Ramai pengguna masih mencari tips guna ChatGPT dengan cara yang betul agar pengalaman mereka lebih selamat dan berkesan. Walaupun platform ini mampu menjawab hampir apa saja soalan, pengguna perlu tahu batasan serta jenis maklumat yang tidak wajar dikongsi bagi mengelakkan risiko keselamatan dan kebocoran data peribadi.
Jadi, sebelum terlalu selesa berkongsi maklumat, berikut beberapa tips guna ChatGPT dengan lebih selamat, termasuk lima perkara penting yang tidak patut didedahkan.
Baca juga: Akaun Tabung Haji Boleh ‘Beku’ Kalau Tak Buat Langkah Ini, Jangan Menyesal Kalau Terlambat!
TIPS GUNA CHATGPT, JANGAN SESEKALI DEDAHKAN 5 PERKARA INI

Freepik
Berikut antara jenis maklumat dan permintaan yang tidak wajar atau berisiko tinggi untuk diberikan kepada sistem AI.
1. Permintaan tidak beretika/langgar undang-undang
Kebanyakan chatbot AI dilengkapi dengan sistem keselamatan untuk mengelakkan penyalahgunaan undang-undang. Oleh itu, sebarang soalan atau permintaan yang melibatkan aktiviti jenayah, penipuan, atau cubaan memanipulasi orang lain untuk melakukan perkara berbahaya boleh dianggap melanggar etika dan undang-undang.
Antara contohnya adalah dengan meminta cara melakukan penipuan dalam talian, memanipulasi orang untuk kepentingan diri atau merosakkan sistem komputer pihak lain.
2. Maklumat log masuk & kata laluan
Dengan perkembangan AI yang semakin canggih, sesetengah aplikasi mungkin meminta sambungan kepada akaun pihak ketiga. Walau bagaimanapun, jangan sesekali berkongsi maklumat log masuk atau kata laluan dengan chatbot awam.
Data yang dimasukkan ke dalam sistem terbuka ini sukar dikawal, malah terdapat kes di mana maklumat peribadi pengguna terdedah kepada pihak lain secara tidak sengaja. Ini boleh menyebabkan kebocoran maklumat dan pelanggaran privasi yang serius.
3. Maklumat kewangan
Sama seperti akaun log masuk, maklumat kewangan seperti nombor akaun bank, kad kredit atau butiran transaksi peribadi juga tidak sepatutnya dikongsi dengan chatbot.
Sistem AI awam tidak mempunyai perlindungan keselamatan seperti laman e-dagang atau perbankan dalam talian yang menggunakan penyulitan data. Tanpa perlindungan ini, anda berisiko terdedah kepada penipuan, pencurian identiti dan serangan siber seperti phishing atau ransomware.
4. Maklumat sulit & doukmen syarikat
Setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk melindungi maklumat sulit yang berada di bawah kawalan mereka termasuk dokumen rasmi, laporan dalaman atau rekod transaksi.
Bagi pekerja, berkongsi dokumen syarikat dengan chatbot boleh dianggap melanggar kerahsiaan perniagaan atau menyalahi perjanjian kerja.
Kes seperti yang pernah berlaku kepada kakitangan Samsung pada tahun 2023 menjadi pengajaran apabila data dalaman syarikat dimuat naik ke platform AI dan akhirnya terdedah kepada umum.

5. Maklumat kesihatan dan peribadi
Walaupun AI kelihatan mampu membantu menjawab persoalan kesihatan, ia tidak sepatutnya dijadikan sumber utama diagnosis atau rawatan perubatan.
Lebih membimbangkan, beberapa chatbot kini mempunyai keupayaan untuk “mengingati” perbualan terdahulu dan menghubungkan data daripada sesi berbeza.
Oleh itu, elakkan berkongsi maklumat kesihatan peribadi seperti keputusan ujian, sejarah penyakit atau maklumat pesakit tanpa jaminan keselamatan data yang kukuh.
Chatbot AI memang berguna, namun pengguna perlu berwaspada terhadap maklumat yang dikongsi. Jika maklumat itu bersifat peribadi, sulit atau berisiko tinggi, jangan masukkan ke dalam sistem AI awam.
Baca juga: 10 Prompt Gambar AI Yang Tengah ‘Meletup’ Sekarang, Hasil Cantik & Nampak Real!
Sumber: Forbes
