Peringatan untuk rakyat Malaysia yang merancang untuk melancong ke Thailand dinasihatkan supaya mengenakan pakaian berwarna hitam, putih atau warna-warna gelap.
Ini adalah sebagai tanda penghormatan susulan kemangkatan Permaisuri Sirikit, ibu kepada Raja Thailand kini, Raja Vajiralongkorn.
Baca juga: Langit Biru, Istana Emas & Hidup Aman, Selamat Datang Ke Luxembourg…Negara Paling Kaya Di Dunia!
NAK MELANCONG KE THAILAND DALAM MASA TERDEKAT? DISARANKAN UNTUK PAKAI BAJU WARNA GELAP

Foto: freepik
Menurut laporan, Presiden Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Halal Thailand–Asia Tenggara, Aida Oujeh, berkata langkah kecil ini amat bermakna kepada rakyat Thailand yang kini berada dalam tempoh berkabung negara.
“Pelancong Malaysia yang datang ke Thailand digalakkan, jika boleh, memakai pakaian hitam, putih atau warna gelap sebagai tanda hormat.
Ia akan dianggap sebagai satu sikap yang sopan dan penuh penghargaan oleh masyarakat Thailand,” jelasnya ketika dihubungi.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa jika pelawat tidak berupaya berpakaian sedemikian, ia tidak menjadi masalah dan masyarakat Thailand pasti memahami situasinya.
Aida Oujeh turut menjelaskan bahawa rakyat Thailand kini sedang memperingati pemergian Permaisuri Sirikit, yang mangkat pada lewat malam Jumaat lalu.
“Pegawai kerajaan diwajibkan mematuhi etika berpakaian berkabung, namun bagi orang awam, ia bukan satu kewajipan.
Cuma, mereka yang tidak berpakaian gelap mungkin kelihatan seolah-olah kurang menunjukkan rasa hormat,” tambahnya.
AMALAN BERKABUNG SELAMA TIGA BULAN

Foto: freepik
Sebagai sebahagian daripada protokol berkabung negara, Thailand akan mengibarkan bendera separuh tiang selama 30 hari, manakala amalan berpakaian berkabung dijangka berterusan selama tiga bulan.
Beliau turut menasihatkan pelancong yang ingin menziarahi istana diraja, tempat jasad Permaisuri Sirikit disemadikan, agar memakai pakaian formal berwarna hitam atau putih lengkap dengan jaket atau sut sebagai tanda penghormatan.
Katanya lagi, adalah perkara biasa bagi rakyat Malaysia khususnya dari Kelantan, untuk berkunjung ke Selatan Thailand ketika cuti umum atau cuti sekolah panjang, melalui pintu sempadan seperti Rantau Panjang dan Bukit Bunga.
Untuk pengetahuan semua, Permaisuri Sirikit, isteri kepada Raja Bhumibol Adulyadej yang merupakan raja paling lama memerintah Thailand, mangkat pada usia 93 tahun.
Baca juga: Rakyat Malaysia Yang Nak Masuk Thailand Perlu Bayar Cukai ‘Pijak Tanah’ Pada Tahun 2026
Sumber: NST
