Menerusi satu perkongsian di laman Instagram milik Dr. Amalina Che Bakri, dia meluahkan rasa syukur setelah menerima Ijazah Doktor Falsafah dari Imperial College London.
Dalam catatan penuh emosi itu, dia turut berkongsi perjalanan hidup yang dilalui sepanjang pengajian, bukan sekadar cabaran akademik, malah pengalaman membina keluarga dan menjadi seorang ibu.
DR AMALINA TERIMA IJAZAH DOKTOR FALSAFAH, “ALHAMDULILLAH”

Pada awalnya dia menyangka cabaran utama pengajian adalah mengimbangi tuntutan akademik dan kerja seperti ujian klinikal, analisis data, penulisan tesis dan tugasan di hospital. Namun, kehidupan membawa dimensi yang jauh lebih besar.
“Saya fikir bahagian paling sukar ialah mengimbangi kerja akademik dan klinikal – ujian klinikal, analisis data, tarikh akhir, penulisan yang tak berpenghujung, dan syif di hospital. Tetapi hidup memberikan sesuatu yang jauh lebih besar dan bermakna buat saya.
“Sepanjang pengajian ini, saya mendirikan rumahtangga, menjadi seorang isteri, dan kemudian seorang ibu kepada dua cahaya mata. Hidup saya bukan lagi sekadar tentang jurnal penyelidikan dan panggilan hospital. Ia kini turut merangkumi sesi menyusu waktu malam, anak tumbuh gigi dan mencuri sedikit masa untuk berehat di celah-celah kesibukan,” luahnya.
Dr. Amalina turut mengakui bahawa mengimbangi pengajian, kerjaya dan keluarga bukanlah sesuatu yang mudah. Ada ketika dia menjaga anak yang tidak sihat sambil risau tentang tarikh akhir penulisan. Ada juga pagi-pagi yang dia perlu ke hospital dengan hanya dua jam tidur.
Dalam perkongsian itu, Dr. Amalina turut menekankan bahawa kekuatan sebenar bukanlah pada kesempurnaan, tetapi kecekalan untuk terus melangkah walau dalam keletihan.
Kajian PhD Dr Amalina memfokuskan kepada teknologi boleh pakai (wearable technology) dan bagaimana ia boleh membantu pesakit pulih selepas pembedahan kanser payudara. Apabila berdepan saat sukar, dia sentiasa teringat kepada wanita-wanita hebat yang menjadi inspirasi untuk meneruskan perjuangan.

“Setiap kali berdepan kesukaran, saya teringat kepada wanita-wanita hebat yang saya harap akan mendapat manfaat daripada penyelidikan ini, wanita-wanita yang kuat dan berani, yang memberi saya inspirasi untuk teruskan,” jelasnya.
Di penghujung perkongsiannya, Dr. Amalina memberikan pesanan menyentuh hati buat para wanita, khususnya ibu yang sedang bergelut mengimbangi keluarga, kerjaya dan pendidikan:
“Kepada semua wanita, terutamanya ibu-ibu yang sedang menggalas pelbagai peranan dalam satu masa bekerja, belajar, menjaga keluarga, percayalah, ia tidak mustahil. Kita tidak perlu jadi sempurna. Cukup sekadar teruskan, langkah demi langkah.
“Jika ada satu perkara yang benar-benar saya pelajari sepanjang perjalanan ini, ia adalah: kita tidak perlu memilih antara impian dan keluarga. Kedua-duanya boleh dibina dan dibajai dengan kasih sayang, keberanian dan kesungguhan. Jangan sesekali meragui kekuatan diri. Anda jauh lebih mampu daripada apa yang anda bayangkan,” pesannya.
Baca juga: Pak Cik Berteduh Bawah Pokok Masa Hujan Ribut, Dua Lelaki Ini Tak Sampai Hati Nak Biarkan…
Sumber: Instagram Dr Amalina
