Kehilangan orang tersayang sememangnya ujian paling berat, apatah lagi apabila ia berlaku secara berganda dalam sekelip mata seperti bayi meninggal dalam kandungan dan ibu yang melahirkan pun turut ‘pergi’…
Itulah detik hitam yang menimpa sebuah keluarga apabila seorang wanita, Nuraderrah Hasnul Hafidzan, 31 tahun, disahkan meninggal dunia hanya beberapa jam selepas melahirkan bayi perempuan yang tidak bernyawa pada 19 Ogos lalu.
Baca juga: Wanita Baru Bersalin Alami Rahim ‘Terkeluar’ Dari Miss V Lepas Dukung Anak, Ada Cebisan Daging!
BAYI MENINGGAL DALAM KANDUNGAN, IBU PULA MENYUSUL SELEPAS BEBERAPA JAM…

Foto: Threads
Menurut perkongsian kakak arwah di laman Threads, bayi itu yang diberi nama Nyra, disahkan meninggal dunia dalam kandungan pada usia tujuh bulan, sekitar jam 4.40 pagi.
“Ramai menyangka Nyra lahir pramatang dan meninggal selepas dilahirkan, tetapi hakikatnya dia sudah pergi terlebih dahulu dalam rahim ibunya,” tulisnya menerusi akaun @attiliahasnu.
Lebih memilukan dalam kisah ini adalah, pada jam 3 petang hari yang sama, Nuraderrah merupakan ibu yang melahirkan bayi tersebut pula menyusul meninggalkan dunia.
Arwah yang berkhidmat sebagai pegawai tadbir di sebuah universiti awam sebelum ini tidak pernah mengalami masalah kesihatan serius sepanjang kehamilannya. Malah, ketika membuat pemeriksaan di hospital swasta pada 15 Ogos, doktor mengesahkan keadaan beliau dan bayi berada dalam keadaan baik.
Namun, sehari selepas itu, Nuraderrah yang juga memiliki seorang anak lelaki bernama Noah masih sempat bermain pickleball bersama keluarga, sebelum mengadu tidak sihat pada 17 Ogos.
Keesokan harinya, dia mengalami demam dan didiagnosis menghidap jangkitan saluran kencing (UTI). Dia kemudiannya dirujuk ke sebuah hospital wanita dan kanak-kanak di Kajang, Selangor.
DUA KALI JANTUNG SI IBU TERHENTI, TRAUMA

Foto: Threads
“Malam itu, keadaan Aderrah dan Nyra masih stabil. Tetapi pada pagi 19 Ogos, doktor maklumkan Nyra sudah meninggal dunia dalam kandungan. Sekitar 7.30 hingga 8 pagi, Aderrah mula kontraksi dan melahirkan secara normal,” kongsi kakaknya.
Namun, keadaan berubah apabila Nuraderrah mengalami pendarahan serius selepas bersalin. Kesihatannya merosot dengan cepat sehingga semua organ gagal berfungsi. Beliau akhirnya menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari yang sama.
“Dua kali jantung Aderrah terhenti di depan mata kami. Trauma itu takkan kami lupakan. Waktu itu hati kami berbelah bahagi—antara menemani Aderrah di ICU atau menguruskan pengebumian Nyra,” katanya.
Walaupun masih menunggu keputusan penuh bedah siasat, keluarga reda menerima takdir kehilangan berganda itu.
“Jangan risau dik, kami akan jaga Noah di sini. Di sana, bermainlah bersama Nyra. Bersalin di dunia, berpantang di sana,” tulis kakaknya penuh sebak.
*Takziah diucapkan kepada seluruh keluarga ini dan semoga urusan bedah siasat dipermudahkan. Al-Fatihah.
Baca juga: 17 Kali Keguguran, Wanita Kongsi Kisah Diceraikan Suami Gara-Gara Tak Boleh Bagi Ramai Anak
Sumber: Threads
