Kerajaan Negeri Selangor terus menunjukkan keprihatinan terhadap kesihatan rakyat, khususnya golongan kanak-kanak, apabila bakal melancarkan program vaksin Influenza percuma bermula minggu hadapan.
Program ini akan dimulakan di empat daerah yang mencatatkan kadar kes Influenza tertinggi iaitu Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat.
VAKSIN INFLUENZA PERCUMA KEPADA MURID DI SELANGOR BERMULA MINGGU DEPAN

Foto: Arkib NSTP
Menurut Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin dalam laporan Berita Harian, inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada 12,500 murid dengan peruntukan sebanyak RM1 juta daripada kerajaan negeri.
“Matlamat utama kami ialah memastikan kanak-kanak, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah, mendapat perlindungan daripada jangkitan Influenza serta mengurangkan risiko penularan dalam komuniti,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Pelaksanaan program ini akan dijalankan melalui dua pendekatan utama:
1. Program bantuan di sekolah
- Menumpukan kepada sekolah yang mempunyai Pusat Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
- Sekitar 4,720 murid berumur 8 tahun ke bawah daripada keluarga B40 akan menerima suntikan vaksin.
- Setiap murid akan menerima risalah maklumat lengkap dan kod QR untuk pendaftaran melalui aplikasi SELangkah.
2. Pendaftaran walk-in di klinik Selcare dan panel terpilih
- Ibu bapa perlu mendaftar dan mengesahkan status melalui aplikasi SELangkah sebelum hadir ke klinik.
- Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, Selcare Management Sdn Bhd akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri, pihak sekolah, serta pusat khidmat masyarakat.
Ibu bapa yang layak juga diseru untuk tidak melepaskan peluang ini dan segera mendaftar untuk mendapatkan vaksin Influenza percuma buat anak-anak mereka.
“Kerajaan Selangor kekal komited dalam menjaga kesihatan rakyat, terutama keluarga B40. Program ini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan, tetapi juga memastikan anak-anak kekal sihat dan hadir ke sekolah tanpa gangguan kesihatan,” katanya.

Foto: Freepik
Program vaksinasi ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam menangani peningkatan kes Influenza dan memperkukuh tahap imuniti komuniti (herd immunity) di Selangor. Dengan pelaksanaan secara percuma ini, lebih ramai kanak-kanak bakal dilindungi daripada jangkitan, sekali gus membantu mengawal penularan penyakit di peringkat sekolah dan masyarakat.
Sumber: Berita Harian
