Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti mekanisme kawal selia baharu susulan kebimbangan terhadap peningkatan permainan bahaya dalam talian, yang dikhuatiri menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan mental kanak-kanak.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata langkah itu diambil susulan kebimbangan meningkat terhadap risiko keselamatan digital kanak-kanak, termasuk insiden terkini yang dikaitkan dengan permainan dalam talian Roblox.
10 PERMAINAN BAHAYA DALAM KALANGAN PELAJAR

Menurut beliau, kementerian sedang meneliti keperluan untuk melesenkan sekurang-kurangnya 10 permainan popular yang dianggap tidak sesuai untuk individu berumur bawah 16 tahun, antaranya Roblox, Grand Theft Auto (GTA), Call of Duty, PUBG, Free Fire, Fortnite, Dead by Daylight, Among Us, Horrorfield dan The Outlast Trials.
“Kami sedang menilai bentuk peraturan terbaik dan paling berkesan. Buat masa ini belum ada keputusan muktamad, namun kerajaan tidak akan berdiam diri dalam isu ini. Saya juga menyeru ibu bapa agar lebih peka dan memantau penggunaan internet anak-anak,” katanya.
Insiden di Kampung Parit Nipah Laut, Batu Pahat, Johor baru-baru ini turut mengundang perhatian apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah dipercayai dikelar dan ditikam oleh abangnya berusia sembilan tahun selepas berlaku pertikaian berkaitan permainan Roblox.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian selepas berang kerana kehilangan hampir sejuta mata permainan apabila telefon bimbitnya rosak.

Fahmi memaklumkan kementeriannya telah bertemu dengan wakil Roblox berikutan kejadian itu dan mengakui beliau sendiri melarang anaknya daripada bermain permainan tersebut serta memadam aplikasi itu daripada semua peranti di rumah.
“Sebahagian permainan ini mengandungi unsur jenayah, kekerasan dan perjudian, malah ada yang memberi ganjaran maya apabila pemain melakukan tindakan ganas. Ia boleh mempengaruhi emosi dan perkembangan minda kanak-kanak,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) dijangka mula berkuat kuasa awal tahun hadapan, yang akan mewajibkan penyedia platform digital menyediakan persekitaran siber lebih selamat untuk keluarga dan kanak-kanak.
Fahmi menambah, MCMC akan ke Singapura minggu depan bagi mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat media sosial antarabangsa mengenai pelaksanaan sistem eKYC (Electronic Know Your Customer) bagi memperkukuh verifikasi pengguna dalam talian.
Baca juga: Cuti Sekolah Penggal Pertama 2026 Dijangka Jatuh Pada Hari Raya Aidilfitri, Ramai Ibu Ayah Lega!
Sumber: BH Online
