tarawih?
Persoalan ini bukan perkara baharu dalam perbahasan fiqh, namun masih ramai yang keliru tentang keutamaannya, terutama bagi mereka yang mempunyai hutang solat yang banyak. Jadi, apakah hukum sebenar menurut pandangan ulama?
HUKUM QADA SOLAT FARDU DALAM SOLAT SUNAT TARAWIH

Gambar NSTP/Mohd Adam Arinin.
Hutang solat fardu wajib dilangsaikan
Menurut penjelasan rasmi daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, menggantikan solat fardu yang ditinggalkan adalah wajib, sama ada ia tertinggal kerana uzur syarie (terlupa atau tertidur), mahupun bukan uzur syarie (maksiat), maka dia wajib mengqadanya.
Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan. (Riwayat Bukhari & Muslim)
Sekiranya seseorang tidak mengetahui jumlah sebenar solat yang ditinggalkan, dia hendaklah berusaha membuat anggaran terbaik berdasarkan keyakinan (ghalabat al-zan).
Baca juga: Muhammad Harraz, Bilal Cilik Kuasai 5 Teknik Taranum Azan… Suara Lunak Buat Ramai Sebak!
BOLEHKAH QADA KETIKA IMAM SOLAT TARAWIH?
Secara asasnya, menurut mazhab Syafi‘i, sah seseorang yang mengqada solat fardu mengikuti imam yang sedang menunaikan solat sunat, termasuk solat Tarawih.
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa sah mengikut imam walaupun terdapat perbezaan niat antara imam dan makmum, selagi memenuhi syarat sah berjemaah.

Gambar NSTP/Asyraf Hamzah.
Namun, dalam konteks qada solat fardu dalam solat sunat Tarawih seseorang hendaklah melihat kepada keadaan solat yang ditinggalkan tersebut:
1. Jika solat ditinggalkan dengan sengaja tanpa uzur syarie
Golongan ini wajib segera menggantikan solat qada terlebih dahulu sebelum melakukan ibadah-ibadah sunat yang lain. Hal ini kerana, ibadah yang wajib adalah lebih utama dan didahulukan berbanding ibadah sunat dan selainnya.
Dalam konteks ini, masa solat Tarawih sepatutnya digunakan untuk qada solat fardu. Mereka digalakkan mengqada solat di belakang imam Tarawih bagi mendapatkan kelebihan solat berjemaah.
2. Jika solat ditinggalkan kerana uzur syarie
Golongan ini disunatkan menyegerakan qada, namun diberikan pilihan:
- Mengqada sebelum atau selepas melaksanakan solat sunat Tarawih
- Mengqada dengan mengikuti imam Tarawih secara berjemaah
Malah, mereka tetap memperoleh kelebihan solat berjemaah berdasarkan hadis:
Maksudnya: Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.
Baca juga: Sentuhan Ramadan Ee Wei Curi Perhatian, Bina Replika Kaabah & Beri Ucapan Ringkas Dipuji Peminat
Ilmu fiqh praktikal yang perlu difahami
Perbincangan ini membuka mata ramai bahawa fiqh ibadah bukan sekadar teori, tetapi berkait rapat dengan realiti kehidupan. Ramai mungkin membesar tanpa mengetahui kaedah praktikal melunaskan hutang solat, sedangkan peluang sentiasa ada untuk memperbaiki amalan.
Apa yang penting, setiap hutang kepada Allah SWT tetap perlu dilunaskan. Sama ada melalui qada secara bersendirian atau dengan menyertai jemaah, yang utama ialah kesungguhan untuk menyelesaikannya.
Sumber: Portal Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
FT Image: NSTP/Ghazali Kori
