Setiap Ramadan, masjid dipenuhi jemaah yang hadir menunaikan solat tarawih bersama keluarga, dipimpin oleh imam tarawih yang mengimamkan solat dan menyampaikan tazkirah ringkas. Ada yang datang kerana rutin tahunan, ada juga yang baru belajar mendekati rumah Allah. Kadangkala, perkara kecil yang berlaku di masjid sebenarnya mampu memberi kesan besar kepada orang lain.
Begitulah pengalaman yang dilalui seorang imam tarawih di Melaka apabila menerima sekeping nota kecil berwarna kuning daripada seorang ibu selepas selesai solat tarawih.
Baca juga: Profesor Kongsi Tips Latih Anak Berpuasa, Dari Usia 2 Hingga 12 Tahun Lain Kaedahnya!
Imam Tarawih Terharu Terima Nota Kuning Daripada Seorang Ibu

Foto: Harian Metro
Menurut perkongsian di Facebook, Mohd. Najib Khasim, 50, yang telah menjadi imam solat tarawih di Masjid Nurul Hidayah, Batu Berendam sejak lebih sedekad lalu, mengakui Ramadan yang dilaluinya setiap tahun biasanya hampir sama.
Namun, Ramadan kali ini memberikan kenangan yang cukup bermakna buat dirinya.
Selepas selesai menunaikan solat tarawih, seorang wanita datang menyerahkan sekeping nota kecil kepadanya. Pada awalnya, beliau tidak menyangka nota tersebut membawa makna yang begitu mendalam.
Dalam perkongsian tersebut, Mohd. Najib berkata, sebagai seorang imam, kadangkala terlintas juga di fikirannya sama ada usaha kecil yang dilakukan seperti membaca al-Quran dan menyampaikan tazkirah ringkas benar-benar memberi kesan kepada jemaah.
“Kadang-kadang terlintas juga di hati, adakah apa yang kita lakukan ini menyentuh sesiapa,” kongsinya.
Namun persoalan itu akhirnya terjawab apabila beliau membaca isi kandungan nota yang diberikan oleh wanita tersebut.
ANAK BERUBAH SIKAP…

Foto: Facebook Abu Hubayb Official
Melalui nota itu, wanita berkenaan berkongsi tentang perubahan sikap anaknya terhadap masjid. Jika sebelum ini anaknya hanya datang ke masjid semata-mata untuk mengumpul duit raya, lama-kelamaan kehadiran itu berubah menjadi lebih ikhlas.
Perkara tersebut secara tidak langsung membuatkan beliau tersentuh kerana tidak menyangka usaha kecil yang dilakukan sepanjang mengimamkan solat dan berkongsi tazkirah mampu memberi kesan kepada orang lain.
Mohd. Najib turut berharap agar beliau dapat terus istiqamah menjalankan tanggungjawab sebagai imam. Dalam masa sama, beliau juga mendoakan agar generasi muda terus membesar dengan kecintaan terhadap masjid dan kitab suci al-Quran.
Perkongsian itu turut menyentuh hati ramai netizen yang berpendapat bahawa perubahan besar sering bermula daripada perkara yang kecil.
Kadangkala, kita sendiri tidak sedar bahawa apa yang dilakukan mungkin menjadi sebab seseorang semakin dekat dengan Allah.
Baca juga: “Sebak Pula Tengok”- Adik Darjah 2 Penat Berpuasa Sampai Terbaring Tunggu Ayah Raih Pujian!
Sumber: Harian Metro
FT Images: Facebook Abu Hubayb Official dan Harian Metro
