Seorang ibu berkongsi kisah menyedihkan mengenai perubahan sikap anak lelakinya yang berusia sembilan tahun selepas ketagih bermain permainan dalam talian popular, game Roblox.
Menurut perkongsiannya di media sosial, sebelum mengenali permainan tersebut, anaknya merupakan seorang murid yang rajin, gemar melukis dan mempunyai minat mendalam terhadap sejarah serta bendera negara di seluruh dunia. Namun, segalanya berubah apabila permainan Roblox mula menguasai kehidupannya.
Baca juga: Nampak Comel, Tapi Bahaya! Ini 7 Risiko Game Roblox Buat Anak ‘Terperangkap’ Yang Ibu Ayah Tak Sedar
ANAK KETAGIH GAME ROBLOX, ASALNYA RAJIN JADI PEMALAS!
“Dulu anak saya bangun pagi semangat nak ke sekolah. Tapi sejak main Roblox, dia sanggup tipu kata sakit semata-mata nak duduk rumah main game,” tulis si ibu.
Antara perubahan ketara yang dialami anaknya termasuk:
- Bangun seawal jam 5 hingga 6 pagi hanya untuk bermain game.
- Tantrum dan marah bila disuruh tidur awal.
- Enggan keluar rumah, lebih suka duduk depan skrin.
- Sering berkata tiada kerja sekolah, sedangkan apabila diperiksa, banyak tugasan tertinggal.
Situasi itu membuatkan si ibu buntu dan akhirnya terpaksa mengambil langkah drastik.
“Saya ugut nak buat laporan polis dan hantar dia ke sekolah asrama kalau terus degil. Akhirnya saya padam permainan itu dan rampas telefon,” katanya.
SEBELUM KENAL ROBLOX WARNA-WARNI, LEPAS KENAL JADI LAIN..

Sebelum minat Roblox.
Ibu itu turut berkongsi dua hasil lukisan anaknya, satu sebelum mengenal Roblox dan satu selepas ketagihan bermula. Lukisan pertama penuh warna-warni dengan bendera pelbagai negara, menggambarkan minat dan semangat belajar anak kecil itu. Namun, lukisan selepasnya jelas menunjukkan perubahan emosi yang ketara iaitu suram dan hilang fokus.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai netizen, terutama dalam kalangan ibu bapa yang turut berdepan cabaran sama. Ramai bersetuju bahawa ketagihan permainan dalam talian boleh memberi kesan besar terhadap perkembangan mental dan sosial anak-anak, jika tidak dikawal sejak awal.
Ada juga yang mencadangkan agar pihak berkuasa meneliti semula kandungan permainan seperti Roblox, memandangkan ia kini mudah diakses oleh kanak-kanak tanpa kawalan.

Foto: Lukisan selepas dah minat Roblox.
Kisah ini menjadi peringatan buat semua ibu bapa agar lebih peka terhadap masa skrin dan aktiviti digital anak-anak, supaya mereka tidak tenggelam dalam dunia maya hingga mengabaikan dunia sebenar.
Sumber: Threads
