Euforia Bola 2026
Asuh

Lima Pengasuh Didakwa Dera Kanak-Kanak, Sumbat Dalam Mesin Basuh & Kurung Dalam Bilik Air

dera kanak kanak

Kes dera kanak kanak di sebuah pusat jagaan harian di Bengaluru, India menggemparkan orang ramai selepas rakaman video memaparkan layanan kejam terhadap kanak-kanak berusia dua hingga tiga tahun tular di media sosial.

Baca juga: Kenapa Anak Cepat Kecil Hati Walaupun Sekadar Ditegur? Ini Penjelasan Yang Ramai Ibu Bapa Perlu Tahu

5 PENGASUH DERA KANAK KANAK, SUMBAT DALAM MESIN BASUH

dera kanak kanak

Foto: NDTV

Lima pengasuh kini berdepan tindakan undang-undang selepas didakwa mendera kanak-kanak dengan memasukkan mereka ke dalam mesin basuh, mengurung mereka di dalam bilik air serta menyembur air ke mulut mangsa.

Kejadian dipercayai berlaku di sebuah pusat jagaan harian yang beroperasi di dalam kampus syarikat teknologi maklumat, Capgemini di Bengaluru.

Berdasarkan rakaman yang tular, beberapa kanak-kanak dilihat dipaksa duduk di dalam dram mesin basuh muatan hadapan. Mereka turut disembur air menggunakan penyembur jet tandas selain dikurung di dalam bilik air sebagai hukuman apabila menangis atau membuat bising.

Video tersebut kemudian dikongsikan kepada pihak berkuasa sebelum laporan polis dibuat dan aduan dikemukakan kepada Suruhanjaya Negeri Karnataka bagi Perlindungan Hak Kanak-Kanak.

Dakwaan penderaan berlaku sejak sekian lama

dera kanak kanak

Foto: NDTV

Pegawai Percubaan Daerah, Tilakesh Kumar memaklumkan bahawa pusat jagaan tersebut mempunyai antara 50 hingga 60 kanak-kanak berdaftar, manakala sekitar 15 hingga 20 orang hadir setiap hari.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati penderaan dipercayai telah berlaku sejak sekian lama.

Malah, sebelum ini pernah ada individu yang membuat laporan kepada penyelia mengenai kejadian tersebut, namun tiada tindakan diambil. Lebih mengejutkan, pemberi maklumat itu dikatakan diberhentikan kerja selepas melaporkan insiden berkenaan.

Pihak berkuasa juga mengakui pernah mengesyaki wujudnya penderaan di pusat jagaan itu, namun tidak mempunyai bukti yang mencukupi sehinggalah rakaman video tersebut didedahkan.

Lima pengasuh disiasat polis

Susulan bukti video yang diterima, polis membuka kertas siasatan terhadap lima pengasuh yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

Rakaman berkenaan turut diserahkan kepada Suruhanjaya Negeri Karnataka bagi Perlindungan Hak Kanak-Kanak bagi membantu siasatan lanjut.

Kes ini mencetuskan kemarahan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat jagaan tersebut ketika bekerja di kampus syarikat berkenaan.

Ramai meluahkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan, pemantauan serta kebajikan kanak-kanak di pusat jagaan yang beroperasi di dalam premis korporat.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pusat jagaan harian berkenaan turut ditutup sementara sehingga siasatan selesai.

Pihak berkuasa kini sedang meneruskan siasatan bagi mengenal pasti semua pihak yang bertanggungjawab dan memastikan tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang.

Baca juga: Susah Hati Bila Anak Tak Nak Makan, Ini Tanda Picky Eater atau Selective Feeding? Fahami Perbezaannya

Sumber: Sinar Harian dan NDTV

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×