Ribuan umat Islam rakyat Palestin solat Tarawih pertama bagi bulan Ramadan pada Selasa malam di perkarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, dalam suasana kawalan keselamatan yang ketat oleh tentera zionis.
Jemaah memenuhi ruang solat berbumbung serta dataran terbuka di kompleks masjid berkenaan dan solat Tarawih itu dipimpin oleh Sheikh Yusuf Abu Sneineh, khatib Masjid Al-Aqsa.
Baca juga: Baca Doa Ini Selepas Bersahur Sebanyak 7x, InsyaAllah Tak Rasa Dahaga Hingga Waktu Berbuka
RAKYAT PALESTIN SOLAT TARAWIH PERTAMA DI MASJID AL-AQSA

Walaupun suasana ibadah berlangsung dengan tertib, kehadiran anggota polis Isr*el dilihat jelas berada di dalam kawasan masjid dan bergerak di celah-celah jemaah ketika solat berlangsung.
Pengumuman rasmi mengenai permulaan Ramadan dibuat lebih awal oleh Sheikh Mohammed Hussein, Mufti Besar Baitulmaqdis dan wilayah Negara G. Beliau mengesahkan bahawa anak bulan Ramadan telah kelihatan mengikut prosedur hukum syarak, sekali gus menetapkan Rabu, 18 Februari 2026 bersamaan 1 Ramadan 1447 Hijrah.
Solat Tarawih tahun ini berlangsung dalam keadaan tegang, khususnya di sekitar Kota Lama dan kawasan Masjid Al-Aqsa. Pihak rejim zionis dilaporkan meningkatkan langkah keselamatan termasuk melakukan penahanan serta mengeluarkan larangan sementara terhadap tokoh agama dan aktivis daripada memasuki kawasan masjid.
Menurut laporan Euro-Mediterranean Human Rights Monitor, sekatan yang dikenakan di seluruh Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur semakin diperketat menjelang Ramadan, sekali gus menjejaskan akses umat Islam ke tempat ibadah.
Data yang dipetik daripada Pejabat Gabenor Baitulmaqdis menunjukkan lebih 250 perintah larangan memasuki Masjid Al-Aqsa telah dikeluarkan sejak awal tahun 2026. Pada Isnin lalu, Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Mohammad Al-Abbasi, turut ditahan sebelum dibebaskan dengan larangan memasuki masjid selama seminggu, yang boleh diperbaharui.

Operasi keselamatan Israel di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur semakin dipergiat sejak kempen ketenteraan dilancarkan di Gaza pada 8 Oktober 2023. Penduduk Negara G melihat peningkatan operasi seperti penahanan, pengusiran dan peluasan penempatan sebagai langkah yang boleh membawa kepada pengilhakan rasmi wilayah berkenaan.
Pada Julai 2024, International Court of Justice dalam satu pandangan penting mengisytiharkan bahawa pendudukan Israel ke atas wilayah Negara G adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa serta menyeru pengosongan semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Dalam suasana penuh cabaran ini, kehadiran ribuan jemaah untuk menunaikan Tarawih mencerminkan keteguhan iman serta keazaman umat Islam mempertahankan hak beribadah di tanah suci tersebut.
Sumber: Anadolu Ajansi
