Sejarah tercipta di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu apabila pasukan perubatan Jabatan Bedah Saraf berjaya menjalankan pembedahan kraniotomi dalam keadaan sedar buat julung kalinya!
Ini sangat membanggakan kerana kebanyakan pembedahan dilakukan dalam keadaan pesakit tidak sedar.
Baca juga: Senarai 20 Hospital Paling Dipercayai & TERBAIK Di Malaysia 2025, Nombor 4 Ramai ‘Approved’!
HOSPITAL SULTANAH NUR ZAHIRAH CIPTA SEJARAH, PEMBEDAHAN TUMOR OTAK SECARA SEDAR

Foto: Neurosurgery HSNZ Official
Menurut laporan, prosedur kompleks itu melibatkan seorang pesakit wanita berusia 33 tahun yang mengalami sawan fokal, kelemahan pada otot muka dan masalah pertuturan. Pembedahan berisiko tinggi itu dilaksanakan dengan jayanya pada 29 Jun lalu.
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong, hasil imbasan MRI sebelum pembedahan mendapati terdapat ketumbuhan pada lobus frontal kiri otak pesakit, iaitu satu kawasan sensitif yang mengawal keupayaan bertutur.
“Bagi meminimumkan risiko kerosakan kekal pada fungsi pertuturan dan motorik, kami memilih pendekatan kraniotomi sedar. Kaedah ini membolehkan pemantauan secara langsung terhadap pertuturan pesakit sepanjang prosedur dijalankan,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, pasukan perubatan turut mengadakan sesi latihan dan persediaan rapi bersama pesakit sebelum pembedahan bagi memastikan prosedur berjalan lancar.
Sepanjang pembedahan, pesakit hanya diberikan bius setempat dan ubat penenang, sebelum ‘dibangunkan’ dalam keadaan sedar untuk dinilai fungsi neurologinya oleh pasukan pakar neurologi dan psikiatri.
Tumor kemudiannya dibuang secara berhati-hati oleh pakar bedah saraf menggunakan mikroskop serta teknologi pembedahan berpandukan imej (IGS) bagi memastikan ketepatan maksimum.
“Syukur, pembedahan berlangsung tanpa sebarang komplikasi. Pesakit dibenarkan keluar hospital hanya dua hari kemudian dalam keadaan stabil, bebas sawan dan tanpa sebarang kecacatan neurologi,” katanya.

Foto: Neurosurgery HSNZ Official
Kejayaan ini bukan sahaja menjadi pencapaian penting buat HSNZ, malah membuka lembaran baharu dalam bidang pembedahan saraf di negeri Terengganu malah seluruh Malaysia. TAHNIAH!
Baca juga: 10 Jenis Doktor Pakar Dapat Gaji Lumayan Di Malaysia, No.3 Boleh Cecah RM60K Sebulan!
Sumber: Harian Metro
