Euforia Bola 2026
Famili

Sanggup Minta Izin Bos Untuk WFH, Lelaki Ini Siap Ada Jadual Gilir Jaga Kawan Sakit Kanser Buat Ramai Tersentuh

bekerja dari rumah

Dalam dunia serba sibuk hari ini, nilai persahabatan sejati semakin sukar ditemui. Namun kisah dikongsikan seorang lelaki bernama Haziq Mahmur di Threads membuktikan bahawa kasih sayang seorang sahabat mampu mengatasi kesibukan kerja dan urusan peribadi kerana dia memilih bekerja dari rumah demi seorang rakan!

Kisah ini mungkin akan menyentuh hati orang ramai kerana nilai murni yang ditonjolkan dari anak-anak muda ini akan menjadi ‘penyelamat’ kepada persahabatan di hari tua.

Baca juga: 39 Kerjaya WORK FROM HOME Lelaki Boleh Buat, Tak Keluar Rumah Pun Boleh Tolong Isteri!

SANGGUP MINTA NAK BEKERJA DARI RUMAH (WFH) DEKAT BOS, JAGA RAKAN HIDAP KANSER

bekerja dari rumah

Foto: Rakan yang hidap kanser.

Dalam perkongsian itu, Haziq mendedahkan bahawa dia sanggup meminta izin daripada majikan untuk bekerja dari rumah (WFH) semata-mata ingin menjaga rakannya yang sedang berjuang melawan penyakit kanser. Lebih menyentuh hati, usaha itu bukan dilakukan seorang diri, sebaliknya dia bersama rakan-rakan lain turut berpakat mengatur jadual giliran untuk menjaga sahabat mereka.

Dalam perkongsian tersebut, Haziq memuat naik tangkap layar WhatsApp menunjukkan mereka menyusun jadual bergilir untuk menjaga rakan yang sakit.

Sepanjang berada di rumah rakannya, Haziq bukan sahaja menemani, bahkan turut memasak dan menyediakan makanan. Walaupun selera rakannya semakin berkurang, dia tetap cuba memastikan sahabatnya itu menjamah sedikit makanan agar kekal bertenaga. Kalau tengok menu masakan yang dikongsikan adalah seperti nasi putih, sup ayam dan sambal.

Lebih menyentuh perasaan, mereka masih menunaikan solat berjemaah bersama di rumah walaupun rakannya terlalu lemah untuk ke masjid.

“Selesai solat jemaah dengan dia. Dia tak larat nak ke masjid, tapi tetap jadi imam. Selesai makan tengah hari, katanya tak ada selera. Hanya makan sikit sahaja, tapi saya minta dia cuba demi kekuatan,” tulis Haziq.

Ahli Keluarga Ucap Terima Kasih, Netizen Pun Tersentuh

bekerja dari rumah

Foto: Jadual jaga rakan yang sakit kanser.

Haziq mengakui, ketika menjaga sahabatnya, banyak persoalan timbul dalam hati, antaranya bagaimana rakannya mampu tabah menghadapi ujian berat itu. Namun, dia memilih untuk menyimpan pertanyaan itu kerana bimbang menambah beban perasaan sahabatnya yang sedang lemah.

Sebelum pulang, Haziq sempat meninggalkan makanan dan sampul kecil di atas meja serta menitipkan doa agar rakannya terus kuat.

“Saya balik dulu ya. Semoga Allah berikan syifa dan tingkatkan darjat iman awak dari ujian ini, insya-Allah. Saya ada tinggalkan sup dan sampul di atas meja..” katanya.

Apa yang lebih menyentuh hati, ahli keluarga rakannya turut meninggalkan komen berterima kasih atas keprihatinan Haziq serta rakan-rakan lain yang sudi membantu menjaga adik ipar mereka. Mereka menyifatkan pengorbanan tersebut sedikit sebanyak memberi semangat kepada pasangan suami isteri itu untuk terus kuat berdepan ujian besar.

Perkongsian Haziq pantas mendapat perhatian warga maya. Rata-rata memuji nilai persahabatan yang dipamerkan, malah ada yang menyifatkan ia sesuatu yang amat jarang ditemui dalam dunia hari ini.

“Bukan mudah nak dapat sahabat setia macam ni. Semoga Allah berkati kalian dengan segala kebaikan,” tulis netizen.

Kisah ini membuktikan bahawa persahabatan sejati bukan hanya wujud ketika senang, tetapi juga dalam saat paling getir. Semoga terus kuat dalam persabahatan ini dan terus membantu antara satu sama lain.

Baca juga: 8 Pasangan Kembar Daftar Serentak Sebagai Pelajar Baharu UUM, Unik & Meriah Macam Kenduri!

Sumber: Threads

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×