Terbaharu, Istana Pahang tampil menafikan dakwaan tular kononnya Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menawarkan bantuan wang kerajaan kepada orang ramai menerusi media sosial.
VIDEO AI PALSU, ISTANA PAHANG NAFI TAWAR BANTUAN WANG KERAJAAN

Foto yang tersebar.
Menerusi satu kenyataan di Facebook rasmi Kesultanan Pahang, pihak istana memaklumkan mereka telah mengesan semula penyebaran beberapa klip video palsu yang dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Video berkenaan memaparkan wajah yang menyerupai baginda dan mendakwa kononnya terdapat tawaran bantuan kewangan untuk rakyat, lengkap dengan pautan tertentu bagi tujuan permohonan.
Istana Pahang menegaskan bahawa kandungan tersebut adalah tidak benar, tidak sahih dan merupakan satu bentuk penipuan yang menyalahgunakan imej Sultan Pahang.
Orang ramai dinasihatkan supaya:
- Tidak menyebarkan semula video berkenaan
- Tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung dalam video tersebut
- Segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika menerima kandungan yang mencurigakan
Menurut kenyataan itu lagi, penyalahgunaan imej dan suara yang menyerupai baginda adalah taktik sindiket scam bagi memperdaya masyarakat.
Sultan Pahang Tiada Akaun Media Sosial Peribadi

Istana Pahang turut menjelaskan bahawa Sultan Pahang tidak mempunyai sebarang akaun media sosial peribadi.
Sebarang titah rasmi, aktiviti atau pengumuman hanya disiarkan melalui platform rasmi Kesultanan Pahang. Di Facebook, hanya terdapat satu akaun sah Kesultanan Pahang yang kini mempunyai kira-kira 758,000 pengikut.
Bagi platform lain seperti Instagram, TikTok dan YouTube, semuanya menggunakan nama “Kesultanan Pahang”, manakala portal rasmi Istana Pahang adalah melalui laman web istanapahang.my.
Dalam era teknologi AI yang semakin canggih, orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan kandungan video yang kelihatan seolah-olah tulen.
Semak dahulu sumber rasmi sebelum berkongsi, dan elakkan daripada menekan pautan yang meragukan. Jika ragu-ragu, pastikan hanya merujuk kepada platform rasmi Kesultanan Pahang bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat.
Baca juga: Kenali Wajah Putera & Puteri Kerabat Diraja Pahang, Pasti Ramai Nak Tahu!
Sumber: Buletin TV3, Kesultanan Pahang
