Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan di mana ada 3 waktu mustajab ketika Ramadan yang digalakkan untuk membaca doa.
Pada 3 waktu ini, doa lebih mudah dimakbulkan, menjadikannya peluang keemasan untuk memohon keampunan, hidayah, dan segala hajat yang diinginkan.
Baca juga: Jangan Jadi Pentaksub Lelaki Berpakaian Wanita, Makin Disokong Makin Tak Malu!
3 WAKTU MUSTAJAB KETIKA RAMADAN, BANYAKKAN BERDOA

Freepik
Terdapat tiga waktu mustajab ketika Ramadan untuk berdoa, di mana doa lebih mudah dimakbulkan oleh Allah SWT:
1. Waktu sahur
Waktu sahur, terutama pada sepertiga malam terakhir sebelum fajar adalah saat yang sangat mustajab untuk berdoa. Ini bertepatan dengan waktu Qiyamullail (solat malam) dan waktu di mana Allah SWT turun ke langit dunia untuk mengabulkan doa hamba-Nya.
Rasulullah SAW bersabda:
“Rab kita Tabaraka wa Ta’ala, turun ke langit dunia setiap malam ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Dia berfirman: ‘Siapa yang berdoa kepada-Ku, maka Aku akan mengabulkannya. Siapa yang meminta kepada-Ku, maka Aku akan memberinya. Siapa yang memohon ampun kepada-Ku, maka Aku akan mengampuninya.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
2. Waktu mustajab ketika Ramadan – sewaktu berpuasa
Orang yang berpuasa berada dalam keadaan yang penuh keberkatan dan doanya tidak akan ditolak oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda:
“Tiga doa yang tidak akan ditolak: doa pemimpin yang adil, doa orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, dan doa orang yang dizalimi.” (Hadis Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah & Ahmad)
Oleh itu, perbanyakkan doa terutama sebelum berbuka kerana ia adalah saat di mana hati lebih khusyuk dan penuh pengharapan kepada Allah SWT.
3. Ketika berbuka puasa
Waktu mustajab ketika berpuasa yang terakhir sekali adalah sewaktu berbuka puasa kerana pada waktu ini, kita telah menyempurnakan ibadah puasa dengan penuh keikhlasan.
Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu, pada saat berbukanya, ada doa yang tidak akan ditolak.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah & Al-Hakim)
Sebelum menyuap makanan pertama ketika berbuka, ambil peluang untuk berdoa memohon hajat, keampunan, dan keberkatan hidup.
Semoga perkongsian tentang waktu mustajab ketika Ramadan ini dapat memberi manfaat buat anda semua!
Baca juga: Alamak! Terlupa Baca Niat TANPA SENGAJA, Sah Puasa Atau Kena Ganti?
Sumber: Instagram Hmaasah
