Euforia Bola 2026
Asuh

Anak Sihat & Ceria Ketika Dihantar Ke Rumah Pengasuh, Pulang Dengan Muka Penuh Berbirat Luka!

rumah pengasuh

Hati ibu bapa mana yang tidak hancur luluh apabila anak yang dihantar ke rumah pengasuh dalam keadaan sihat, pulang ke rumah sendiri dengan wajah penuh luka dan kesan berbirat!

Itulah tragedi yang menimpa seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, dikenali sebagai Ean Zafran, hingga mencetuskan kemarahan warganet di media sosial.

Baca juga: “Dikepung, Ditumbuk, Ditendang” – Murid Tahun 2 Patah Hidung, Retak Tulang Mata Dibuli Rakan Sekolah!

CERIA KETIKA DIHANTAR KE RUMAH PENGASUH, PULANG DALAM KEADAAN PENUH BIRAT

rumah pengasuh

Foto: Keadaan wajah Ean berbirat semasa baru pulang.

Peristiwa itu mula tular apabila ibu saudaranya, Zehra Zubari, memuat naik kisah menyayat hati ini di laman Facebook.

“Hancur luluh hati kami sekeluarga. Tiada kata mampu menggambarkan betapa peritnya melihat keadaan anak saudara kesayangan kami. Ean baru berusia dua tahun, belum pandai bercakap, belum mengenal dunia, tetapi sudah menjadi mangsa kekejaman manusia yang tiada hati dan perikemanusiaan,” tulis Zehra.

Berdasarkan cerita dari ahli keluarga, pada hari Khamis, ketika ibu Ean sedang tidak sihat kerana dijangkiti Covid-19 dan mengalami migrain yang teruk, ayahnya mengambil tanggungjawab menghantar Ean ke rumah pengasuh sekitar jam 10 pagi di Shah Alam. Ketika itu, Ean sudah dimandikan dan diberi makan.

Namun, sekitar jam 4 petang, ketika ayahnya berhasrat untuk mengambil Ean pulang, pengasuh memaklumkan bahawa dia telah membawa Ean keluar ke rumah saudaranya tanpa meminta izin terlebih dahulu daripada ibu bapa Ean.

Dari petang hingga ke malam, ibu bapa Ean berkali-kali bertanya khabar dan perkembangan anak mereka, namun jawapan pengasuh tetap sama, Ean masih belum pulang. Walaupun hati mereka mula risau, kedua-duanya masih cuba bersabar dan bersangka baik, serta mengelak daripada membuat tindakan terburu-buru.

Akhirnya, hampir jam 10 malam, barulah Ean dipulangkan ke rumah oleh pengasuh bersama suaminya. Namun, keadaan Ean pada waktu itu amat menyedihkan, jauh berbeza daripada ketika dia dihantar dalam keadaan sihat dan ceria pada waktu pagi.

Siasatan Polis & Tindakan Undang-Undang

rumah pengasuh

Foto: Ean yang sudah berbirat.

Zehra menjelaskan bahawa keluarga kini menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan peguam untuk mengambil tindakan sewajarnya. Tragedi yang dikongsikan itu segera mencetuskan kecaman orang ramai, yang rata-ratanya menuntut agar pengasuh terbabit segera dikenakan tindakan tegas.

Peguam keluarga, Nini Adila Wan Omar dari Tetuan Naim, Adib & Jailani, mengesahkan bahawa laporan polis telah dibuat oleh ibu mangsa dan siasatan kini sedang dijalankan.

“Saya telah dilantik oleh ibu bapa Ean, iaitu Encik Muhammad Zaim dan Puan Nur Ain, untuk mengambil tindakan undang-undang. Undang-undang Malaysia sangat melindungi kanak-kanak melalui Akta Kanak-Kanak 2001. Sebab itu, bila berlaku kejadian sebegini, tindakan tegas mesti diambil supaya tidak berulang. Hari ini Ean yang jadi mangsa, esok mungkin anak orang lain pula,” katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa di luar sana agar tidak takut untuk tampil membuat laporan sekiranya berdepan situasi serupa.

“Undang-undang wujud untuk melindungi kita semua. Jangan biarkan anak-anak menjadi mangsa kerana kita takut bersuara,” tegasnya.

Kes penderaan kanak-kanak ini nyata menyentuh hati masyarakat. Ribuan netizen meluahkan rasa simpati, selain mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan itu. Ramai juga menuntut agar pihak berkuasa segera menggubal mekanisme lebih ketat dalam pemantauan pengasuh.

Baca juga: Bapa Terkejut Tengok CCTV Anak Dikasari, Kena ‘Heret Macam Lembu’ Oleh Pembantu Rumah!

Sumber: Zehra Zubari

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×