Tragedi yang meruntun jiwa seluruh rakyat Malaysia empat tahun lalu kembali menjadi tumpuan apabila mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman terhadap individu yang meragut nyawa seorang bayi 9 bulan. Kes yang begitu menyayat hati ini sekali lagi mengingatkan kita betapa bahayanya apabila anak kecil dijaga oleh tangan yang salah.
Lebih memilukan, coretan si ibu selepas keputusan mahkamah dibacakan membuat ramai kembali sebak, seolah-olah luka lama yang tidak pernah benar-benar sembuh kembali terbuka.
Baca juga: Anak Sihat & Ceria Ketika Dihantar Ke Rumah Pengasuh, Pulang Dengan Muka Penuh Berbirat Luka!
4 Tahun Menanti Keadilan Kes Bayi 9 Bulan Diliwat: Lelaki Kejam Dipenjara 30 Tahun, 13 Sebatan

Foto Sinar Harian: Mohamed Badruldin dihukum penjara 30 tahun dan 13 sebatan atas tuduhan meliwat dan membunuh anak asuhan isterinya.
Pada Jumaat, tertuduh, Mohamed Badruldin Mohamed, 40 tahun, seorang penganggur, mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu meliwat dan membunuh bayi yang merupakan anak asuhan isterinya sendiri. Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi akhirnya memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga mangsa selepas bertahun menanggung trauma dan penantian.
Hukuman yang diputuskan:
- 10 tahun penjara + 1 sebatan (kes liwat)
- 30 tahun penjara + 12 sebatan (kes bunuh)
Hukuman berjalan serentak bermula 29 April 2021, tarikh dia ditangkap. Walaupun hukuman tidak mampu mengembalikan nyawa si kecil, keputusan ini sekurang-kurangnya memberi kelegaan bahawa keadilan akhirnya ditegakkan.
Bertambah luluh hati orang ramai apabila beberapa hari lepas, ibu kepada mangsa ada membuat coretan luahan di laman media sosialnya.
“Setelah 4 tahun aku menunggu keputusan dengan sabar sama ada kau bersalah atau tidak hari ini kau dijatuhkan hukuman.
Sebelum ni kau tak mengaku kau buat.
Apabila aku dengar DPP bagitahu terdapat kesan air mani di dalam dubur anak aku .YA ALLAH gelapnya dunia .Tergamak kau buat anak aku yang baru 9 bulan. Kau tak layak dipanggil manusia! Kau memang binatang! Kalau tengok hukuman yang dikenakan memang tidak setimpal dengan apa yang dia buat, nak buat macam mana negara kita sekarang dah tak ada hukuman bunuh, hanya panjara dan sebat.Tapi tak apa, aku sedikit lega.
Aku tahu Ida kau akan baca ini. Aku tak akan maafkan kau dengan Bad. Kau ingat kau ada anak dan karma itu pasti ada. Bermainlah anak di taman syurga. Dunia yang kejam ini bukan tempat mu. Semoga kita berjumpa disana..”
Fakta Kes Yang Meremukkan Hati

Foto @bieyadawiyah
Berdasarkan laporan forensik, beberapa bukti menunjukkan penderaan seksual berlaku ke atas bayi tersebut. Antara dapatan yang membuka tirai sebenar kejadian:
- DNA dan ekstrak air mani tertuduh ditemui di dubur dan usus besar mangsa
- Kecederaan akibat objek tumpul pada dubur bayi
- Luka koyakan dan lebam yang konsisten dengan penderaan seksual
- Punca kematian: smothering (dilemaskan)
Laporan bedah siasat oleh Pakar Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, mengesahkan semua kecederaan ini bukan kemalangan, tetapi akibat tindakan ganas dan kejam.
Pada hari kejadian, pengasuh, Norhidayah Ab Hamid, yang juga isteri kepada tertuduh, memaklumkan kepada ibu mangsa, Robiatul’ Adawiah Aziz, bahawa bayinya ‘tidak sedarkan diri’ dan telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh.
Doktor dan jururawat berusaha menjalankan CPR berulang kali, memasukkan tiub pernafasan, memberi empat ubat jantung dan menstabilkan tekanan darah. Namun, segala usaha sia-sia. Bayi berusia 9 bulan itu disahkan meninggal dunia pada 12.18 tengah hari, 28 April 2021.
Tertuduh didakwa mengikut:
- Seksyen 302 Kanun Keseksaan – kesalahan membunuh (hukuman mati)
- Seksyen 377C Kanun Keseksaan – persetubuhan luar tabii (penjara 5–20 tahun + sebatan)
Dalam prosiding, Timbalan Pendakwa Raya menegaskan bahawa hukuman berat amat wajar bagi kes sebegini kerana mangsa adalah bayi yang tidak berdaya, yang sepatutnya dilindungi, bukan dijadikan mangsa kerakusan seorang dewasa.
Perjalanan panjang keluarga mangsa menuntut keadilan akhirnya menunjukkan sinar. Walau luka tidak mungkin terubat, masyarakat turut merasai kesedihan yang ditanggung si ibu dan keluarga sejak hari tragedi itu berlaku. Semoga kisah ini membuka mata ramai agar lebih berhati-hati dan bersama-sama mewujudkan persekitaran lebih selamat untuk anak-anak kecil di negara kita.
*Al-Fatihah..
Baca juga: Bapa Terkejut Tengok CCTV Anak Dikasari, Kena ‘Heret Macam Lembu’ Oleh Pembantu Rumah!
Sumber: Sinar Harian, Biey Adwiyah
