Siasatan kes tikam pelajar yang melibatkan seorang murid lelaki berusia 14 tahun yang menikam rakan sekolahnya membawa kepada penemuan mengejutkan di mana sekeping nota bertulis tangan yang dipercayai milik suspek.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan, nota tersebut yang ditulis dalam bahasa Cina mengandungi mesej ringkas berbunyi dunia ini hanya palsu.
Baca juga: Polis Pandang Serius Tindakan Sekolah Sembunyikan Insiden, Keselamatan Pelajar Perlu Diutamakan!
KES TIKAM PELAJAR: SUSPEK SEMPAT TULIS NOTA “DUNIA INI PALSU”

Nota itu ditemui ketika tangkapan dibuat terhadap remaja berkenaan, dan bukan di lokasi kejadian seperti yang didakwa dalam laporan awal.
“Ya, kami sahkan nota tersebut dirampas bersama suspek ketika pemeriksaan dijalankan. Ia kini menjadi sebahagian daripada bahan siasatan,” katanya.
Menurut beliau lagi, kandungan penuh dan motif di sebalik nota berkenaan masih dalam proses siasatan terperinci. Setakat ini, pihak polis tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan kejadian berpunca daripada kes buli.
Namun, siasatan awal mengesyaki tindakan pelajar terbabit didorong oleh faktor emosi dan pengaruh daripada kandungan media sosial
“Siasatan menunjukkan tiada perubahan ketara pada tingkah laku suspek sebelum insiden berlaku. Namun kami tidak menolak pengaruh emosi yang tidak terkawal, serta pendedahan terhadap kandungan digital sebagai punca utama,” jelas Shazeli.
Walaupun siasatan setakat ini tidak menunjukkan pelajar terbabit mempunyai rekod gangguan mental, pihak polis tetap akan merujuk suspek untuk penilaian psikiatri selepas semua siasatan selesai.

“Suspek juga tidak mempunyai sejarah salah laku disiplin di sekolah,” tambahnya.
Dalam usaha melengkapkan siasatan, polis telah mengambil keterangan daripada 57 individu termasuk pelajar, guru dan ahli keluarg mangsa serta suspek.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari lokasi sekolah juga telah diperoleh dan sedang dianalisis bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kejadian.
Kejadian menyayat hati itu berlaku di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya. Mangsa, seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan menyeluruh dari pelbagai sudut bagi memastikan punca sebenar kejadian dapat dikenal pasti dan tindakan sewajarnya diambil mengikut lunas undang-undang.
Baca juga: Musim Sejuk Tak Jadi Masalah! Panduan Lengkap Bawa Anak Bercuti Ke Negara Sejuk
Sumber: Sinar Plus
