Kes penipuan pakej umrah makin menjadi-jadi dan itu sudah pastinya perkara yang merisaukan. Ramai bakal jemaah terpedaya dengan tawaran harga murah, janji manis ejen dan pakej yang nampak ‘indah’ untuk menjadi kenyataan.
Lebih menyedihkan, ada yang terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit dan menangguhkan niat suci mereka. Oleh itu, sebagai bakal jemaah, anda perlu lebih berhati-hati dan mengambil langkah bijak sebelum membuat sebarang keputusan.
Baca juga: Selalu Tidur Kaki Menghadap Kiblat Dianggap Tidak Sopan Atau Dibolehkan? Ini Jawapannya…
TIPS ELAK JADI MANGSA PENIPUAN PAKEJ UMRAH, JAGA-JAGA

Ikuti langkah ini untul elak ditipu jadi mangsa penipuan pakej umrah:
1. Semak lesen agensi umrah
Bagi mengelakkan anda menjada mangsa penipuan pakej umrah, langkah paling penting sebelum mendaftar mana-mana pakej umrah adalah memastikan agensi tersebut mempunyai lesen sah dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Agensi pelancongan yang berdaftar dan bertauliah biasanya tersenarai di laman rasmi MOTAC dan hanya syarikat yang mempunyai lesen khas umrah dibenarkan untuk menguruskan umrah secara sah.
Jangan hanya percaya pada iklan di media sosial atau testimoni yang belum tentu sahih. Minta bukti pendaftaran, semak nombor lesen dan lakukan perbandingan dengan maklumat di laman web MOTAC.
2. Selidik latar belakang agensi umrah
Selanjutnya, selidik lebih mendalam mengenai agensi tersebut seperti membuat semakan mengenai latar belakang syarikat. Pastikan agensi berkenaan mempunyai permit untuk keluar yang sah, pengalaman agensi mengelolakan umrah dan urusan visa yang pernah dikendalikan.
3. Kandungan asas brosur agensi
Pastikan pakej yang ditawarkan oleh ejen umrah tersebut merangkumi semua perkara ini. Antara yang sepatutnya termasuk dalam pakej standard umrah adalah:
- Tiket penerbangan pergi dan balik
- Visa Umrah
- Penginapan
- Operator yang sah / ‘Ground transport’
- Makanan
- Lawatan / ziarah
- Diiringi oleh wakil syarikat
- Mutawif
- Perlindungan skim takaful umrah untuk kecemasan, sakit, atau kematian
Simpan apa jua risalah, brosure, resit pembayaran dan dokumen berkaitan pakej umrah dan haji ditawarkan. Penting supaya boleh dijadikan bukti dan rujukan seandainya berlaku apa-apa masalah di kemudian hari.
4. Fahami pakej umrah
Sebelum membuat sebarang bayaran, pastikan anda benar-benar faham apa yang termasuk dan tidak termasuk dalam pakej umrah yang ditawarkan.
Antara perkara yang perlu anda semak dan fahami:
– Jenis penginapan (Hotel bertaraf berapa bintang? Dekat atau jauh dari Masjidil Haram dan Masjid Nabawi?)
– Penerbangan (Adakah penerbangan terus atau transit? Syarikat penerbangan apa?)
– Makanan (Berapa kali disediakan setiap hari, dan jenis hidangan)
– Mutawwif (Adakah disediakan? Berpengalaman atau tidak?)
– Ziarah (Tempat mana yang akan dilawati di Mekah & Madinah?)
– Insurans perjalanan, visa, pengangkutan dan lain-lain kos tersembunyi, adakah semuanya termasuk?
Jangan teragak-agak untuk bertanya secara terperinci. Agen yang jujur dan berpengalaman tidak akan keberatan untuk menjelaskan setiap aspek pakej.
5. Buat kajian perbandingan harga
Walaupun harga minimum telah ditetapkan, ada banyak perkara yang boleh menjadikan sesuatu pakej mempunyai harga yang berlainan. Antara faktor harga yang berbeza adalah disebabkan:
– Tarikh – Musim kemuncak/sibuk (“Peak season”) seperti cuti sekolah, atau akhir Ramadan yang biasanya lebih mahal.
– Penerbangan transit atau terus.
– Kekerapan makanan.
– Petugas & Mutawwif.
– Jenis pengangkutan di sana – bas, van, limosin dan sebagainya.
– Jarak penginapan dengan Masjidil Haram.
Jika mempunyai sebarang pertanyaan dan inginkan kepastian selanjutnya, anda boleh membuat pertanyaan terus di Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia yang terdapat di setiap negeri.
6. Faham cara bayaran
Selanjutnya, bagi mengelakkan anda ditipu dengan agensi pakej umrah, ambil tahu sama ada bayaran dibuat kepada akaun syarikat atau akaun persendirian pengurus agensi.
Jumlah deposit yang perlu dibayar biasanya adalah 25% dari harga pakej yang ditawarkan. Manakala, bayaran penuh perlu dibuat 21 hari sebelum tarikh berlepas.
Contoh:
Harga pakej RM 5,000
Deposit = RM 1,250
Baki RM 3,750 boleh dibayar sebelum tarikh berlepas yang ditetapkan.
Jangan lupa minta resit rasmi syarikat setiap kali membuat pembayaran secara keseluruhan, sebahagian, atau ansuran. Pastikan jemaah menyimpan resit pembayaran dan dokumen-dokumen yang dikeluarkan oleh agensi.
7. Ganti rugi jika ada pembatalan
Sebelum membuat bayaran, pastikan anda tahu polisi pembatalan dan ganti rugi jika berlaku sebarang masalah seperti:
- Jemaah menarik diri atas sebab peribadi
- Penerbangan ditangguh atau dibatalkan
- Visa tidak lulus
- Agensi gagal menunaikan janji dalam pakej
Agensi profesional pasti akan menyediakan dokumen rasmi dan kontrak untuk menerangkan hak anda sebagai pelanggan. Elakkan dari menyerahkan wang tanpa resit atau perjanjian bertulis, kerana ini akan menyukarkan sebarang tuntutan jika berlaku perkara yang tidak diingini.
8. Elak agensi yang disenarai hitam
Sekiranya anda rasa ragu-ragu terhadap pakej, dinasihatkan agar menyemak senarai agensi pengendalian umrah yang telah didaftarkan di bawah MOTAC di pautan berikut.
Semoga dengan cara di atas ini dapat mengelakkan anda menjadi mangsa scammer pakej umrah.
Baca juga: 6 Jenis Burung Yang Haram Dimakan, Jangan Ambil Ringan!
Sumber: Bahagian Pencen JPA & Legasi Travel & Tours
