Euforia Bola 2026
Didik

Fenomena ‘Agungkan’ Watak Syaitan K-Pop Demon Hunters, Bapa Dedah Maksud Tersirat Boleh Terpesong!

k-pop demon hunters

Fenomena terbaharu, animasi K-Pop Demon Hunters (KPDH), menjadi bukti bagaimana hiburan boleh digunakan untuk menormalisasi unsur yang bercanggah dengan ajaran Islam, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Ada perkongsian seorang ayah menceritakan sendiri kisah anaknya yang mengenali animasi ini melalui pendedahan di sekolah. Ternyata, hal ini sangat merisaukan!

Baca penuh: 4 Subjek Ini WAJIB Kena Skor Sebagai Penentu Masa Depan, Pelajar SPM 2025 Kena Ambil Serius!

FENOMENA K-Pop Demon Hunters, TREND ‘AGUNGKAN’ SYAITAN YANG MERISAUKAN

k-pop demon hunters

Kisahnya apabila tiga minggu lalu, ketika dalam penerbangan pulang dari Kuala Lumpur ke Miri, ayah ini duduk bersebelahan seorang kanak-kanak. Sebaik sahaja kapal terbang berlepas, kanak-kanak itu terus membuka tablet dan menonton animasi K-Pop Demon Hunters (KPDH). Pada awalnya, ayah ini tidak begitu risau dan menyangka animasi itu kurang popular.

Namun, baru-baru ini, perbualan ringkas dengan anak lelaki sendiri, Yaasir, yang berusia enam tahun, membuka matanya.

Yaasir: “Abi, tadi masa di tadika ada kawan nyanyi lagu K-Pop Demon Hunters.”
Ayah: “Yaasir ada cakap apa?”
Yaasir: “Yaasir cakap, jangan lagu tu, tak baik.”

Perbualan itu membuatkan dirinya sedar bahawa animasi KPDH kini sedang melonjak popularitinya, khususnya dalam kalangan Generasi Alpha (lahir selepas 2013) dan Generasi Z (13–28 tahun), malah ramai juga milenial turut menikmatinya.

Walaupun cuba mengawal masa skrin anak-anak, hakikatnya memang tidak boleh mengawal sepenuhnya pendedahan mereka, terutama apabila kandungan seperti ini disasarkan secara halus kepada golongan muda.

4 Elemen Membimbangkan Dalam Demon Hunters

k-pop demon hunters

Foto hiasan.

1. Obsesi Melampau terhadap Idola K-Pop

Tema utama KPDH adalah budaya K-Pop dan kegilaan terhadap idola. Ada adegan wanita yang “melting” apabila melihat ahli kumpulan Saja Boys menayangkan “abs” di khalayak. Ini adalah bentuk normalisasi al-‘Ishq, (obsesi cinta yang tidak terbatas) yang menurut Ibnu Taymiyah merupakan penyakit hati berbahaya yang merosakkan agama, akal, dan akhirnya tubuh badan.

Hakikatnya, ketenangan tidak akan datang daripada memuja manusia, tetapi melalui zikrullah.

2. Imej ‘Cool’ dan ‘Trendy’ Syaitan

Dalam KPDH, kumpulan Saja Boys digambarkan sebagai syaitan yang menyamar sebagai manusia. Lebih membimbangkan, salah satu lagu mereka mengandungi frasa Latin yang merujuk kepada seruan kepada ‘tuan’ mereka, satu unsur ritual pemujaan syaitan secara simbolik.

Fenomena ini bukan baharu. Banyak filem seperti Spawn, Constantine, malah Harry Potter dan Doctor Strange memaparkan sihir atau watak syaitan dengan imej menarik, secara tidak langsung membiasakan penonton dengan unsur terlarang.

Allah SWT telah memberi amaran jelas:

“Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh…” — Surah Fāṭir: 6

3. Normalisasi Pakaian Mendedahkan Aurat & Hilangnya Sifat Malu

Watak wanita dalam KPDH digambarkan sebagai moden dan ‘cool’ dengan pakaian yang mencolok mata. Islam menegaskan kepentingan menutup aurat dan memelihara sifat malu (hayā’) sebagai sebahagian daripada iman (Surah An-Nūr: 30–31).

Apabila aurat dan gaya hidup bebas dinormalisasi, sifat malu akan hilang, membuka pintu kepada kerosakan akhlak.

4. Strategi Syaitan: Sedikit Demi Sedikit

Ramai yang meremehkan isu ini dengan berkata, “Lebih baik tonton KPDH daripada kandungan lain yang lebih teruk.” Namun, sejarah membuktikan syaitan menyesatkan manusia secara beransur-ansur.

Kisah umat Nabi Nuh AS menjadi contoh seperti penyembahan berhala bermula daripada niat memperingati orang soleh, lalu diubah generasi seterusnya menjadi patung, dan akhirnya disembah.

Kesimpulannya, KPDH hanyalah satu contoh bagaimana hiburan moden boleh menjadi alat normalisasi dosa. Hari ini mungkin hanya animasi, esok mungkin bentuk yang lebih dahsyat. Semoga Allah melindungi kita dan zuriat kita daripada bisikan syaitan yang menggunakan dua pintu utama untuk menyesatkan manusia: syubhat (keraguan) dan syahawat (nafsu).

“Semua anak Adam adalah pendosa, dan sebaik-baik pendosa ialah mereka yang bertaubat.” — Hadis Rasulullah SAW.

Baca juga: Papar Visual Aneh & Mengarut, Kartun Viral ‘Tung Tung Sahur’ & ‘Tralalero Tralala’ Boleh Rosakkan Otak Anak!

Sumber: Abu Yaasir Syahmi

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×