Seorang pelajar miskin yang pernah membesar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) kini berjaya bergelar seorang doktor, sekali gus menunaikan janji yang dibuat kepada bapanya enam tahun lalu.
“Hampir setiap hari selama enam tahun, saya memendam cita-cita untuk menjadi doktor perubatan suatu hari nanti. Hari ini, impian itu menjadi kenyataan.” Itulah kata-kata penuh syukur Dr Abdul Manaf Abdul Aziz, 24, yang terharu apabila penantian panjang dan pengorbanannya akhirnya membuahkan hasil.
PELAJAR MISKIN TUNAIKAN JANJI PADA BAPA UNTUK BERGELAR DOKTOR

Gambar Mohd Rafi Mamat (NSTP): Dr Abdul Manaf menunjukkan sijil Anugerah Pelajar Terbaik Kulliyyah Perubatan kepada bapanya, Abdul Aziz (kanan).
Lebih bermakna, janji yang pernah dilafazkan kepada bapanya, Abdul Aziz Osman pada 2019 kini dapat ditunaikan tanpa membebankan keluarga, berkat sokongan pelbagai pihak.
Sebagai anak ketiga daripada lima beradik yang membesar tanpa ibu di sisi, beliau mengakui kejayaan ini mustahil dicapai tanpa perhatian dan bantuan daripada pihak prihatin yang sudi membantunya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan.
“Saya bersyukur kerana Allah SWT memakbulkan doa saya selama ini untuk menjadi doktor bagi membantu memberi rawatan kepada pesakit. Kepayahan serta cabaran selama enam tahun di UIAM telah berjaya diharungi.
“Selepas ini, saya akan mengikuti latihan kedoktoran di hospital selama dua tahun sebelum bertugas sebagai pegawai perubatan bertauliah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Angkat Sumpah Doktor Perubatan Kulliyyah Perubatan UIAM di Kuantan kelmarin.
Majlis itu turut meraikan 131 graduan yang menamatkan pengajian.

Gambar Mohd Rafi Mamat (NSTP): Abdul Manaf bersama bapanya kediaman mereka di Kampung Temai Tengah, Pekan.
Enam tahun lalu, kisah Abdul Manaf pernah menjadi perhatian media apabila beliau memperoleh 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun dibesarkan dalam kesempitan hidup di PPR Kampung Temai, Pekan. Impiannya untuk melanjutkan pelajaran hampir terkubur akibat kekangan kewangan.
Namun berkat bantuan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan, Kerajaan Negeri Pahang, Yayasan Bank Rakyat dan Tabung Penyayang UIAM, beliau akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke UIAM dan menamatkan pengajian dengan penuh gemilang.
Dr Abdul Manaf turut melahirkan rasa teruja kerana bukan sahaja berjaya bergelar doktor, malah turut dinobatkan sebagai Anugerah Pelajar Terbaik Kuliah Perubatan.
“Saya bersyukur, detik manis ini dapat dikongsi bersama ayah dan kakak (Ramlah). Mereka adalah insan yang menjadi pembakar semangat saya untuk berjaya dalam pelajaran dan seterusnya bergelar seorang doktor.
“Saya kini tidak sabar untuk berkhidmat di hospital kerajaan di daerah ini walaupun hanya berstatus sebagai doktor pelatih,” ujarnya yang tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu sepanjang perjalanan hidupnya.
Rakan baiknya, Dr Nur Affisa Emalin Mohd Roshanaffi, 23, yang berasal dari Pulau Pinang dan menerima Anugerah Tahir Azhar, turut berkongsi kegembiraan atas kejayaan mereka. Selain telah berkawan sejak sama-sama belajar di Kulliyyah Perubatan.
“Kami saling berbincang dan bertukar pendapat dalam pelajaran. Saya bercita-cita untuk menjadi doktor pakar sakit puan, suatu hari nanti,” katanya.
Sumber: Berita Harian / Harian Metro
