Hasrat seorang wanita untuk menjalani proses kelahiran secara semula jadi di rumah berakhir dengan tragedi apabila dia meninggal dunia akibat komplikasi serius selepas melahirkan bayi.
Lebih mengejutkan, proses tersebut menggunakan video di YouTube sebagai panduan untuk membantu proses kelahiran tersebut.
PROSES KELAHIRAN BERAKHIR MAUT AKIBAT TENGOK YOUTUBE SEBAGAI PANDUAN

Gambar Special Arrangement: K. Sasikala
Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Tiruppur, Tamil Nadu, India, membabitkan K. Sasikala, 32, yang melahirkan seorang bayi perempuan di kediamannya pada 24 Jun lalu.
Menurut polis, Sasikala mula mengalami sakit bersalin pada awal pagi 24 Jun.
Sepanjang proses kelahiran itu, wanita berkenaan dibantu oleh suaminya, Kolanthasamy, 35, bersama ibu mentuanya. Mereka didakwa merujuk video berkaitan kelahiran semula jadi di YouTube sebagai panduan ketika membantu proses bersalin di rumah.
Wanita itu akhirnya berjaya melahirkan seorang bayi perempuan.
KOMPLIKASI BERLAKU SELEPAS URI GAGAL KELUAR
Bagaimanapun, keadaan Sasikala bertukar kritikal tidak lama selepas bersalin apabila dia mengalami pendarahan selepas bersalin (postpartum haemorrhage).
Siasatan awal mendapati komplikasi berlaku selepas uri gagal keluar sepenuhnya daripada rahim, sekali gus menyebabkan pendarahan yang serius.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kolej Perubatan Kerajaan Erode di Perundurai sebelum dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Coimbatore pada keesokan harinya bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Namun, selepas beberapa hari menerima rawatan, Sasikala disahkan meninggal dunia pada pagi 28 Jun selepas gagal memberikan tindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Gambar hiasan: Gemini AI
Susulan kejadian itu, polis membuka kertas siasatan terhadap suami mangsa selepas menerima aduan daripada Pegawai Perubatan Daerah Kunnathur.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 105 Bharatiya Nyaya Sanhita, iaitu undang-undang di India yang membabitkan kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.
Bagaimanapun, Ketua Polis Uthukuli, S. Saravanan, berkata ahli keluarga mangsa sendiri tidak membuat laporan polis kerana memaklumkan pasangan itu sememangnya telah merancang untuk menjalani proses kelahiran secara semula jadi di rumah.
Baca juga: Lepas Czer, Nurse Selalu Tanya Ibu Dah Kentut Ke Belum? Rupanya Ini Sebab & Cara Mudah Buang Angin
Bayi dilaporkan sihat dan stabil
Sumber Jabatan Kesihatan memaklumkan bayi perempuan yang dilahirkan berada dalam keadaan sihat dan stabil.
Difahamkan, pasangan itu turut mempunyai seorang anak perempuan berusia enam tahun yang dilahirkan secara selamat di hospital pada tahun 2020
Siasatan Jabatan Kesihatan turut mendapati Sasikala tidak berdaftar dalam Pregnancy and Infant Cohort Monitoring and Evaluation (PICME), iaitu sistem pemantauan ibu hamil dan bayi yang digunakan oleh kerajaan negeri Tamil Nadu.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti keseluruhan kronologi kejadian.
Sumber: The Hindu
FT Image: Gemini AI / Special Arrangement
