Perjalanan sepasang suami isteri warga emas untuk mengambil ubat Hospital Jitra berakhir dengan tragedi apabila motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah lori di bulatan berhampiran hospital berkenaan, pagi semalam (30 September 2025).
Berita sebegini sememangnya sangat menyayat hati orang ramai kerana ibaratnya orang yang baru diketemui kelmarin sudah pergi pada hari ini.
PERJALANAN AMBIL UBAT HOSPITAL BERAKHIR DENGAN TRAGEDI RAGUT NYAWA

Menurut laporan Harian Metro, mangsa, Megat Yahya Megat Ahmad, 65 tahun, dan isterinya, Khoriyah Kassim, 60 tahun, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal mereka terperosok di bawah kenderaan berat itu. Pasangan tersebut menetap di Kampung Kepala Batu.
Menurut anak saudara mangsa, Megat Asrul Najmi Megat Hamid, 20 tahun, dia sempat bertemu arwah bapa saudaranya kira-kira sejam sebelum kejadian ketika membeli ikan di pasar.
“Arwah sempat cuit bahu saya, tapi tidak berkata apa-apa. Tidak lama selepas itu, saya terlihat berita kemalangan di media sosial, dan terkejut apabila mendapati ia melibatkan bapa saudara serta ibu saudara saya sendiri,” katanya ketika ditemui.
Seorang peniaga di Pasar Jitra pula berkongsi bahawa arwah datang membeli ikan sekitar jam 8.30 pagi.
“Saya ada beri beberapa ekor ikan tanpa mengambil bayaran. Selepas itu dia terus pulang, isterinya menunggu di motosikal,” katanya.
Keluarga Masih Terkejut

Foto: FB Mohd Kamal
Adik kepada Khoriyah, Naemah Kassim, 50 tahun, berkata pemergian kakaknya amat mengejutkan kerana mereka baru sahaja berjumpa dua hari lalu.
“Kami ke Stesen Bas Bandar Darulaman untuk menghantar anak mereka yang ditawarkan kerja di INTAN, Selangor. Kakak juga ada mengadu tidak sihat sejak beberapa hari lalu,” ujarnya.
Sementara itu, adik lelaki arwah Megat Yahya, Megat Hamid, 64 tahun, memberitahu abangnya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum kejadian, cuma kelihatan lebih senyap daripada biasa.
“Kami sekeluarga reda dengan pemergian abang dan kakak ipar,” katanya.
Jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jitra sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banai, Wang Tepus. Tragedi ini bukan sahaja meruntun hati keluarga malah meninggalkan kesan mendalam kepada saudara-mara dan rakan yang mengenali pasangan berkenaan, yang disifatkan sebagai penyayang serta mesra dengan semua orang. Al-Fatihah.
Sumber: Harian Metro
