Semalam, suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi saksi kepada lautan manusia yang menyambut ketibaan para aktivis Malaysia pulang dari Gaza. Salah satu cara yang disarankan oleh aktivis popular Farah Lee yang mendapat pebagai pandangan adalah dengan memakai tudung T-shirt putih sebagai lambang solidariti.
Ada yang mengatakan bahawa tindakan ini tidak sewajarnya dilakukan, sebaliknya pemakaian tudung dengan cara yang betul masih boleh menjadi lambang solidariti.
CADANGAN PEMAKAIAN TUDUNG T-SHIRT FARAH LEE PERLU DITELITI SEMULA, “INI BUKAN DARURAT”

Foto di KLIA semalam. (Berita Harian)
Untuk pengetahuan ramai, menerusi perkongsian di laman Instagramnya, Farah Lee menyeru rakyat Malaysia untuk memakai T-shirt putih sebagai simbol hijab ketika hadir di KLIA malam semalam. Menurutnya, inisiatif itu bukan sekadar satu perhimpunan, tetapi panggilan hati nurani untuk berdiri bersama mereka yang dizalimi, khususnya wanita-wanita Palestin yang terus berjuang dalam penindasan.
“Panggilan Solidariti! Bersama Farah Lee dan Delegasi Malaysia. IOF sangka mereka sudah menjatuhkan maruah wanita Muslim, tetapi mereka lupa, selagi ada sehelai benang pada tubuh, wanita Muslim akan tetap berusaha menutup auratnya dengan penuh harga diri.
“Tindakan mereka tidak akan mematahkan semangat, sebaliknya menjadi modal untuk kita bersolidariti! Mari kita sama-sama penuhi KLIA dengan berpakaian T-shirt putih sebagai simbol hijab, tanda sokongan dan kasih terhadap delegasi wanita Malaysia serta wanita-wanita di Palestin,” tulis Farah di Instagramnya.
MUFTI KENA TEGUR, JANGAN TERSASAR LANDASAN HUKUM

Foto: Kosmo
Namun begitu, inisiatif ini turut menarik perhatian Ustazah Nazirah Abd Rahim, yang menasihatkan agar semangat solidariti tetap berpaksikan kepada garis panduan syariat Islam.
Dalam hantaran di laman Facebook, beliau menulis bahawa Mufti wajar memberi panduan kepada gelombang kebangkitan ummah ini agar tidak tersasar dari landasan hukum. Malah, ramai juga dalam kalangan netizen bersetuju dengan pandangan ustazah dan mengatakan bahawa ini bukan situasi dalam darurat seperti yang dilaluinya.
“Pemakaian tudung tetap perlu ikut syariat. Beza masa dharurat itu perlu difahami oleh muslimah. Tidaklah kebaikan itu mengikut cara kita,” katanya.
Walau apa pun pandangan, kempen T-shirt putih di KLIA jelas mencerminkan semangat perpaduan rakyat Malaysia dalam menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dengan mesej bahawa setiap helaian kain putih membawa makna kemanusiaan, harga diri dan kasih sesama insan.
Sumber: Ustazah Nazirah Abd Rahim
