Kegembiraan menanti kelahiran anak ketiga bertukar duka buat seorang wanita di Kluang apabila suaminya maut dalam kemalangan Batu Pahat Kluang, Selasa (11 November 2025).
Mangsa, Mohamad Salrizal Rohani, 31 tahun, yang bekerja sebagai runner di sebuah pejabat peguam, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max dipandunya melanggar belakang sebuah lori satu tan yang berhenti untuk membelok ke simpang kawasan UK Farm.
Kemalangan Batu Pahat Kluang, Isteri Bakal Lahirkan Anak Ketiga

Foto: Arwah Salrizal bersama isteri dan anak-anak.
Menurut laporan, isteri arwah, Naziha Mohd Salleh, 31 tahun, yang kini hamil enam bulan, masih sukar menerima pemergian insan tersayang itu.
Katanya, malam sebelum kejadian merupakan kali terakhir suaminya sempat meluangkan masa bersama dua anak perempuan mereka yang masing-masing berusia empat dan dua tahun.
“Saya tidak ikut mereka malam tu sebab bekerja. Tak sangka rupanya itu kali terakhir anak-anak dapat bermain dengan ayah mereka,” luah Naziha sebak ketika ditemui di rumah ibunya di Taman Mengkibol.
Menurutnya, arwah suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan atau tanda luar biasa sebelum keluar bekerja pada pagi kejadian.
“Arwah pergi macam biasa, tak ada pesan apa-apa. Rasa macam mimpi bila dapat tahu dia dah tak ada. Kami baru lima tahun hidup bersama,” katanya.
Disahkan Meninggal Dunia di Lokasi Kejadian

Foto: Keadaan kenderaan yang teruk remuk.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 10.20 pagi apabila lori jenis Daihatsu dari arah Kluang ke Batu Pahat berhenti di simpang untuk masuk ke kawasan UK Farm.
“Pacuan empat roda yang dipandu mangsa datang dari arah sama sebelum dipercayai hilang kawalan dan melanggar belakang lori berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Akibat hentaman kuat, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu lori berusia 31 tahun bagaimanapun tidak cedera.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Walaupun kehilangan itu amat berat untuk ditanggung, Naziha reda dan berdoa agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Saya cuma harap anak-anak membesar kuat dan tahu ayah mereka seorang yang sangat penyayang dan bertanggungjawab,” ujarnya sayu.
*Salam takziah diucapkan dan semoga kelahiran bayi berjalan dengan selamat…
Sumber: Sinar Harian
