Euforia Bola 2026
Famili

Masjid Wilayah Perkenal Servis ‘Childcare’ Waktu Tarawih, Mudahkan Ibu Bapa Solat Khusyuk & Anak Selamat!

masjid wilayah persekutuan

Bagi ibu bapa yang ada anak kecil, pasti pernah rasa serba salah setiap kali berdiri lama dalam saf solat Tarawih bukan? Hal ini kerana ada ibu bapa yang membawa anak kecil dan risau mereka meragam, menangis atau tak selesa di ruang solat. Memahami dilema ini, Masjid Wilayah Persekutuan tampil dengan satu inisiatif yang cukup menyentuh hati.

Masjid Wilayah Persekutuan menyediakan servis penjagaan anak-anak khas sepanjang solat Tarawih menerusi Program Aulad Care dan mendapat sambutan positif!

Baca juga: “Tak Perlu Pusing Lama…”- Bazar Ramadan Putrajaya Dipuji, Siap Ada Infografik Penuh Lot Niaga & Menu Jualan!

MASJID WILAYAH PERSEKUTUAN SEDIA SERVIS PENJAGAAN ANAK KECIL, MUDAHKAN IBU BAPA SOLAT TARAWIH

masjid wilayah persekutuan

Inisiatif ini bukan sekadar memudahkan, malah menjadi ‘penyelamat’ buat ramai ibu bapa yang rindu untuk kembali menghidupkan malam Ramadan dengan lebih tenang dan khusyuk.

Malam pertama Ramadan menjadi bukti keberkesanan program ini apabila Ruang Legar Aras 2, Anjung C masjid tersebut dipenuhi gelak tawa kanak-kanak yang dijaga rapi oleh petugas.

Bermula jam 8.00 malam hingga 10.00 malam, anak-anak berusia antara 1 hingga 6 tahun boleh ditempatkan di ruang khas yang selamat dan mesra kanak-kanak. Dalam tempoh itu, ibu bapa berpeluang menunaikan solat Isyak dan Tarawih dengan lebih fokus tanpa perlu bergilir-gilir menjaga anak.

Usaha ini sangat bertepatan dengan nilai rahmah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam satu hadis sahih riwayat Sahih al-Bukhari, Baginda bersabda:

“Sesungguhnya aku berdiri untuk solat dan aku berniat untuk memanjangkannya, kemudian aku mendengar tangisan bayi, maka aku pun meringkaskan solatku kerana aku tidak mahu memberatkan ibunya.”

Hadis ini jelas menunjukkan Islam amat memahami situasi ibu bapa yang membawa anak kecil ke masjid. Apa yang dilakukan oleh pihak masjid hari ini boleh dianggap sebagai satu terjemahan moden kepada sifat rahmah yang ditunjukkan oleh Baginda SAW.

Masjid Mesra Keluarga, Ibadah Jadi Lebih Berkualiti

masjid wilayah persekutuan

Program penjagaan anak-anak ini bukan sekadar menyediakan ruang menunggu. Ia dirancang dengan sistematik supaya anak-anak berada dalam persekitaran yang selamat, terkawal dan menyeronokkan.

Secara tidak langsung, ruang solat utama juga menjadi lebih kondusif dan tenang untuk jemaah lain. Semua pihak mendapat manfaat, ibu bapa lebih khusyuk, jemaah lain lebih selesa, dan anak-anak pula mula membina memori indah tentang suasana masjid sejak kecil.

Inilah gambaran masjid yang inklusif dan mesra komuniti. Institusi yang bukan sahaja menjadi tempat ibadah, tetapi juga pusat sokongan buat keluarga muda yang sedang membina kehidupan beragama.

Dengan adanya servis seperti ini, ibu bapa tidak lagi perlu memilih antara menjaga anak atau hadir berjemaah di masjid. Kedua-duanya boleh dilakukan dengan lebih harmoni. Inisiatif seperti Program Aulad Care wajar dijadikan contoh oleh masjid-masjid lain di seluruh negara. Sokongan terhadap ibu bapa muda sebenarnya adalah pelaburan jangka panjang dalam membina generasi yang cintakan rumah Allah.

Kesimpulannya, usaha murni yang digerakkan oleh Masjid Wilayah Persekutuan ini adalah sinar harapan buat ramai keluarga di Malaysia.

Servis penjagaan anak-anak seperti ini memberi ruang kepada ibu bapa untuk kembali meraih kemanisan qiyam Ramadan dengan fokus yang tidak berbelah bahagi. Dalam masa sama, anak-anak turut merasai suasana Ramadan dalam persekitaran yang selamat dan ceria. Terbaik!

Baca juga: Anak Mula Tanya ‘Kenapa Mommy Puasa?’ – Detik Comel Eidress Buat Anzalna Nasir Rasa Nak Latih Puasa Awal

Sumber: Instagram @masjidwilayahpersekutuan

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×