Ibu bapa mana yang tidak luluh hatinya apabila melihat anak yang masih kecil terpaksa bertarung nyawa terbaring kaku dengan memakai wayar berselirat di badan bukan? Itulah yang dialami oleh pasangan suami isteri ini apabila anaknya menghidap penyakit sawan yang jarang berlaku di Malaysia.
Berikut merupakan perkongsian kisah dari ibu bapa tersebut yang menyangkakan anak mereka hanyalah demam panas seperti biasa sahaja.
Baca juga: Berjalan Guna Tangan Pakai Selipar, Netizen Sebak Tengok Semangat Berdikari Murid OKU Pergi Sekolah
ANAK HIDAP ‘FIRES EPILEPSY’, PENYAKIT SAWAN JARANG BERLAKU DI MALAYSIA

Kondisi Aleesya.
Situasinya bermula ada 27 September 2024, apabila Norshamira Mohd Nazmin yang merupakan ibu kepada Raja Nur Aleesya Inaara, mendapati suhu badan anaknya tinggi sedikit daripada kebiasaan. Disangka hanya demam biasa sahaja, pada pagi hari yang sama selepas sarapan pagi, Aleesya kelihatan mengantuk dan mahu ditidurkan oleh ayahnya. Sebaik sahaja dimasukkan ke dalam buaian, si kecil itu dilihat kekejangan seluruh badan dan mulutnya berbuih.
Si ibu yang dalam keadaan mengandung 5 bulan pada ketika itu, menggagahkan diri bersama suami membawa anak perempuan mereka ke klinik kesihatan berdekatan. Sebaik sahaja sampai ke klinik, Aleesya dibawa ke Hospital Teluk Intan dengan menaiki ambulans. Namun, apabila tiba di hospital, semuanya baik sahaja. Tiada sawan, cuma demam yang biasa sahaja.
Sebaik pulang ke rumah, keesokan harinya, si kecil itu tiba-tiba meronta-ronta dengan melonjakkan badannya berkali-kali. Menambah kerisauan ibu bapa ini lagi adalah, Aleesya juga tidak boleh tidur selama 26 jam dan kerap menangis.
“Kami jadi buntu ketika itu dan mengambil keputusan untuk pergi mendapatkan rawatan tradisional kerana menyangka dia terkena buatan orang.
“Pulang ke rumah, keadaannya masih sama sehinggalah pada jam 1.30 pagi, saya perasan matanya mula ‘lari‘ dan dia bernafas menggunakan mulut. Saya kejut suami dan segera bawanya ke hospital.
“Sampai di ruang kecemasan, Aleesya dimasukkan ke zon merah dan doktor terpaksa melakukan prosedur intubasi kerana oksigen sudah tidak sampai ke otak,“ kongsinya dalam keadaan sebak.
Ternyata sangat mengejutkan, hasil CT scan mendapati terdapat ketulan pada otak dan keadaan Aleesya ketika itu amat kritikal dan dia dihantar ke Hospital Ipoh untuk mendapatkan rawatan lanjut. Apabila pihak hospital membuat MRI, keputusan memberitahu bahawa terdapat kuman yang banyak di selaput otak kiri dan kanan anaknya. Malah, radang sawan juga terlampau agresif sehingga doktor tidak dapat membaca keputusan graf EEG!
Ibu yang berusia 27 tahun itu dan suaminya, Raja Mohd Asnawi Raja Ahmad Hashim, 28, menerima takdir ALLAH dengan hati terbuka walaupun berasakan dunia gelap tanpa sinarnya. Doktor memberitahu mereka bahawa Aleesya menghidap Fires Epilepsy, penyakit sawan jarang berlaku di Malaysia. Anaknya ketika itu berusia setahun sembilan bulan antara pesakit termuda ketika itu.
“Sawan yang menyerang Aleesya bukan sawan biasa. Doktor beritahu anak saya ada harapan 50/50 sahaja kerana tiada ubat khusus untuk menghentikan serangan kuman pada otak Aleesya. Doktor terpaksa komakan dia sebab nak bagi sawan itu berhenti.
“Bacaan tekanan jantung dia terlalu tinggi ketika itu walaupun sudah intubasi. Sawan masih menyerang setiap hari dan setiap masa. Sehinggalah doktor berjumpa kami sekali lagi keesokan harinya dan memberitahu mahu memasukkan ubat biologi,” kata ibu ini.
SEHARI KENA MAKAN 21 JENIS UBAT, RISIKO LUMPUH

Aleesya ketika sihat, bersama ibu dan bapanya.
Bahkan, doktor turut menyatakan bahawa ubat yang perlu diambil adalah sangat berisiko kerana anaknya masih kecil. Besar juga kemungkinan dia akan lumpuh sepenuhnya dan kalau sedar sekali pun, tidak akan normal seperti kanak-kanak lain. Kongsinya lagi, rawatan seterusnya memerlukan doktor mengambil cecair tulang sum-sum untuk mengenal pasti kuman sebenar yang menyerang anak kecil tersebut.
“Bila doktor cakap tiada antibiotik untuk kuman ini, kami rasakan seperti tiada harapan untuk Aleesya. Hampir putus asa saat itu,“ dedahnya.
Perkembangan terbaharu, doktor terpaksa menebuk leher Aleesya untuk memudahkannya bernafas selain perlu minum susu khas yang tidak bergula. Lebih memilukan, si kecil itu perlu makan 21 jenis ubat sehari. Walaupun kelihatan sedar tetapi pandangannya tetap kosong.
Ramadan kali ternyata sangat memilukan buat pasangan ini kerana tidak ditemani dengan ketawa riang si kecil tersebut. Ketika Aleesya sihat, si kecil itu suka mengikut ayahnya ke bazar Ramadan.
“Begitu juga setiap kali saya masak di dapur, pasti dia akan ikut sekali. Rumah ini rasa sunyi tanpa suara dia.
“Saya trauma sampai tak boleh tengok bunga api sebab itu kesukaan Aleesya. Ujian ini sangat berat tapi kami kena reda,“ ujarnya.
*Tidak ketinggalan, ibu ini turut memohon orang ramai menitipkan doa sempena bulan suci Ramadan ini supaya Aleesya kembali sembuh dan sihat seperti dahulu. Teruslah kuat semangat juang dari ibu bapa supaya si kecil ini turut merasakannya dan ikut berjuang juga…
Baca juga: Murid Darjah 2 BUTA Kedua-Dua Belah Mata Akibat Kerap Makan Sosej & Nuget, Kurang Vitamin A
Sumber: Sinar Harian
