Mungkin ibu bapa nampak anak-anak comel ketika sedang main game Roblox bukan? Watak kartun berwarna-warni, boleh bina rumah, main dengan kawan nampak macam permainan budak-budak yang selamat namun tersembunyi sisi gelap dan bahaya Roblox.
Selain boleh menjejaskan minda, emosi dan akhlak anak-anak, permainan ini juga berpotensi untuk menyebabkan keganasan dalam kalangan kanak-kanak seperti kes kelar budak 6 tahun yang berlaku di Batu Pahat.
NAMPAK COMEL TAPI ADA 7 BAHAYA ROBLOX YANG MAK AYAH TERLEPAS PANDANG!

Foto: Joel Cunningham
Ini bukan untuk menakutkan, tapi sebagai peringatan bersama sebab terlalu ramai anak kecil yang ‘hilang diri’ dalam dunia maya yang disangka selamat.
1. Kandungan Tak Sesuai Dalam Game ‘User Created’
Roblox unik sebab sesiapa saja boleh cipta dunia dan permainan sendiri. Masalahnya, tiada saringan ketat malah ada game yang mengandungi unsur ganas, seram, malah lucah terselindung. Anak-anak boleh terdedah tanpa sedar hanya kerana klik permainan yang nampak ‘comel’.
Tip: Semak selalu senarai game yang anak main. Aktifkan content restriction untuk elak game tidak sesuai.
2. Chat Online Dengan Orang Tak Dikenali
Ramai ibu ayah tak sedar, Roblox benarkan chat terbuka dengan sesiapa saja termasuk orang dewasa yang berpura-pura jadi budak sebaya.
Dari “nak join game sama?” boleh bertukar jadi “boleh hantar gambar?” atau ajakan pindah ke platform lain. Itulah cara grooming digital bermula.
Tip: Matikan fungsi chat dalam tetapan akaun anak dan ajar anak jangan kongsi maklumat peribadi.
3. Ketagihan Robux — Duit Maya Yang Boleh Bawa Padah
Robux ialah mata wang dalam Roblox. Anak boleh guna untuk beli pakaian, rumah atau avatar baru. Masalahnya, ramai yang terlalu taksub nak nampak hebat macam kawan-kawan. Ada kes anak menggunakan ratusan hingga ribuan ringgit tanpa sedar semata-mata nak beli item maya.
Tip: Jangan simpan kad bank dalam akaun game. Gunakan gift card sahaja jika perlu.
4. Budaya Buli & Komuniti Toksik
Dalam dunia Roblox, buli digital berlaku secara halus contohnya kena ejek sebab avatar tak cantik atau kena ‘kick’ keluar dari game. Perkara kecil bagi orang dewasa, tapi boleh beri kesan besar pada emosi dan keyakinan diri anak.
Tip: Tanya anak tentang pengalaman bermain, adakah dia rasa diterima atau selalu terkena.
5. Game Gelap & Unsur Mistik Tersembunyi
Percaya atau tidak, ada game ‘gelap’ tersembunyi dalam Roblox dengan unsur ritual, seram dan simbol mistik. Anak mungkin anggap ia sekadar hiburan, tapi pendedahan berulang boleh ganggu tidur dan emosi.
Tip: Jangan biar anak main sorang. Luangkan masa untuk join dan tengok dunia maya yang dia terokai.
6. Ketagihan Serius Hingga Abaikan Dunia Nyata
Roblox direka dengan sistem ganjaran (reward system) yang aktifkan hormon dopamine, membuatkan anak rasa seronok setiap kali menang. Apabila berhenti main, mereka rasa kosong, marah, atau gelisah.
Tip: Tetapkan masa skrin harian dan galakkan aktiviti luar seperti bermain, membaca atau bersukan.
7. Tiada Kawalan Umur & Masa Yang Jelas
Ramai ibu bapa tidak aktifkan fungsi Parental Control, menyebabkan anak bebas akses permainan atau chat dewasa. Akhirnya, mereka menjelajah dunia yang tidak sepatutnya.
Tip: Aktifkan “Account Restrictions” dan pastikan akaun anak ditetapkan bawah umur 13 tahun.
Langkah Terkini: Garis Panduan Keselamatan Digital Akan Diperkenalkan

Berita baik untuk ibu bapa, satu garis panduan keselamatan digital, termasuk untuk permainan dalam talian seperti Roblox, akan diperkenalkan tidak lama lagi.
Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Muhammad Naim Mohd Zaharin, berkata langkah ini antara perkara yang dipersetujui dalam pertemuan antara pihaknya dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, serta wakil rasmi Roblox.
Tujuannya adalah untuk melindungi kanak-kanak daripada risiko siber, eksploitasi digital, dan kandungan tidak sesuai dalam permainan atas talian yang semakin popular.
Langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan dan pihak industri untuk memastikan dunia e-sukan dan permainan digital di Malaysia lebih selamat, terkawal dan mendidik.
*Kesimpulannya, kita tak boleh halang dunia digital, tapi kita boleh kawal pintu masuknya ke dalam hati anak-anak. Kadang-kadang, anak tak perlukan semua benda moden untuk bahagia, yang dia perlukan hanyalah masa, perhatian, dan kasih sayang sebenar daripada kita.
Baca juga: Rebah, Muntah & Trauma..Anak Kembar Usia 4 Tahun Didenda Lompat Bintang 100 Kali Di Tadika
Sumber: Free Malaysia Today, Hana Shahadan
