Siapa sangka kebolehan luar biasa seorang kanak-kanak lelaki ini, muncul sewaktu usianya baru sahaja menginjak dua tahun tiga bulan. Noah Ariz Amirul Mukminin digelar ‘genius matematik cilik’ kerana mampu hafal sifir satu sehingga 10 secara spontan dan lancar.
Ibunya, Najwa Abd Ghafar, 34, yang juga pensyarah Sains Komputer di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor berkata, kebolehan itu mula dikesan sejak anaknya, Noah Ariz Amirul Mukminin menunjukkan minat terhadap nombor dan corak kiraan.
Baca juga: Anak Ngadu Sakit Bahagian Telur Jangan Anggap Ringan, Lambat Rawat Buah Zakar Boleh ‘Rosak’!
BUDAK 2 TAHUN HAFAL SIFIR 1 HINGGA 10

Gambar: Najwa (kanan) bersama suaminya dan Noah Ariz Amirul Mukminin.
Menurutnya, ketika itu anaknya baru berusia setahun lima bulan, namun sudah kerap menyebut angka dan menunjukkan keupayaan luar biasa dalam mengingati urutan nombor.
“Seawal umur itu dia sudah pandai mengira mengikut turutan nombor, sehingga lah beberapa minggu sebelum Aidilfitri baru-baru ini, saya terdengar dia membaca sifir dua dengan lancar.
“Dia sebut seorang diri…ketika itu dia dengan saya dalam kereta dan saya terdengar dia sebut, dua, empat, enam, lapan, sampai habis. Tak dinafikan, saya agak terkejut.
“Alhamdulillah sekarang dia sudah boleh hafal sifir satu sehingga 10,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Baca juga: Gara-Gara Bergaduh, Ibu Denda 2 Anak Jalan Kaki Balik Rumah Sambil Pegang Tangan, Tuai Pujian Ramai!
Kebolehan Noah Ariz muncul tiba-tiba tanpa diajar

Gambar Noah Ariz Amirul Mukminin.
Najwa yang menetap di Seri Kembangan, Selangor, berkata, kebolehan anaknya tersebut muncul secara tiba-tiba walaupun ketika itu, beliau dan suami tidak pernah mendedahkannya kepada animasi berbentuk pembelajaran.
Jelasnya, apabila mendapat tahu berkenaan kebolehan tersebut, beliau mula membantu Noah Ariz untuk melancarkan lagi hafalan dengan memperkenalkannya kepada permainan pengiraan, kad imbas, buku dan pelbagai bahan bantu belajar lain.
“Bila dia sudah mula menunjukkan minat dan boleh hafal sifir, saya mula bagi dia tengok kartun ‘number blocks’ dan lama-lama nampak dia semakin obses dengan nombor, sampai kan tidur pun sebut nombor.
“Untuk ajar dia pula, kena tengok dulu, kalau contoh saya sebut dan dia sambut soalan, itu maksudnya Noah tengah tunjukkan minat, jika kita tanya tapi dia buat tak tahu, saya tak akan paksa.
“Noah tidak ada masa khusus untuk belajar, masa yang saya ada dengan dia itulah, saya guna untuk bermain sambil belajar,” ujarnya.
Baca juga: Bila Masuk Darjah 6 Bukan Fokus ‘Exam’ Je, Banyak Perkara Lain Adik-Adik Kena Skor, Ambil Nota Ini!
Amalan atau pemakanan ketika hamil
Ditanya mengenai amalan atau pemakanan ketika hamil, Najwa berkata, ketika itu beliau sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Komputer dan banyak terlibat dalam pembacaan serta penulisan akademik.
“Tiada makanan istimewa atau amalan tertentu. Cuma saya rasa mungkin sebab ketika itu saya tengah ambil PhD (masih dalam proses menamatkan PhD), jadi banyak buat kerja membaca dan menulis yang mungkin memberi kesan.
“Daripada segi pemakanan pula, Noah tidak suka makanan manis. Dia lebih gemarkan buah dan saya akan cuba elakkan beri dia makan makanan tidak berkhasiat.
“Berkenaan gajet, saya lebihkan tontonan animasi pendidikan di YouTube, namun dengan kawalan dan pemantauan terhadap kandungan yang ditontonnya,” jelasnya.
Najwa berkata, buat masa ini beliau dan suami tidak menetapkan sebarang perancangan khusus terhadap masa depan Noah Ariz, sebaliknya hanya memantau kebolehan serta minat anaknya itu dari semasa ke semasa.
Menurutnya, mereka percaya setiap kanak-kanak mempunyai keunikan tersendiri dan apa yang penting adalah menyokong minat anak agar proses pembelajaran berlaku secara semula jadi dan menyeronokkan.
@najwaghafar Wait, I think my kid is a math genius. Reciting the 6 times table at 2 years old is 🤯🤯 #2y3m
Baca juga: Penyakit HFMD Kembali ‘Menyerang’, Ketahui 10 Tanda Ini Agar Cepat Terima Rawatan!
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Najwa Abd Ghafar
