Di sebalik kesibukan tugasan harian seorang doktor, tular di media sosial perkongsian menyentuh hati mengenai sikap murni seorang doktor muda di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Perkongsian yang dimuat naik oleh pengguna Threads, @syazwanybaha, telah meraih perhatian ramai apabila dia menceritakan pengalaman melihat sendiri layanan penuh empati seorang doktor lelaki dipercayai bernama Dr. Praveendurai Krisnasamy terhadap seorang ibu baru bersalin.
Bayi Menangis Lama, Doktor Muda Datang Bantu Tenangkan Buat Ramai Tersentuh

Menurut Syazwani di laman Threads, di hadapan katilnya terdapat seorang ibu yang baru melahirkan bayi dan sedang berehat dengan lena. Namun, bayi berkenaan menangis dengan kuat dalam tempoh agak lama, sedangkan si ibu masih tidak sedarkan diri kerana terlalu penat selepas proses bersalin.
Secara kebetulan, ketika itu Dr. Praveen sedang membuat rondaan dan menyemak fail pesakit di katil berhampiran. Melihat keadaan tersebut, beliau tanpa berlengah terus mendekati bayi berkenaan, lalu mengangkat dan mendodoikannya sehingga tangisan si kecil reda.
Namun, sebaik sahaja bayi diletakkan semula, tangisan kembali kedengaran. Tidak berputus asa, Dr. Praveen berpatah balik dan sekali lagi mendodoikan bayi tersebut sehingga benar-benar tidur lena sebelum meletakkannya semula dengan penuh cermat.
Apa yang menyentuh hati, sepanjang kejadian itu doktor berkenaan langsung tidak mengejutkan si ibu yang sedang tidur, malah membiarkannya terus berehat selepas melalui keletihan melahirkan anak.
Ramai Terharu, Puji Empati Doktor

Foto hiasan.
Perkongsian tersebut kini sudah mencecah lebih 180,000 tontonan dan menerima pelbagai reaksi positif daripada warga maya. Rata-rata netizen, khususnya para ibu, berasa terharu dengan keprihatinan doktor muda itu yang begitu memahami situasi seorang wanita selepas bersalin.
Malah, ramai berkongsi pengalaman serupa apabila mendapat rawatan daripada doktor yang sama, menggambarkan bahawa sikap mesra dan penuh empati sudah menjadi kebiasaan beliau.
“Awak boleh SISPAA doktor yang baik ini, SISPAA bukan untuk aduan je, boleh bagi pujian dekat doktor ini” tulis netizen.
Dr. Praveen sendiri sempat meninggalkan komen balas dengan mengucapkan selamat berpantang kepada pesakit, sekali gus menambahkan lagi rasa hormat masyarakat terhadap dirinya.
Kisah ini bukan sahaja menyentuh hati, tetapi juga menjadi contoh bahawa sikap prihatin seorang doktor mampu memberi kesan besar kepada pesakit dan ahli keluarga. Tindakan kecil mendodoikan seorang bayi tanpa mengganggu ibu yang sedang keletihan, jelas membuktikan bahawa peranan doktor bukan sekadar merawat penyakit, tetapi juga menyentuh hati insan lain dengan belas ihsan.
Baca juga: Janin Cukup Sifat DIBUANG Di Tandas Stesen Minyak, Video Tular Dedah Si Ibu Sempat Beli Tuala Wanita
Sumber: Threads
