Dalam kesibukan beribadah dalam bulan Ramadan, masih ada ruang untuk berkongsi kasih. Itulah yang dibawakan oleh kolaborasi Waktu Solat Malaysia (WSM) bersama Siraplimau (SL) apabila kami menganjurkan program iftar istimewa bersama 25 warga emas di Mesra Home Ampang, Jumaat lalu.
WAKTU SOLAT MALAYSIA & SIRAPLIMAU SANTUNI WARGA EMAS DI MESRA HOME AMPANG

Program yang berlangsung dari jam 5 petang hingga waktu berbuka ini bukan sekadar jamuan biasa, tetapi satu inisiatif penuh makna untuk meraikan warga emas Muslimah yang sering dahagakan perhatian dan kasih sayang.
Di sebalik kerjasama dua jenama digital di bawah REV Media Group ini, terselit misi besar iaitu menghidupkan semangat infak dan empati sepanjang Ramadan menerusi inisiatif Kotak Infak WSM.
Apa yang lebih menyentuh hati, program ini turut membuka ruang kepada orang ramai untuk sama-sama menyumbang barangan keperluan asas buat penghuni Mesra Home, menjadikan ia satu usaha komuniti yang benar-benar bermakna.
Sepanjang petang tersebut, suasana di rumah jagaan itu bertukar ceria apabila pasukan WSM dan Sirap Limau meluangkan masa beramah mesra, bertanya khabar dan mendengar kisah kehidupan warga emas yang penuh pengalaman.
Momen paling menyentuh jiwa pastinya ketika sesi bacaan Yasin secara berjemaah, diikuti selawat yang diiringi alunan gitar, mencipta suasana tenang, syahdu dan penuh kasih sayang.
TERIMA KOTAK INFAK WSM

Tidak pulang dengan tangan kosong, warga emas turut menerima Kotak Infak WSM yang mengandungi pelbagai barangan keperluan harian seperti makanan kering, biskut, bihun dan minuman hasil sumbangan orang ramai.
Malah, sumbangan lampin pakai buang dewasa turut disampaikan bagi membantu keperluan harian mereka yang memerlukan penjagaan rapi.
Kemuncak program sudah tentu sesi berbuka puasa bersama, dengan hidangan istimewa tajaan Restoran Kak Ar Kelate serta minuman daripada ZUS Coffee, menambahkan lagi kemeriahan suasana.
Menurut wakil penjaga Mesra Home Ampang, Faezah Ali, kebanyakan penghuni di situ memerlukan perhatian berterusan kerana berdepan cabaran kesihatan seperti masalah ingatan dan gangguan mental termasuk skizofrenia.
“Bila ada program seperti ini, mereka rasa dihargai. Kehadiran sukarelawan yang meluangkan masa bersama mereka, membaca Yasin dan berbuka sekali benar-benar menggembirakan hati mereka,” kongsinya.
Sementara itu, Ketua Editorial Waktu Solat Malaysia, Muhamad Shaifullah Tayep, menyifatkan program ini sebagai langkah pertama dalam usaha mendekatkan WSM dengan komuniti warga emas.
“Kami mahu Ramadan ini bukan sekadar ibadah, tetapi juga tentang berkongsi kasih. Warga emas ini perlukan teman, perhatian dan ruang untuk rasa dihargai.
“Insya-Allah, lebih banyak program seperti ini akan dilaksanakan agar semangat kebajikan terus subur dalam masyarakat,” ujarnya.

Sesungguhnya, program kecil seperti ini membuktikan bahawa kebahagiaan itu boleh hadir melalui perkara yang sederhana.. masa, perhatian dan keikhlasan. Selamat Hari Raya Aidilfitri diucapkan kepada semua!
Sumber: Waktu Solat Malaysia
