Euforia Bola 2026
Famili

Selepas Hampir 4 Tahun Koma, Puteri Sulung Raja Thailand Mangkat Pada Usia 47 Tahun

puteri thailand

Thailand dikejutkan dengan berita kemangkatan Puteri Thailand iaitu Puteri Bajrakitiyabha Narendira Debyavati atau lebih dikenali sebagai Puteri Pa yang mangkat pada usia 47 tahun selepas hampir empat tahun berada dalam keadaan koma.

Baca juga: “RM5 Jadi Rp22,000?” Ibu Indonesia Terkejut Bila Tukar Belanja Sekolah Anak Sehari Di Malaysia Kepada Rupiah

PUTERI THAILAND MANGKAT SELEPAS HAMPIR 4 TAHUN KOMA

puteri thailand

Foto: Berita Harian

Puteri sulung kepada Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn itu dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada petang semalam selepas mengalami pelbagai komplikasi kesihatan yang semakin merosot.

Menurut kenyataan rasmi istana, keadaan kesihatan beliau menjadi semakin kritikal akibat jangkitan dalam rongga abdomen, radang usus besar (kolitis), tekanan darah rendah, gangguan rentak jantung (aritmia) serta masalah pembekuan darah.

Tidak Sedarkan Diri Ketika Bertugas Pada 2022

Untuk rekod, Puteri Bajrakitiyabha dimasukkan ke hospital pada Disember 2022 selepas tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika menjalankan lawatan rasmi di wilayah Nakhon Ratchasima di timur laut Thailand.

Beliau kemudiannya diterbangkan menggunakan helikopter ke Bangkok bagi mendapatkan rawatan kecemasan dan rawatan lanjut daripada pakar perubatan.

Sejak insiden tersebut, keadaan kesihatan beliau menjadi perhatian rakyat Thailand dan masyarakat antarabangsa, memandangkan beliau merupakan antara anggota keluarga diraja yang paling aktif dalam pelbagai urusan negara.

Puteri Thailand Tokoh Diraja Yang Dihormati

puteri thailand

Foto: Berita Harian

Dilahirkan pada 7 Disember 1978, Puteri Bajrakitiyabha merupakan anak hasil perkahwinan pertama Raja Vajiralongkorn dengan Puteri Soamsawali.

Beliau dikenali sebagai seorang tokoh diraja yang berpendidikan tinggi dan mempunyai kerjaya profesional yang cemerlang.

Puteri Pa melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Cornell University sehingga memperoleh ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Antara tahun 2006 hingga 2011, beliau berkhidmat sebagai peguam di Pejabat Peguam Negara Thailand sebelum meneruskan kerjaya diplomatik sebagai Duta Thailand ke Austria, Slovenia dan Slovakia dari 2012 hingga 2014.

Aktif Perjuangkan Hak Banduan Wanita

Selain terlibat dalam bidang perundangan dan diplomatik, Puteri Bajrakitiyabha turut dikenang atas usaha memperjuangkan kebajikan banduan wanita.

Beliau menubuhkan sebuah badan kebajikan yang memberi perhatian khusus kepada hak wanita yang dipenjarakan, termasuk mereka yang sedang hamil ketika menjalani hukuman.

Sumbangan tersebut turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila beliau dilantik sebagai Duta Muhibah bagi Kedaulatan Undang-Undang di Asia Tenggara oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pencegahan Jenayah dan Keadilan Jenayah pada tahun 2017.

Pada tahun 2021 pula, beliau menyertai angkatan tentera Thailand dan dianugerahkan pangkat jeneral sebelum berkhidmat sebagai ketua staf dalam Komando Keselamatan Diraja.

Kehilangan Besar Buat Keluarga Diraja Thailand

Pemergian Puteri Bajrakitiyabha disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat keluarga diraja Thailand dan rakyat negara itu.

Sepanjang hayatnya, beliau sering dilihat mengiringi Raja Vajiralongkorn serta Permaisuri Suthida Bajrasudhabimalalakshana dalam pelbagai acara rasmi dan istiadat negara.

Sebagai salah seorang daripada tiga anak Raja Vajiralongkorn yang mempunyai gelaran diraja rasmi, Puteri Bajrakitiyabha turut dianggap sebagai individu yang berpotensi memainkan peranan penting dalam isu pewarisan takhta Thailand pada masa hadapan.

Istana diraja Thailand dijangka mengadakan istiadat pemakaman diraja dalam masa terdekat, manakala kerajaan negara itu turut dijangka mengumumkan tempoh berkabung kebangsaan bagi menghormati pemergian baginda.

Baca juga: Perlu Ke Bagi Vitamin D Drop Untuk Bayi Setiap Hari? Ini Kepentingannya Yang Ramai Ibu Ayah Tak Tahu

Sumber: Berita Harian 

FT Images: Berita Harian 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×