Baru-baru ini, pakar bedah dan personaliti terkenal, Dr Amalina Che Bakri, berkongsi momen istimewa apabila berjaya menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Imperial College London. Namun, lebih mencuri perhatian ramai adalah kapsyen yang ditulisnya khas buat dua puteri kesayangannya, Arabella Mia dan Aurora.
DR AMALINA TAMAT PHD, TITIP UCAPAN BUAT DUA ANAK

Menerusi satu hantaran di Instagram, Dr Amalina menitipkan ucapan yang ditujukan kepada kedua-dua anaknya sebagai tanda penghargaan dan luahan hati sepanjang perjalanan menuntut ilmu, membina kerjaya serta menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu.
Dalam perkongsian tersebut, Amalina berharap suatu hari nanti anak-anaknya akan memahami perjalanan yang dilaluinya sepanjang menamatkan pengajian dan menjalani latihan perubatan.
Menurut Dr Amalina, terdapat banyak malam yang dihabiskan dengan tugasan akademik, penulisan tesis, sesi pembelajaran, latihan klinikal serta jadual kerja yang padat sehingga ada kalanya terpaksa berjauhan daripada anak-anak walaupun hatinya sentiasa ingin berada di sisi mereka.
“Suatu hari nanti apabila kamu sudah besar, mummy harap kamu akan memahami perjalanan yang mummy lalui, malam-malam yang panjang, syif on-call, penulisan tesis, latihan klinikal, pembelajaran dan pilihan yang kadangkala membuatkan mummy terpaksa berjauhan daripada kamu walaupun hati mummy hanya mahu sentiasa dekat dengan kamu,” tulisnya.
Dia turut menjelaskan bahawa segala usaha yang dilakukan bukanlah kerana mengabaikan kasih sayang terhadap anak-anak, sebaliknya didorong oleh rasa cinta yang mendalam kepada mereka.
“Semua yang mummy lakukan bukan kerana menggantikan kasih sayang kepada kamu. Mummy lakukan kerana mummy sayangkan kamu,” luahnya lagi.
Dr Amalina turut mengakui terdapat hari-hari yang dipenuhi rasa bersalah apabila merasakan dirinya tidak melakukan yang terbaik sebagai seorang ibu. Malah, dia juga pernah bimbang sekiranya anak-anaknya tidak memahami pengorbanan yang dilakukan demi masa depan keluarga.

Walau bagaimanapun, Dr Amalina menegaskan bahawa kasih sayangnya terhadap kedua-dua puteri itu tidak pernah berubah walau sedikit pun.
Dia mahu anak-anaknya membesar dengan keyakinan bahawa mereka mampu mencapai perkara luar biasa dalam hidup, berani memasang impian besar serta menjadi individu yang kuat, berwawasan dan pada masa sama mempunyai sifat belas ihsan terhadap orang lain.
“Jika ada satu perkara yang mummy mahu kamu sentiasa ingat, ia adalah kamu mampu melakukan perkara yang luar biasa.
“Kamu boleh bermimpi setinggi-tingginya. Kamu boleh menjadi kuat dan lembut, bercita-cita tinggi dan penuh belas kasihan dalam masa yang sama,” katanya.
Menurut Dr Amalina lagi, dia berharap suatu hari nanti anak-anaknya akan melihat kembali perjalanan hidup yang dilaluinya dengan rasa bangga.
Mengakhiri hantaran tersebut, Dr Amalina menegaskan bahawa Arabella dan Aurora merupakan anugerah terindah dalam hidupnya dan akan sentiasa mempercayai kebolehan mereka sepenuh hati.
“Sentiasalah ingat, mummy percaya kepada kamu dengan sepenuh hati. Tiada yang mustahil untuk kamu. Kamu adalah hadiah terindah dalam hidup mummy,” tulisnya.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang tersentuh dengan keikhlasan luahan seorang ibu yang berusaha mengimbangi tanggungjawab sebagai doktor, pelajar dan ibu dalam masa yang sama.
Sumber: Instagram Dr Amalina Che Bakri
